Webinar Permudah Penerapan Ilmu | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Webinar Permudah Penerapan Ilmu

Webinar Permudah Penerapan Ilmu

PANDEMIK COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan banyak aktiviti melibatkan fizikal terpaksa dibatalkan, sekali gus beberapa pendekatan alternatif dilaksanakan mengikut penjarakan fizikal bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Antara pendekatan berasaskan teknologi yang diguna pakai adalah melalui program secara webinar yang kini tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat pada hari ini dalam dunia pendigitalan.

Buktinya jelas dengan sambutan menggalakkan melalui penyertaan dari seluruh negara dalam Program PUTRA BAKTI@ Entrepreneur Webinar (BEST2020) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) anjuran mahasiswa Kursus Kokurikulum Berkredit QKH2104 Usahawan Siswa (Kumpulan 1 dan 2) UPMKB dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPMKB di Makmal Komputer Bahagian Teknologi Maklumat universiti tersebut.

Pengarah programnya Muhammad Darwisy Amzar Hakim Abdul Jalil berkata, program tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan keusahawanan sama ada ke arah pemikiran keusahawanan atau kecenderungan untuk menjadi seorang usahawan melalui pendidikan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau berkata, ini merupakan program secara webinar yang direka khas yang julungjulung kali diadakan untuk membimbing dan membuka mata para peserta tentang pentingnya kreativiti dan inovasi kerana pada abad ini keusahawanan menjadi lebih kompleks serta berhadapan dengan pelbagai cabaran besar.

“Sebahagian keuntungan yang akan diperolehi daripada program ini akan disalurkan kepada pelajar asnaf dan Putra Food Bank UPMKB yang memerlukan sebagai galakan kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian.

“Ia diharap secara serba sedikit dapat membantu dan meringankan beban yang dipikul oleh mereka,” ujarnya berucap semasa penutupan Program PUTRA BAKTI@ Entrepreneur Webinar (BEST2020) yang disertai lebih 300 peserta merangkumi Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia dari jam 8 pagi hingga 5 petang yang diadakan baru-baru ini.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program yang berlangsung selama sehari itu ialah slot ‘Kaunseling Pengurusan Tekanan’ oleh Hairunisah Abdul Rahman,

‘Successful Story Nett’ oleh Netty Herwaty Ishak, ‘Pemasaran: Nampak Mudah Tapi...’ oleh Dr Aryaty Alwie, ‘Peniaga Kecil Berimpian Besar’ oleh Afizan Sahari dan ‘Pemasaran Diri (Self Marketing)’ oleh Make Jiwan.

Dalam pada itu, Fasilitator Kursus QKH2104 Usahawan Siswa UPMKB Roslan Ismail berkata, program itu mampu memberi pendedahan, mendidik para pelajar dan orang awam mengenai persaingan yang banyak dalam bidang perniagaan sekali gus menuntut para usahawan untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif demi kelangsungan dalam dunia keusahawanan yang mencabar.

Pada masa sama katanya, ia membolehkan perniagaan tersebut berubah dengan pantas sejajar dengan kehendak dan keperluan pengguna.

 

 

 

Tarikh Input: 20/11/2020 | Kemaskini: 20/11/2020 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXESMAx~