RAHSIA COLOCASIA SUBUR, CANTIK MENAWAN DAN PRODUKTIF | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » RAHSIA COLOCASIA SUBUR, CANTIK MENAWAN DAN PRODUKTIF

RAHSIA COLOCASIA SUBUR, CANTIK MENAWAN DAN PRODUKTIF

Penulis: Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah

             4 November 2022

 

Pengenalan Colocasia

Colocasia adalah genus tumbuhan berbunga dalam keluarga Araceae. Tumbuhan ini sering digunakan sebagai tanaman landskap dan terdapat rizom atau umbisi daripada varieti tumbuhan Colocasia esculenta yang dijadikan sebagai makanan. Nama tempatan untuk spesies itu termasuk telinga gajah, taro, dan keladi. Ia berasal dari Asia Tenggara dan benua kecil India. Sesetengah spesies ditanam secara meluas di kawasan tropika dan subtropika.

Daun Colocasia ini berbentuk seperti perisai atau anak panah dan bersaiz lebar memberikan tumbuhan ini salah satu nama tempatan adalah telinga gajah. Daun tumbuh pada satu batang dan antara 25 hingga 150 sentimeter melintang dengan ketinggian mencapai 2 meter.

Terdapat pelbagai spesies dan varieti pada tumbuhan ini dengan saiz tumbuhan yang berbeza, warna dan bentuk daun, dari hijau terang hingga dedaunan berwarna merah dan bergaris urat hitam atau kuning terang.

Colocasia hidup subur di kawasan tropika dan sangat menggemari air yang banyak serta sinaran matahari penuh. Colocasia yang matang menghasilkan bunga dan biji benih. Untuk menanam tumbuhan ini, penggunaan umbisi dan anak pokok, sering menjadi pilihan berbanding sulur atau biji benih.

 

Penanaman Colocasia

𝟏. Medium tanaman

Tanah bakar atau tanah merah dengan tekstur campuran kasar dan halus sangat disarankan untuk tanaman Colocasia. Tanah merah yang telah dibakar ini mampu menyerap air tanpa melekit, berbonjolan dan tidak mudah hancur jika disiram dan yang paling bagus ia telah terhapus daripada semua perosak dan mikroorganisma bahaya. Tanah ini sangat sesuai untuk digunakan sebagai medium tanaman Colocasia di dalam pasuan tanpa lubang yang menakung air.

2. Pembajaan

Baja teratai (N-P-K 10-25-20) sangat sesuai untuk Colocasia yang ditanam di dalam pasuan menakung air. Guna sebiji baja untuk 1 pasu, dan pembajaan dilakukan sekali seminggu atau 2 minggu sekali. Letakkan sahaja baja dalam air yang bertakung tanpa menghancurkan atau menanam baja ke dalam tanah.

3. Penyiraman

Colocasia adalah tumbuhan yang sangat sukakan air. Pastikan air takungan dalam pasu melebihi aras tanah. Jika air kurang atau kering, tambahkan air. Boleh gunakan air paip, tetapi paling sesuai adalah air hujan. Bebas klorin!

4. Lokasi Letak

Kebanyakan Colocasia sukakan cahaya yang banyak. Oleh itu, letakkan pokok Colocasia ditempat terbuka yang mendapat cahaya matahari terus untuk mendapatkan daun yang lebar, besar dan warna yang menyerlah.

5. Penjagaan dan Pengurusan Tanaman

Penanaman Colocasia dalam pasu yang menakung air memerlukan penjagaan daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, seminggu sekali perlulah ditaburkan racun jentik-jentik ke dalam air takungan.  Selain itu, air takungan yang telah berlumut, perlulah dibuang dan digantikan dengan air yang baharu. Daun Colocasia yang sudah tua dan rosak perlu dibuang. Jangan biarkan ia membusuk di pangkal pokok.

6. Perosak

Serangga perosak utama adalah dari jenis spider mite dan afid. Gunakan racun serangga yang bersesuian yang tidak merosakkan daun.  Sembur sekali seminggu pada permukaan atas dan bawah daun serta batang. Rutin ini perlu dilakukan agar tumbuhan Colocasia bebas penyakit dan daun tumbuhan akan tahan lebih lama.

7. Pembiakan

Tumbuhan Colocasia yang matang mampu mengeluarkan sulur atau anak pokok yang banyak. Anak pokok bolehlah dialihkan ke pasu yang lain untuk memberi ruang pokok induk membesar dan lebih produktif. Selain itu, anda akan dapat menggandakan tumbuhan anda.

Dengan pengetahuan penanaman dan penjagaan tanaman Colocasia yang betul, anda pasti akan dapat menghasilkan tanaman yang subur, cantik, menawan dan produktif. Jom tanam Colocasia!

 

Varieti Colocasia yang mempamerkan daun yang sangat cantik. A. Colocasia Black Lava, B. Colocasia Pharaoh Mask, C. Colocasia White Lava.

 

Penanaman Colocasia menggunakan tanah bakar (A), pembajaan menggunakan baja teratai (B) dan penjagaan air bertakung menggunakan racun jentik-jentik (C).

Tarikh Input: 22/11/2022 | Kemaskini: 22/11/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdFAA~