Rabies: Vaksin Dan Stigma Masyarakat | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » Rabies: Vaksin dan stigma masyarakat

Rabies: Vaksin dan stigma masyarakat

RABIES adalah penyakit yang boleh dicegah dengan suntikan vaksin anti-rabies pada haiwan peliharaan khususnya anjing. Ia merupakan langkah pencegahan yang amat signifikan dalam membendung penularan.

Secara umumnya terdapat beberapa jenis vaksin virus yang diluluskan dan diguna pakai secara global antaranya ialah vaksin dilemahkan secara langsung (live attenuated), vaksin yang dinyahaktif (Inactivated), vaksin subunit/kojugat (subunit/ conjugated), toksoid vaksin (toxoid) dan sebagainya.

Manakala untuk virus rabies, vaksin yang dinyahaktif digunakan di mana virus rabies telah dinyahaktif dan tidak berkeupayaan menyebabkan jangkitan tetapi masih mempunyai komponen virus yang boleh dikenal pasti oleh sistem imunisasi haiwan untuk menghasilkan antibodi khusus kepada virus tersebut.

Secara dasarnya pemvaksinan haiwan khususnya anak anjing hendaklah diberi vaksin pada umur tiga bulan, seterusnya pada umur sembilan bulan dan vaksin tahunan.

Tempoh tiga bulan ini dipilih adalah kerana, pada tiga bulan pertama kelahiran anak anjing masih memiliki antibodi maternal yang diwarisi daripada ibunya dengan syarat ibu anjing tersebut divaksinkan.

Vaksin amat penting bagi haiwan peliharaan kerana dengan pemberian vaksin yang berjadual dapat mencegah dan mengurangkan kadar jangkitan yang serius kepada haiwan tersebut.

Namun begitu, masih ramai masyarakat umum tidak mendapat maklumat yang tepat dalam keperluan pengambilan vaksin untuk haiwan peliharaan mereka. Masih terdapat segelintir pemilik haiwan peliharaan yang enggan dan berdegil untuk mengambil vaksin kerana mereka beranggapan vaksin akan memberi kesan mudarat yang serius kepada haiwan mereka.

Memang tidak dinafikan terdapat kesan sampingan selepas pengambilan vaksin tetapi ia begantung kepada sistem imunisasi haiwan itu sendiri. Kebanyakannya adalah dalam keadaan yang amat terkawal di mana ia amatlah minor jika dibandingkan dengan impak vaksin itu sendiri.

Keadaan ini menjadi bertambah parah apabila wujudnya sesetengah pihak yang sengaja menularkan kesan mudarat akibat maklumat yang salah ini dan juga acapkali memomokkan masyarakat dengan keburukan pengambilan vaksin untuk haiwan peliharaan.

Disebabkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab masyarakat beranggapan vaksin berbahaya dan tanpa merujuk kepada yang pakar, mereka bersandarkan kepada maklumat tersebut membuat keputusan untuk tidak melakukan pemvaksinan.

Akses kepada maklumat tanpa kefahaman yang betul terhadap sesuatu bentuk rawatan, boleh membawa kepada dua dapatan iaitu sama ada mereka membantu mengurangkan atau menambahkan lagi statistik penyakit berjangkit yang mana dalam konteks ini ialah penyakit rabies.

Sebagai masyarakat yang berpengetahuan dan bijak pandai seharusnya kita menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat tersebut sebelum membuat keputusan yang kita takuti akan merugikan kita pada masa akan datang.

Secara peribadinya penulis berpendapat stigma seperti ini hendaklah perbaiki bersama dalam memberi pendedahan dan kesedaran kepada mereka.

Selain itu, tidak kurang juga masyarakat umum yang masih mempunyai kesedaran yang amat kurang terhadap kepentingan melakukan pemvaksinan terutamanya masyarakat di luar bandar.

Antara fiil yang sering kali kita perhatikan apabila setiap kali pihak berwajib ingin melakukan pemvaksinan di sesuatu kawasan/kampung, pemilik haiwan peliharaan akan segera menyembunyikan/menambat haiwanhaiwan mereka dan tidak membenarkan pemvaksinan dilakukan.

Tidak kurang juga terdapat segilitir yang bersikap terus enggan memberi kerjasama yang sepatutnya dan menyukarkan usaha-usaha pihak berwajib. Berdasarkan pemerhatian penulis mereka ini masih beranggapan yang suntikan tersebut adalah taktik kerajaan bertujuan untuk membunuh haiwan mereka dan bukannya untuk sebaliknya biarpun begitu banyak aktiviti kesedaran telah dibuat dan dijalankan.

Kita sebagai individu dalam masyarakat juga hendaklah memainkan peranan penting untuk berkongsi dan menyebar maklumat tepat mengenai vaksin ini dalam membendung wabak daripada terus menular.

Kepada pemilik haiwan peliharaan vaksinlah haiwan peliharaan anda terutamanya anjing dan kucing demi kesejahteraan sejagat. Usaha yang sedikit daripada kita semua sedikit sebanyak akan memberi impak yang besar dalam membendung penularan.

Kita juga hendaklah sentiasa cakna agar segala usaha yang dilakukan seperti program vaksin secara besarbesaran dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kesejahteraan dan kesihatan kita adalah tanggungjawab kita bersama. Ingatlah rabies mampu dicegah dan dibendung, dengan kerjasama semua. Maka marilah bersama-sama kita memberi kerjasama yang optimum kepada pihak berwajib didalam usaha-usaha mereka.

Pepatah sering mengatakan “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Oleh itu sekali lagi penulis menggesa semua lapisan masyarakat supaya mengambil peranan ini dengan lebih serius supaya wabak rabies khususnya di negeri Sarawak yang tercinta ini dapat dibendung dengan jayanya dan mengembalikan penarafan bebas rabies kepada negara kita. — (Artikel ini disediakan oleh Dr Suhaili Mustafa, pensyarah kanan di Univeriti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel suhailimustafa@upm.edu.my

 

Date of Input: 20/01/2021 | Updated: 20/01/2021 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUGAa~