PPP Anjur Kursus Teknikal Penternakan Puyuh Dan Pemprosesan Kompos | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PPP anjur Kursus Teknikal Penternakan Puyuh dan Pemprosesan Kompos

PPP anjur Kursus Teknikal Penternakan Puyuh dan Pemprosesan Kompos

PUSAT Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan Kursus Teknikal Penternakan Puyuh dan Pemprosesan Kompos pada 6 Ogos lepas.

Kursus tersebut telah dijalankan di Pejabat Pusat Pertanian Putra, UPMKB (Teori) dan Unit Penetasan Unggas (Praktikal) bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Kursus ini telah dihadiri oleh 15 peserta yang terdiri daripada pesara kerajaan, pensyarah dari IPTA tempatan, kakitangan Petronas Carigali, suri rumah serta individu bekerja sendiri meliputi pelbagai daerah seperti Bintulu, Miri, Sibu, Sarikei, Lubok Antu, Mukah, Kanowit, Kuching serta peserta dari Sabah.

Menurut pengerusi penganjur merangkap penceramah kursus, Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna iaitu Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra UPMKB, antara pengisian Kursus Teknikal Penternakan Puyuh dan Pemprosesan Kompos ini ialah teori berkaitan penternakan puyuh secara menyeluruh, keperluan prasarana, pengenalan perumahan dan pengurusan ternakan puyuh, pemakanan, pengurusan kesihatan puyuh serta pendedahan berkaitan pengurusan anak puyuh selepas penetasan (perindukan, pembesaran dan pemberian makanan).

Di samping itu, sesi praktikal/amali telah dikendalikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan yang juga merupakan Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo, Institut Ekosains Borneo UPMKB Dr Latifah Omar.

Peserta telah didedahkan mengenai teknik pemilihan telur puyuh untuk tujuan pengeraman dan penetasan, pendedahan teknik pembuatan/penghasilan inkubator secara manual dan kecil-kecilan serta praktikal pembuatan kompos melalui bahan sarap puyuh. Sesi amali ini telah dibantu oleh staf Pusat Pertanian Putra UPMKB iaitu Norbaya Che Rus dan Yusri Drahman.

Timbalan Pengarah PPP, UPMKB, Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee turut menambah bahawa kursus tersebut dijalankan selaras dengan keperluan peningkatan ilmu untuk memperkasakan bidang pertanian sebagai salah satu inisiatif dalam menghadapi isu krisis sekuriti makanan negara.

Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan salah satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program University4Society melalui Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian dan pengembangan pertanian bersama masyarakat umum.

Antara kursus yang akan dianjurkan untuk tahun 2022 termasuklah kursus penternakan itik penelur, penternakan lembu secara fidlot, tanaman sayuran di kawasan tanah rendah serta sistem fertigasi.

PPP UPMKB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Josephine Jawai Makos, Noor Irawati Ahmad, Renee Sherna (urus setia), Benedict Miden (jurufoto) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kursus ini.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pengarah Kampus UPMKB, Prof Dr Shahrul Razid Sarbini kerana sentiasa memberi sokongan dalam penganjuran kursus seperti ini.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai kursus anjuran PPP UPMKB, orang ramai bolehlah menghubungi PutraMart@UPMKB di talian 011-2563 4022 (Renee Sherna / Noor Irawati).

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

 

Tarikh Input: 12/09/2022 | Kemaskini: 12/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUBAI~