STEM Penting Rebut Peluang Pekerjaan Dalam Industri | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » STEM Penting Rebut Peluang Pekerjaan Dalam Industri

STEM Penting Rebut Peluang Pekerjaan Dalam Industri

RASMI: Talib (tiga kiri) menekan aplikasi perasmian Program Putra STEM sambil disaksikan (dari kiri) Tero, Dr Maulana, Prof Dr Bujang dan Prof Dr Jayum.

BINTULU: Kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting untuk merebut peluang pekerjaan dalam sektor industri berkaitan pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, ekonomi hari ini amat bergantung kepada bidang STEM.

“Mana-mana (operasi) kilang, mereka lebih banyak terarah kepada STEM. Umpamanya kilang membuat cip komputer di Kuching, syarikat ini memerlukan lebih 400 jurutera dalam elektronik, elektrikal, mekanikal, kimia, ahli kimia berbanding hanya sedikit tenaga kerja untuk akauntan, ahli ekonomi atau sumber manusia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Putra STEM@UPMKB di Dewan Kuliah Pusat 2A Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMB) semalam.

Justeru, Talib berkata industri memerlukan lebih ramai jurutera dan corak pekerjaan dan gaji juga akan berubah dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Keperluan pertamanya untuk kemajuan negara dan keduanya untuk kerjaya kita sendiri memandangkan masa depan dunia adalah bersama STEM,” tambahnya.

Talib turut mengimbau kembali suatu ketika dahulu apabila generasinya bukan sahaja terkebelakang dalam pendidikan, tetapi juga dalam bidang ekonomi.

“Secara umumnya pekerjaan yang besar gaji adalah berdasarkan teknologi, kejuruteraan dan matematik... kita perlu membawa generasi muda untuk memilih dan memupuk minat mereka dalam STEM demi negara dan masa depan mereka,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berharap program tersebut akan diteruskan dan anak-anak generasi hari ini perlu memikirkan cara terbaik dalam pilihan mereka untuk masa depan.

Sementara itu, Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Bujang Kim Huat berkata, Putra STEM@UPMKB pernah dibuat sebelum ini dan kali ini program diadakan lebih teratur serta menyeluruh.

Katanya, program ini diadakan bukan hanya tertumpu untuk masyarakat, sekolah-sekolah serta para pelajar di daerah Bintulu, bahkan akan dikembang ke daerah-daerah berdekatan seperti Sibu, Miri dan lain-lain.

Beliau berkata, sistem pendidikan di Malaysia sedang melalui proses transformasi secara menyeluruh selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mana satu daripada inisiatif utama pelan itu ialah pengukuhan pendidikan STEM.

“Jadi usaha berterusan dalam memperkasa STEM dalam kalangan pelajar amat penting kerana mereka adalah inovator pada masa hadapan.

“Negara yang inovatif mampu meningkatkan kemajuan hidup harian rakyatnya dan daya saing pada era ekonomi antarabangsa.

“UPM adalah universiti ke-132 terbaik dunia dalam ranking QS 2021 serta universiti kedua terbaik dalam negara.

“Ia merupakan pencapaian amat membanggakan kita semua bukan atas sumbangan seorang individu, tetapi meliputi keseluruhan warga kampus, para pelajar dan sokongan dari semua pihak,” ujarnya.

Maka katanya, lepasan sekolah diharap akan meneruskan pengajian di UPMKB sebagai titik permulaan untuk sama-sama menyemarakkan program STEM.

Hadir sama Ketua Strategik, Komunikasi Korporat dan Jaringan UPMKB merangkap pengarah programnya Dr Mohammad Maulana Magiman, Dekan (Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains) UPMKB Prof Dr Jayum Jawan dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Tero Bayel.

Program itu disertai oleh murid-murid SK Orang Kaya Mohammad, SK Bintulu, SK Asyakirin, SK Agama Majlis Islam Sarawak Bintulu, SK Sungai Tisang dan SK Jepak.

Tarikh Input: 20/11/2020 | Kemaskini: 20/11/2020 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdJAF~