Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang

Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang

Ringkasan Artikel
Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia 2021 – 2025 merupakan sebuah dokumen perancangan yang dibangunkan dalam jangka masa lima tahun bertujuan bagi meneruskan legasi kecemerlangan universiti.

 

Oleh: Muhammad Huzaifi Ismut, Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2020/2021 Universiti Putra Malaysia

Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia 2021 – 2025 merupakan sebuah dokumen perancangan yang dibangunkan dalam jangka masa lima tahun bertujuan bagi meneruskan legasi kecemerlangan universiti.

Lima matlamat utama yang digariskan iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang, Mewujudkan Hab Penyelidikan dan Inovasi yang Menjanakan Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari, Melestarikan Perkhidmatan Jaringan Industri dan Masyarakat, Memperkasakan Pertanian dan Ketahanan Sekuriti Makanan serta Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan Kelestarian Hijau.

Jika dilihat dari sudut hierarki, UPM telah meletakkan kemenjadian graduan sebagai matlamat yang pertama dan utama.

Mahasiswa merupakan pihak berkepentingan (stakeholders) terbesar dalam sesebuah Institusi Pendidikan. Oleh itu, selayaknya perihal graduan diletakkan sebagai fokus utama dalam mencapai matlamat Pelan Strategik ke arah memperkukuhkan universiti sebagai Menara Ilmu.

Dalam usaha ke arah mencapai matlamat pertama, pentingnya untuk kita memahami terlebih dahulu sejauh manakah kemampuan graduan dalam menghadapi cabaran yang wujud pada masa kini untuk kita mempersiapkan graduan supaya kelak mereka sudah bersedia untuk mendepani segala rintangan yang jauh lebih besar dihadapan.

Sehubungan dengan itu, empat objektif strategik yang telah diletakkan dalam usaha kearah mencapai matlamat pertama, iaitu; Memperkukuh Jati Diri, Perpaduan dan Semangat Patriotisme Selari Dengan Aspirasi Nasional, Membentuk Watak dan Potensi Graduan Yang Holistik, Menambahkan Nilai dan Meningkatkan Keberkesanan Program Akademik Sepadan Dengan Keperluan Semasa dan Melahirkan Pelajar Yang Kompeten dan Berdaya Saing Peringkat Global.

Pengukuhan jati diri, perpaduan dan semangat patriotisme adalah sebuah proses yang berpanjangan dan memerlukan usaha secara kolektif daripada pelbagai pihak supaya objektif ini tercapai.

Pengukuhan nilai insaniah ini dapat direalisasikan melalui pemerkasaan program-program yang berteraskan penerapan jati diri dan semangat patriotik sama ada penganjurannya adalah daripada pelajar sendiri mahupun entiti atau PTJ di UPM.

Antara program-program yang dimaksudkan seperti Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat Universiti, Program Pidato Negaraku dan Program Kesukarelawanan dengan kerjasama NGO luar. Melalui program – program seperti ini, aspek insaniah dapat diterapkan dalam diri pelajar.

Objektif strategik yang ketiga mampu untuk dicapai melalui inisiatif yang berterusan seperti memantapkan sistem pengurusan akademik pascasiswazah dan prasiswazah yang lebih komprehensif dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif merangkumi hospitaliti seperti infrastruktur, makmal, hostel dan wifi.

Di samping itu, perancangan yang teliti dalam meningkatkan kualiti akademik graduan perlu bergerak seiring dengan sistem pengurusan akademik yang cemerlang.

Objektif yang terakhir adalah bagi melahirkan pelajar yang kompeten dan berdaya saing peringkat global. Penggemblengan usaha secara kolektif perlu digerakkan oleh semua pihak bagi merealisasikan objektif murni ini.

Antara usaha yang perlu diberi fokus adalah melalui pemerkasaan program-program yang berkonsepkan mobiliti inbound mahupun outbound. Selain itu, rakan strategik universiti perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan jalinan kerjasama terhadap program mobiliti ini.

Tuntasnya, usaha dalam melahirkan graduan berdaya tahan yang mampu mendepani cabaran mendatang bukanlah suatu perkara yang mudah. Semestinya, peranan pemimpin pelajar seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Presiden Fakulti dan Kelab dan Persatuan adalah penting bagi memastikan hasrat dapat ini dijiwai oleh kesemua lapisan pelajar. - UPM

  Muhammad Huzaifi Ismut, 
Yang Dipertua,
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2020/2021 
Universiti Putra Malaysia

Tarikh Input: 22/08/2022 | Kemaskini: 22/08/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEZEAj~