Hidupan Liar Korban Selera Eksotik | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Hidupan liar korban selera eksotik

Hidupan liar korban selera eksotik

Bahagian 1

HIDUPAN liar atau haiwan terlindung semakin terancam dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja menangkap dan menjual haiwan itu untuk peliharaaan, memperdagangkan bahagian haiwan itu di pasaran gelap bahkan sebagai hidangan eksotik di atas meja restoran.

Tindakan-tindakan itu tidak hanya boleh mengurang populasi habitat haiwan itu malah boleh membawa kepada kepupusan yang mungkin akan menyebabkan spesies haiwan yang ada di muka bumi ini tidak akan dapat dilihat atau dikenali lagi oleh generasi akan datang.

Persoalannya mengapa haiwan terlindung ini menjadi buruan?

Justeru untuk merungkai persoalannya, anggota masyarakat yang ditemui menyatakan mengenai beberapa perkara menjurus ke arah berlakunya pemburuan giat ke atas haiwan spesies terancam tersebut.

Contohnya pembunuhan gajah liar pigmi untuk mendapatkan kaki, ekor mahupun gadingnya, serta pemburuan harimau belang untuk mendapatkan kulitnya dan lain-lainnya.

Gajah pigmi Borneo adalah spesies dilindungi di bawah Jadual 1 Spesies Dilindungi Sepenuhnya, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, begitu juga spesies harimau yang turut terancam di negara ini.

Memetik laporan akhbar mengenai haiwan terlindung, seekor harimau hidup dianggarkan bernilai kira-kira AS$50,000 (RM154,690) di pasaran gelap, dengan kulitnya sahaja mencecah AS$35,000 (RM108,283).

Harga bagi harimau yang sudah mati tanpa kulit pula boleh mencecah harga AS$5,000 (RM15,469) sementara bahagian-bahagian anggota badan dijual secara berasingan dengan culanya bernilai AS$4,000 (RM12,370).

Bagi gading gajah ia dijual pada harga AS$1,800 (RM5,566) sekilogram manakala tanduk badak dijual pada harga USD97,000 (RM299,944) sekilogram.

Antara haiwan yang sangat dicari oleh pemburu haram di Malaysia adalah babi hutan, rusa sambar, kijang, kancil dan landak serta beberapa spesies burung yang jarang ditemui.

Bagi merungkai persoalan ini beberapa pihak yang ditemu bual memberikan beberapa pandangan bernas berkenaan permasalahan ini dalam usaha mengekang kegiatan pemburuan haram ini daripada terus berleluasa.

PANDANG SERIUS

Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampung Bintulu (UPMKB) Sarawak Dr Zamri Rosli, 48, berkata, isu pemburu haram serta permintaan terhadap makanan eksotik yang membawa ancaman kepada hidupan liar terlindung memang banyak berlaku di negara ini dan ia perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa.

Katanya, spesies yang banyak diburu ialah rusa, tenggiling, kijang, musang semakin berleluasa sama ada untuk mendapatkan daging, kulit atau sebagai binatang peliharaan.

“Mungkin dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19, kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan memburu dan menembak haiwan-haiwan liar terlindung ini untuk memperoleh pendapatan tambahan,” katanya kepada Utusan Borneo.

“Mereka bijak mengelak daripada dikesan pihak berkuasa bahkan ada sesetengah daripadanya sanggup mengupah orang lain untuk memantau aktiviti operasi pihak berkuasa untuk melindungi kegiatan mereka,” tambahnya.

Beliau turut berpendapat kemungkinan lokasi pemburuan jauh daripada sasaran pihak berkuasa sehingga pemburu ini biasanya mengubah lokasi pemburuan berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan mereka.

“Operasi pemburuan hari ini juga semakin canggih dan mungkin juga pemburu ada taktik tertentu untuk memanggil haiwan buruan masuk ke perangkap mereka,” jelasnya.

Ujarnya, kalau melihat keadaan pada hari ini, orang awam masih kurang untuk membuat laporan terhadap aktiviti pemburuan haram ini walaupun berlaku di depan mata dan dari segi kekerapan operasi oleh pihak berkuasa, mungkin agak kurang tetapi bukan tiada langsung atau mungkin operasi dijalankan melibatkan kos besar memyebabkan kekerapan operasi penguatkuasaan berkurangan.

Justeru katanya, yang paling penting kesedaran orang awam untuk tidak membeli atau memiliki haiwan liar terlindung ini, namun saya berpendapat keadaan ini tidak akan timbul sekiranya tiada permintaan maka tiadanya penawaran.

“Kempen sayangi hidupan liar perlu dipupuk di peringkat awal di taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah rendah, menengah dan universiti termasuk memberi atau menyatakan maklumat terkini kepada orang awam melalui penganjuran pelbagai program berkenaan jumlah terkini hidupan liar yang ada di negara ini sama ada semakin berkurangan atau sebaliknya serta kesannya kepada ekosistem hutan dan manusia.

“Anjurkan sesi jerayawara ke kampung-kampung dengan berjumpa ketua-ketua kaum untuk sama-sama melindungi hidupan liar di kawasan masing-masing, pemantauan menggunakan teknologi terkini contohnya menggunakan pengawasan dron di kawasan yang banyak hidupan liar,” katanya sambil menambah dari segi kos pembelian dron, ia digunakan sekali berbanding kos membayar kerja lebih masa kakitangan yang membuat pemantauan. Katanya, dengan menggunakan teknologi dron mungkin bukti lebih jelas dapat dirakam oleh pihak berkuasa.

Dari segi harga binatang liar ini di pasaran gelap katanya, beliau tidak pasti harga tepat, mungkin boleh dibuat kajian berkenaan harga yang ditawarkan namun secara umumnya beliau berpendapat harganya pasti tinggi di pasaran haram sebab itu pemburu sanggup mengadai nyawa untuk mendapatkan bekalan.

ANCAMAN KEPUPUSAN DAN PENYAKIT

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan UPM Kampus Bintulu Dr Suhaili Mustafa, 31, yang memfokus dalam bidang kesihatan haiwan berpendapat aktiviti pemburuan haram bagi tujuan menjadikan haiwan itu untuk peliharaan, memperdagang bahagian haiwan untuk pasaran gelap bahkan mendapatkan daging eksotik untuk jualan atau hidangan di atas meja restoran akan menyebabkan dua kesan utama.

“Yang pertamanya adalah pengurangan populasi spesies haiwan boleh membawa kepada kepupusan terutamanya haiwan-haiwan yang terancam dan ia boleh membawa kepada kemunculan penyakit zoonotik (penyakit yang boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia dan juga sebaliknya) hasil pemakanan dan pengendalian hasil pemburuan haram,” katanya.

Beliau berkata, setiap haiwan dikelilingi oleh mikroflora tersendiri yang pada asalnya tidak berbahaya kepada haiwan tersebut tetapi ia boleh mendatangkan kesan yang buruk atau penyakit kepada manusia sekiranya kita memakannya.

“Contohterdekat adalahpandemik COVID19

yang melanda dunia pada masa kini yang mana ramai pakar mempercayai virus tersebut berasal daripada haiwan liar.

“Selain daripada itu banyak lagi wabak yang berasal daripada haiwan sebagai contoh virus Ebola dan juga Zika berasal daripada binatang primat seperti orang utan atau monyet,” jelasnya.

Umum mengetahui katanya, berdasarkan undangundang sedia ada pemburu boleh melakukan aktiviti pemburuan selagi mempunyai lesen dan permit yang sah serta selagi pemburuan atau perdagangan mematuhi peraturan atau undang-undang.

Katanya, untuk memelihara haiwan-haiwan ini daripada diancam kepupusan pertamanya pengukuhan dan penguatkuasaan penuh undang-undang secara berterusan adalah perkara yang paling penting, undang-undang sedia ada harus diperhalusi dan dilihat daripada pelbagai sudut.

“Hidupan liar hendaklah dilindungi sama rata tidak kira pemburuan berlesen ataupun tidak. Aktiviti pemburuan juga hendaklah bersifat kegunaan peribadi pemburu bukannya untuk tujuan komersial.

“Hukuman yang lebih berat harus diberikan kepada pemburu haram sebagai pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu Dr Suhaili berkata, sumber manusia (anggota penguat kuasa) juga perlu dipertingkatkan dalam aktiviti mengesan pemburu haram dalam hutan supaya undang-undang boleh dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

“Lengkapkan kemahiran mereka ini (kakitangan) dengan latihan-latihan yang sewajarnya dalam menangani pemburu haram. Bagi saya memburu tetap memburu, tidak kira haiwan apa pun yang diburu yang mana diakhirnya akan memberi kesan dan impak yang sama kepada alam sekitar.

“Yang keduanya, mewujudkan lebih banyak taman negara kerana taman negara ini dapat Menyediakan habitat kepada haiwan liar,” tambahnya.

Beliau berkata, pengawalan yang lebih ketat dalam taman negara juga harus dilaksanakan dengan lebih berkesan supaya ia bebas daripada kes-kes pemburuan haram.

Katanya, kewujudan taman negara ini bukan sahaja bermanfaat kepada hidupan liar tetapi juga memberi manfaat kepada alam sekitar di mana flora dan fauna dapat dilindungi secara menyeluruh.

Justeru katanya, amat penting untuk kita mengekalkan kewujudan haiwan liar bagi mengekalkan ekosistem yang seimbang kerana pemburuan haram yang tidak terkawal sama sekali tidak menguntungkan untuk jangka masa panjang malah lebih banyak memberi kesan-kesan negatif kepada alam sekitar di negara kita khususnya negeri Sarawak.

“Sama-samalah kita berganding bahu dalam menangani isu pemburuan haram ini dan pembekalan tinggi haiwan eksotik atau liar ini tidak akan berlaku sekiranya tiada permintaan yang tinggi terhadap haiwan ini,” katanya.

Dari segi tindakan daripada pihak berkuasa katanya, biar pun tindakan telah diambil pihak berkuasa namun masalah ini masih berlaku kerana ada beberapa faktor iaitu permintaan yang tinggi dan juga habuan lumayan kepada penjualnya sehingga pemburu-pemburu mengabaikan segala aspek undang-undang dan tindakan yang akan mereka hadapi sekiranya tertangkap.

Maka atas sebab itu katanya, usaha menyeluruh harus dilaksanakan bukan hanya pada pemburu tetapi kepada pembelinya sekali dan perlu dikikis sikap kekurangan kesedaran akan kepentingan hidupan liar ini kepada kelestarian alam sekitar.

“Pendedahan berkenaan kepentingan haiwan-haiwan liar ini perlu dititik-beratkan bukan hanya di bangku sekolah tetapi kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman supaya pemupukan kesedaran lebih menyeluruh dan selari dengan usaha yang dibuat oleh pihak berkuasa,” katanya.

Bercakap mengenai harga di pasaran gelap katanya, setiap spesies dan bahagian haiwan liar ini di pasaran gelap mempunyai harga tersendiri, saya mengambil contoh terdekat pemerdagangan sisik tenggiling di Sarawak yang mana sekilogram sisik tersebut dijual oleh pemburu kepada orang tengah dalam lingkungan purata RM400 hingga RM500 sekilogram yang mana dipercayai di peringkat pasaran gelap harga tersebut akan lebih tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.

 

Tarikh Input: 18/01/2021 | Kemaskini: 18/01/2021 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETMAy~