PELAJAR UPMKB TIDAK PULANG BERAYA, DEMI PERSIAPAN PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PELAJAR UPMKB TIDAK PULANG BERAYA, DEMI PERSIAPAN PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER

PELAJAR UPMKB TIDAK PULANG BERAYA, DEMI PERSIAPAN PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER

Menyambut Aidilfitri bersama keluarga sememangnya dinantikan oleh semua mahasiswa yang berjauhan dari keluarga, terutama mahasiswa dari Semenanjung Malaysia yang sedang menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Sarawak.
 
Namun, demi persiapan peperiksaan akhir semester yang akan berlangsung pada awal Mei ini, beberapa orang mahasiswa UPMKB terpaksa berkorban untuk tidak pulang ke kampung halaman untuk beraya.
 
Pelajar tahun akhir Diploma Perniagaantani, Ku Nur Liyana Ku Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama beliau tidak pulang ke kampung kerana mahu menumpukan perhatian untuk belajar sebelum menduduki peperiksaan akhir.
 
“Jauh disudut hati terselit juga perasaan sedih dan kerinduan untuk beraya di kampung halaman namun saya teruja untuk merasai pengalaman beraya di perantauan memandangkan saya akan meninggalkan kampus tidak lama lagi untuk menjalankan latihan industri saya,” katanya.
 
Beliau yang berasal dari Kedah berkata, beliau akan menumpang keluarga angkatnya untuk berhari raya serta menyantuni jemputan raya daripada rakan-rakan di Bintulu, Sarawak.
 
“Di kampus pihak pengurusan UPMKB akan mengadakan Program Raya Perantau bagi pelajar yang tidak pulang beraya ke kampung halaman jadi dapat sedikit sebanyak mengubat rindu saya untuk beraya di kampung,” katanya.
 
Rakannya, Muhammad Luqman Hakim Haris yang berasal dari Putrajaya berkata, beliau mengambil peluang untuk merasai sambutan hari raya di perantauan dan akan menggunakan internet untuk berhubung dengan keluarga menjelang Syawal nanti.
 
“Saya sudah berbincang dengan ibu bapa dan mereka bersetuju serta perancangan saya untuk mengurus persiapan raya sendiri. Rakan saya yang berbangsa Cina turut membeli baju Melayu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
 
Pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan, UPMKB, Anis Atirah Ashari berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung kerana beliau merasakan tidak berbaloi untuk mengeluarkan kos tiket kapal terbang memandangkan selepas seminggu cuti Hari Raya Aidilfitri akan berlangsungnya peperiksaan akhir.
 
“Saya bersabar untuk untuk sementara waktu memandangkan selepas peperiksaan akhir kami akan cuti semester selama tiga bulan dan saya sempat berhari raya di kampung halaman,” katanya.
 
Pelajar Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, UPMKB, Muhammad Syaheer Mashudi berkata, beliau tetap akan meraikan Aidilfitri bersama rakan-rakan serta pensyarah di UPMKB.
 
“Saya juga dapat merasai suasana dan keunikan sambutan Aidilfitri di Bintulu, Sarawak yang akan dikongsikan pengalaman ini kepada keluarga saya serta ianya menjadi memori manis buat saya,” katanya.
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 08/05/2023 | Kemaskini: 08/05/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUQAT~