CEBURI PERNIAGAAN JIKA TIADA PELUANG PEKERJAAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » CEBURI PERNIAGAAN JIKA TIADA PELUANG PEKERJAAN

CEBURI PERNIAGAAN JIKA TIADA PELUANG PEKERJAAN

BINTULU: Program Putra Bakti 'Future Entrepreneur: Road To Success' menggalakkan masyarakat setempat untuk terlibat dalam bidang perniagaan khususnya bagi yang tidak berpeluang mendapat pekerjaan.

Seramai 70 orang belia dan pelajar di sekitar Bintulu telah menghadiri Program Putra Bakti Future Entrepreneur : Road To Success secara bersemuka di TEGAS Digital Inovation Hub Bintulu yang dianjurkan oleh Pelajar Kursus QKH2104 Usahawan Siswa (kumpulan 1), Semester Kedua Sesi Akademik 2022/2023, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama TEGAS Digital Village & Digital Innovation Hub dan Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) 2023 pada 11 – 12 Mac 2023.

Mewakili pengurusan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Fakhzan Buang berkata, program ini mampu mendatangkan impak yang baik serta cakna terhadap keadaan masyarakat sekeliling yang kurang mendapat peluang pekerjaan.

"Program seperti ini sangat membantu golongan yang terkesan (dengan keadaan ekonomi semasa) terutama golongan belia yang berusaha untuk menjana pendapatan yang lebih menguntungkan," ujarnya pada majlis penutupan program itu.

Pada masa sama Fasilitator program Roslan Ismail memetik Naratif Naib Canselor UPM Profesor Dato Dr Mohd Roslan Sulaiman yang menyatakan pada tahun ini UPM menyasarkan 90.5 peratus kebolehpasaran graduan dengan lapan peratus lagi graduan menceburi bidang perniagaan.

"Seramai 130 usahawan siswa pula disasarkan untuk mendaftar perniagaan dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," jelasnya.

Justeru katanya, ia menunjukkan mahasiswa kita lebih cakna dalam menceburi bidang perniagaan sekali gus percaya keusahawanan adalah tulang belakang dalam ekonomi negara ini.

"Mereka mencipta pekerjaan, merangsang pertumbuhan dan memacu inovasi, mengambil risiko dan mengejar idea yang dapat mengubah dunia.

"Saya juga menggalakkan anda semua untuk merangkul usahawan dalaman anda. Ambil risiko, belajar daripada kegagalan dan tabah menghadapi cabaran," katanya.

"Kejar keinginan anda dan ubah idea anda menjadi realiti, dunia memerlukan kreativiti anda, inovasi anda dan dorongan anda untuk berjaya," tegasnya.

Mengambil kira akan usaha itu beliau mengharapkan program ini diadakan secara berterusan dan ditambah program baharu yang mendapat permintaan dalam pasaran dan lebih terbuka kepada idea menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti.

Beliau berkata, ia untuk mencapai #UPMKBMansang selaras dengan konsep 'University For Society'.

Setiap sesi slot penceramah telah memberikan ilmu yang baru kepada setiap peserta yang hadir. Pertama sekali, ceramah yang disampai oleh Encik Muhammad Abdul Rahim Habib yang bertajuk The Psychology of Successful People. Ceramah yang disampaikan oleh beliau tentang psikologi manusia sangat memberikan impak yang positif kepada para peserta untuk menempuh kehidupan yang penuh dengan cabaran.

Slot yang kedua pula yang bertajuk The Way To Be Success telah disampaikan oleh Puan Siti Nursafura Che Man yang merupakan pemilik Safura Bakery. Beliau banyak berkongsi tentang kejayaan serta halangan yang beliau hadapi sepanjang perjalanan perniagaan beliau.

Seterusnya, untuk slot yang ketiga telah disampaikan oleh Dr. Anita Rosli yang bertajuk Entrepreneur And Business. Beliau telah berjaya menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan produk – produk serta perkhidmatan yang bersesuaian untuk para peserta yang ingin memulakan perniagaan mereka.

Seterusnya, slot ceramah yang terakhir pula telah disampai oleh Dr. Aryaty Alwie yang bertajuk Entrepreneurship: Sources of Finance. Beliau memberikan pendedahan awal kepada para peserta tentang selok – belok memulakan perniagaan serta cara menguruskan kewangan dengan baik.

Antara program yang diadakan selama dua hari itu adalah sesi suai kenal, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) 1 'Business Simulation Game', LDK 2 'We Think We Sell' serta LDK 3 'The Creative Promoter'. 'Business Simulation Game' ialah aktiviti di mana para peserta perlu mendekorasikan kek dengan kreativiti masing-masing dengan para peserta dibahagikan kepada enam kumpulan, 'We Think We Sell' pula adalah aktiviti mempromosikan kek yang telah dihias dalam media sosial seperti TikTok.

Untuk aktiviti terakhir iaitu 'The Creative Promoter', para peserta perlu mempromosikan barang yang dipilih dengan tujuan untuk menyediakan platform yang membolehkan para peserta berkongsi idea, mendapatkan inspirasi dalam membina sesuatu yang baharu, membina rangkaian perniagaan dan mencari pelabur baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka.

 

Tarikh Input: 17/03/2023 | Kemaskini: 17/03/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdWAx~