MINUM AIS KETIKA CUACA PANAS, SALURAN DARAH BERISIKO PECAH? | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » MINUM AIS KETIKA CUACA PANAS, SALURAN DARAH BERISIKO PECAH?

MINUM AIS KETIKA CUACA PANAS, SALURAN DARAH BERISIKO PECAH?

FENOMENA peralihan monsun dan disusuli El Nino bulan depan membuatkan ramai yang mengeluh lantaran keadaan suhu harian yang lebih panas daripada biasa.

Keadaan itu menyebabkan ramai bimbang masalah kesihatan berpunca daripada strok haba, terutama apabila negara dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak 11 tahun di Kelantan, baru-baru ini.

Usaha mengelakkan terdedah kepada strok haba, ada mengesyorkan supaya orang ramai mengambil minuman ais untuk melegakan tekak terutama ketika cuaca panas, namun cadangan itu dikatakan menimbulkan risiko lain.

Pakar Dietik Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata pemilihan minuman sejuk, ais atau masak tidak penting tetapi pengambilan itu perlu mencukupi keperluan tubuh.

"Ini kerana ketika cuaca, orang ramai perlu memastikan badan cukup air supaya terhindar daripada keadaan dehidrasi atau kekeringan. Jadi air sejuk, ais atau air masak tidak mengapa, janji pengambilannya mencukupi.

"Bagaimanapun, apa yang perlu dielakkan adalah makanan masin atau minuman berkafein, minuman manis, berkola, minuman beralkohol yang boleh menyebabkan seseorang membuang air kecil lebih kerap.

"Air minuman isotonik atau minuman sukan juga baik pada cuaca panas melampau ini terutama apabila kita berpeluh dengan banyak. Ia bagi menyeimbangkan electrolytes dalam badan yang hilang ketika berpeluh," katanya.

Sejak beberapa tahun ini, keadaan cuaca panas melampau yang dikaitkan dengan fenomena El Nino semakin berlarutan dan Malaysia tidak ketinggalan mengalami bahang kepanasan.

Bagaimanapun, ada pihak mendakwa pengambilan ais berlebihan membahayakan tubuh antaranya ia berisiko mengganggu sistem pencernaan iaitu saluran daerah mengecut, nutrien tidak diserap badan.

Ia dikatakan merendahkan kadar degupan jantung, mengurangkan nutrien dalam badan dan mengakibatkan jangkitan dalam kerongkong.

Minuman berais tidak menjadi masalah kepada tubuh, lebih penting minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. - Foto hiasan

Minum lapan gelas sehari

Dr Barakatun Nisak yang juga Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, UPM, berkata orang ramai boleh mengetahui keperluan airnya mencukupi atau sebaliknya dengan melihat warna air kencing.

"Warna itu boleh jadi petunjuk misalnya jika warnanya terlalu pekat, kita kena minum lebih air.

"Secara mudahnya, minum air lapan gelas sehari, namun ia bergantung berat badan masing-masing, lagi tinggi berat, lagi banyak air perlu diminum," katanya.

Kanak-kanak juga sangat sensitif ketika keadaan panas melampau kerana luas permukaan badan mereka lebih besar berbanding orang dewasa, dengan kadar metabolisme yang tinggi disebabkan mereka sedang membesar.

Hanya mitos minum ais jadi darah beku

Pakar Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan UPM, Prof Dr Juliana Jalaludin, berkata langkah pencegahan strok haba adalah minum lebih banyak air putih untuk mengekalkan kehidratan badan dan membolehkan tubuh berpeluh dan mengekalkan suhu badan normal.

"Ada mitos mengatakan individu perlu mengelakkan daripada minum air sangat sejuk ketika keadaan cuaca panas apabila suhu

mencapai 40 darjah Celsius kerana saluran darah kecil mungkin atau berisiko pecah.

"Bagaimanapun tiada sumber atau rujukan yang boleh dipercayai selain terdapat kekurangan kajian atau bukti saintifik untuk mengesahkannya.

"Justeru, minum air sangat penting untuk memastikan semua tubuh dapat berfungsi dengan baik termasuk sistem pencernaan dan metabolisme, menjaga suhu badan dan paling penting badan tetap terhidrasi," katanya.

Ada golongan percaya minuman ais akan menyebabkan tubuh jadi tidak bermaya, lesu, semput, sakit-sakit, perjalanan darah terganggu serta berupaya melemahkan sistem imun.

"Bagaimanapun, sehingga kini tiada kajian klinikal menunjukkan minuman ais boleh melemahkan sistem imuniti badan atau membekukan darah.

"Dari sudut perubatan moden, bukti saintifik menyatakan risiko minum air sejuk kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti selepas bersalin atau pembedahan, namun itu juga tiada kajian berkaitan yang kukuh," katanya.

Kurangkan minuman manis dan kafein

Kajian pada 2012 di China, mendapati minuman ais bagi pesakit mengalami achalasia, iaitu keadaan menyebabkan saluran bawah esofagus (saluran menelan) yang tertutup dan makanan tidak boleh masuk ke perut.

"Apabila diberi minuman panas, makanan lebih mudah ditelan berbanding apabila minum minuman ais.

"Satu lagi, kajian di Sweden pada 2001 mendapati minuman ais menggunakan penyedut boleh menyebabkan sakit kepala bagi pesakit migrain berbanding orang biasa," katanya.

Justeru katanya, pengambilan ais boleh, tetapi perlu tahu minuman ais bergula boleh memudaratkan terutama ketika cuaca panas.

"Selain itu, seseorang itu perlu mengurangkan minuman berkafein seperti kopi, teh, minuman kola, minuman manis dan makanan masin berikutan ia akan menyebabkan kekerapan membuang air dan boleh mengganggu hidrasi tubuh.

"Seelok-eloknya kita perlu mempraktikkan minum enam hingga lapan gelas air kosong sehari yang menyamai 1.5 hingga dua liter," katanya.

 

Tarikh Input: 09/05/2023 | Kemaskini: 09/05/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdIAx~