KURANGKAN KELAJUAN, PENGGUNAAN PRODUK KESELAMATAN AMALAN SELAMAT KETIKA PULANG KE KAMPUNG SEMASA AIDILFITRI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » KURANGKAN KELAJUAN, PENGGUNAAN PRODUK KESELAMATAN AMALAN SELAMAT KETIKA PULANG KE KAMPUNG SEMASA AIDILFITRI

KURANGKAN KELAJUAN, PENGGUNAAN PRODUK KESELAMATAN AMALAN SELAMAT KETIKA PULANG KE KAMPUNG SEMASA AIDILFITRI

Ringkasan Artikel
Aktiviti balik kampung semasa perayaan Aidilfitri pastinya dinantikan oleh setiap umat Islam. Bukan itu sahaja, pastinya masyarakat kaum lain turut mengambil peluang untuk bercuti keranya ianya adalah cuti umum.


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Saleha Haron

Aktiviti balik kampung semasa perayaan Aidilfitri pastinya dinantikan oleh setiap umat Islam. Bukan itu sahaja, pastinya masyarakat kaum lain turut mengambil peluang untuk bercuti keranya ianya adalah cuti umum.

Berdasarkan statistik kadar kemalangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun 2022 dilaporkan kemalangan dan kematian jalan raya di Malaysia adalah sebanyak 545,630 dan menunjukkan peningkatan yang agak serius.

Menurut Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Kulanthayan KC. Mani berkata, pada tahun ini dijangkakan bilangan kenderaan semasa Aidilfitri akan tinggi.

“Seperti mana yang kita tahu negara sudah berada di fasa peralihan endemik sejak April 2022 serta kini rakyat dapat menjalankan urusan rutin seperti biasa dan pastinya balik kampung dinantikan kerana sebelum ini tidak dapat melaksanakan amalan itu,” katanya.

Tambah beliau, antara alternatif bagi mengelakkan kemalangan jalan raya adalah dengan menggunakan pengangkutan awam.

“Melalui kajian didapati kumpulan yang paling kurang menyumbang kepada kemalangan jalan raya adalah pengguna pengangkutan awam iaitu bawah satu peratus dari segi kematian jika dibandingkan dengan pengguna motosikal, kereta dan pejalan kaki yang hampir 90 peratus dalam angka kematian,” katanya.

Namun beliau akui, tidak semua masyarakat sesuai untuk menaiki kenderaan awam.

“Jika anda perlu menggunakan kenderaan persendirian untuk pulang ke kampung bersama keluarga, pastikan kenderaan di selenggara sebelum pulang ke kampung dan pemandu perlu kualiti tidur perlu optimum.

“Jika pemandu mempunyai gejala mengantuk semasa perjalanan ke destinasi, berhenti dan tidur sebentar di R&R berdekatan,” katanya.

Tambah beliau, setiap penumpang kenderaan persendirian perlu peka dengan penggunaan produk keselamatan serta semua penumpang dalam kenderaan harus menggunakan produk keselamatan dengan betul iaitu tali pinggang keledar dan jika ada penumpang kanak-kanak jangan dilupakan kerusi keselamatan kanak-kanak. 

“Jangan merasakan kerana anda duduk di bahagian belakang kenderaan itu selamat kerana jika berlakunya kemalangan kesan kecederaan boleh menjadi serius dan kebarangkalian tinggi untuk kehilangan nyawa ahli keluarga tanpa menggunakan produk keselamatan,” katanya.

Selain itu, Prof. Dr. Kulanthayan berkata, penggunaan jalan raya ke destinasi kampung turut memainkan peranan dalam aspek keselamatan di jalan raya. Antara kategori jalan raya yang selalunya akan digunakan oleh pengguna jalan raya antaranya lebuh raya, jalan persekutuan atau jalan negeri dan jalan bandaran.

“Sebenarnya ramai pengguna jalan raya tidak begitu fokus dengan keselamatan semasa berada di jalan bandaran dan jalan negeri kerana beranggapan ianya jalan raya yang biasa digunakan tetapi sebenarnya perlu lebih berhati-hati kerana kebarangkalian untuk berlakunya kemalangan itu ada.

“Antara keempat-jenis jalan raya ini yang paling selamat adalah dengan menggunakan lebuh raya kerana ianya mempunyai sistem jalan yang mempunyai pembahagi jalan (median) di mana pemandu tidak boleh bergerak ke lorong bertentangan arah dan ini dapat mengelakkan daripada pelanggaran bahagian depan,” katanya.

Prof. Dr. Kulanthayan berkata, dalam apa jua penggunaan jenis pengangkutan, penting bagi mengurangkan kelajuan kerana ini secara langsung dapat mengelakkan daripada berlakunya kemalangan dan kematian.

“Jika kenderaan dapat kurangkan kelajuan kita akan dapat kawal kenderaan dengan baik dan jika terjadinya kemalangan pada kelajuan yang rendah impaknya dan risiko berlakunya kematian ataupun kecederaan adalah rendah,” katanya.

Beliau juga berkata keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan serta celik ilmu dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya.  – UPM

Tarikh Input: 08/05/2023 | Kemaskini: 08/05/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEXSA4~