Kerjasama UPM-Mitsubishi Hasilkan Setengah Juta Anak Benih Pokok | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Kerjasama UPM-Mitsubishi hasilkan setengah juta anak benih pokok

Kerjasama UPM-Mitsubishi hasilkan setengah juta anak benih pokok

(PULIHARA HUTAN: Jack, Dr M Iqbal, Michael, Dr Nik Muhamad, Dr Bujang (berdiri bahagian tengah)dan yang lainnya merakam gambar kenangan bersama para pelajar dan kakitangan UPM serta yang lainnya semasa program penanaman pokok UPM-Mitsubishi Corporation 2019 di Bukit Nyabau UPM Kampus Bintulu semalam.)

BINTULU: Lebih satu dekad sejak Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Mitsubishi Corporation bekerjasama dalam program pemuliharaan flora bermula pada 1991 telah berjaya menanam setengah juta anak benih pokok melibatkan 120 spesies asli Sarawak yang kini mencapai tempoh matang.

Projek Pemulihan Hutan di Bukit Nyabau Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu yang bermula pada 1991 kini mencapai tempoh matang melibatkan setengah juta anak benih pokok daripada 120 spesies asli Sarawak.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata, kerjasama lebih satu dekad antara UPM dan Mitsubishi Corporation berjaya meningkatkan ekosistem di kawasan terbabit.

“Inisiatif UPM dan Mitsubishi menganjur projek itu sejajar dengan keperluan untuk penanaman lebih banyak pokok di negara ini bagi mengurang kesan pelepasan kesan rumah hijau dan menjadi harapan saya melalui program itu dapat melindungi kawasan hutan tropika dari terus berkurang,” ujarnya.

Beliau mewakili Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip semasa merasmikan Program Penanaman Pokok Tahunan UPM-Mitsubishi Corporation Ke-28 di Bukit Nyabau UPM Kampus Bintulu semalam.

Menurutnya, program itu landasan untuk memupuk pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan komuniti seluruhnya sekali gus menjadikan tempat tersebut sebagai kawasan penyelidikan terutamanya untuk pihak berkepentingan berkongsi pengetahuan berkenaan pembangunan teknik pemuliharaan hutan.

“Dalam pembangunan masa depan mungkin program itu dapat diterus dan dilaksanakan di luar kampus UPM. Ini juga memupuk hubungan yang lebih baik dalam kalangan pelajar terutamanya dalam penyebaran ilmu khasnya berkenaan alam sekitar asli,” ujarnya.

Beliau yang menghargai usaha mulia kedua-dua pihak itu turut berharap semua pihak dan komuniti terus bekerjasama untuk melindungi hutan sebagai tanda menghargai alam sekitar dan menjadikan bahagian ini sebagai bandar hijau yang mampan pada masa hadapan.

Sementara itu dalam teks ucapan Talib berkata, program yang telah memasuki tahun ke-28 menandakan usaha berterusan untuk mewujud hutan hujan tropika oleh UPM-Mitsubishi Corporation sebagai projek unik dalam penanaman pokok sejak 28 tahun lepas.

Katanya, beliau berbesar hati melihat UPM dan Mitsubishi Corporation telah menjalinkan kerjasama untuk mewujudkan hotan hujan tropika itu sebagai contoh baik kerjasama antara pihak awam dan sektor swasta dari dua negara.

“Ini menunjukkan generasi hari ini telah memain peranan untuk memastikan kualiti alam sekitar kekal mampan untuk generasi masa hadapan,” katanya.

Lebih 300 peserta dari Mitsubishi Corporation Jepun, kakitangan kerajaan, sektor swasta, kakitangan dan pelajar UPM menyertai program itu membabitkan penanaman 3,000 anak benih pokok spesies tempatan merangkumi kapor, engkabang, jantong, rambutan, pulasan, durian, engkalak, kepayang dan dabai.

Sejak 1991, sejumlah 517,100 anak benih pokok telah ditanam di kawasan itu di bawah projek pemulihan hutan yang diterajui oleh Profesor Datuk Dr Nik Muhamad Majid dan cara penanaman yang digunakan ialah ‘Miyawaki Method’.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM Profesor (Prof) Dr M Iqbal Saripan mewakili Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dato Dr Aini Ideris, Ketua Pasukan Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kelestarian Korporat Mitsubishi Corporation Tokyo Jepun Michael Lagowski, Ketua Projek UPM-Mitsubishi Prof Dato Dr Nik Muhamad Majid, Pengarah UPM Kampus Bintulu Prof Dr Bujang Kim Huat, pengerusi penganjur penanaman pokok UPM-Mitsubishi 2019 Dr Zamri Rosli, dekan-dekan serta kakitangan UPM.

 

Tarikh Input: 22/04/2019 | Kemaskini: 08/05/2019 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdJAz~