KUUB PLATFORM KERJASAMA TIGA NEGARA, HIMPUN 16 UNIVERSITI DI BORNEO | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » KUUB PLATFORM KERJASAMA TIGA NEGARA, HIMPUN 16 UNIVERSITI DI BORNEO

KUUB PLATFORM KERJASAMA TIGA NEGARA, HIMPUN 16 UNIVERSITI DI BORNEO

KUCHING: Sebanyak 16 universiti awam dan milik kerajaan di kepulauan Borneo telah berjaya dihimpunkan menerusi penganjuran sulung Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) yang diterajui Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) selama tiga hari, di sini, bermula Isnin.

Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), platform kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Brunei itu ditubuh bagi meningkatkan taraf pendidikan sambil memupuk integrasi serantau antara ketiga-tiga negara terbabit.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn menerusi teks ucapan yang dibaca Timbalan Menterinya, Datuk Dr Annuar Rapaee memberitahu, beliau percaya penciptaan KUUB juga akan meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya, seni, adat resam dan kaum serta memupuk integrasi serantau antara Malaysia, Indonesia dan Brunei.

“Memandang ke hadapan, kami berharap akan ada projek atau program yang dirancang selepas konsortium ini antara masih dalam tahun 2023 atau 2024.

“Kementerian komited sepenuhnya untuk menyokong dan membantu KUUB, dan kami mengharapkan semua universiti dan kementerian yang mengambil bahagian menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mengukuhkan penubuhan KUUB.

“Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak dan negara untuk menjadikan wilayah ini sebagai destinasi unggul pendidikan tinggi dan cemerlang di peringkat antarabangsa,”katanya menerusi teks ucapan sempena Majlis Penutupan Bengkel Inaugural & Majlis Berbuka Puasa KUBB di sini pada Rabu.

Datuk Dr Annuar yang mewakili Datuk Roland turut menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada setiap universiti yang terlibat.

Antaranya, lapan universiti dari Malaysia merangkumi UPMKB, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, UiTM Sabah, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Curtin University Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), tiga dari Brunei iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Universiti Teknologi Brunei termasuk lima dari Indonesia yang merangkumi Universitas Borneo Tarakan, Universitas Lambung Mangkurat, Universitas Mulawarman, Universitas Palangka Raya dan Universitas Tanjungpura.

Hadir sama ialah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Dato’ Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman, Setiausaha Tetap MEITD Azmi Bujang, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia Profesor Dr Ismi Arif Ismail, Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Pinjaman dan Bayaran Balik Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leornard Doo.

Majlis berkenaan diakhiri dengan semua hadirin menikmati juadah berbuka puasa bersama-sama.

Kredit : Edisi UKAS

 

 

Tarikh Input: 06/04/2023 | Kemaskini: 06/04/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXESTAQ~