Potensi Sarawak Sebagai Pusat Rujukan Perhutanan-Tani Serantau | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Potensi Sarawak Sebagai Pusat Rujukan Perhutanan-Tani Serantau

Potensi Sarawak Sebagai Pusat Rujukan Perhutanan-Tani Serantau

Perhutanan-tani adalah suatu sistem pengurusan tanah di mana pengeluaran pertanian dan pengeluaran hasil hutan dijalankan di atas sebidang tanah yang sama secara optimum dan produktif. Tidak seperti kebanyakan sistem pertanian konvensional, sistem perhutanan-tani dapat menghasilkan pengeluaran pertanian secara lestari. Ia adalah suatu sistem mesra alam kerana pokok-pokok hutan yang ditanam akan meningkatkan penyerapan karbon, sekali gus menyumbang kepada adaptasi perubahan iklim. 

Selain itu, perhutanan-tani mengurangkan keperluan baja kimia. Ini kerana kesuburan tanah dapat dipertingkatkan melalui pereputan bahan-bahan organik seperti ranting kayu dan daun gugur.

Perhutanan-tani bukannya baharu di Malaysia, namun pelaksanaannya agak terhad jika dibandingkan negara-negara lain seperti Australia, Columbia, Brazil, Kenya dan India kerana kita lebih memberi tumpuan kepada pertanian monokultur seperti perladangan kelapa sawit dan getah.

Dalam aspek ini, keunikan Sarawak membuatkannya sangat berpotensi untuk menjadi pusat perhutanan-tani di Malaysia dan Asia Tenggara kerana negeri itu mempunyai keluasan tanah serta kawasan pertanian yang luas. Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia, dan mempunyai banyak sumber tenaga kerja dalam sektor pertanian, perladangan dan perhutanan. Sektor pertanian, perhutanan dan sumber asli masih menjadi penyumbang terbesar ekonomi Sarawak selain pelancongan.  

Sistem perhutanan-tani dapat menghasilkan pengeluaran untuk jangka pendek dan jangka panjang, memastikan petani mendapat pendapatan yang stabil dan terjamin. Contohnya, pokok gaharu, kelapa sawit dan pokok-pokok hutan lain akan memberi pendapatan jangka panjang, sementara tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang tumbuh lebih cepat dapat dituai untuk mendapatkan pendapatan segera. Sistem ini berjaya meningkatkan pendapatan banyak komuniti di seluruh dunia terutama di benua Afrika.

Sarawak mempunyai pelbagai jenis tanaman pertanian dan pokok hutan, termasuk tumbuhan yang cukup unik dan hanya wujud di Bumi Kenyalang. Contohnya, buah engkalak dan pokok belian. Terdapat banyak lagi spesies endemik yang sesuai terdapat di Sarawak untuk digunakan dalam sistem perhutanan-tani. 

Saya yakin perhutanan-tani mampu menggantikan sistem pertanian konvensional bagi memastikan pengeluaran hasil pertanian dan perhutanan dapat dijalankan secara lestari. Kunci untuk mencapai ini adalah di Sarawak.

Untuk menjayakan pengembangan konsep perhutanan-tani, penyelidik dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Arifin Abdu sedang giat menjalankan dokumentasi yang sesuai dijadikan contoh perhutanan-tani yang baik di seluruh negara. Selain itu, terdapat banyak juga kawasan pertanian dan perladangan yang menerapkan konsep perhutanan-tani ini cuma perlu penambahbaikan dari segi jenis tanaman  bersesuaian. Perhutanan-tani adalah kunci untuk memastikan sumber bekalan semula jadi sentiasa mencukupi di samping melindungi alam sekitar kita daripada rosak dan pupus.

Dr. S.R. Keeren ialah Pensyarah Kanan & Felow di Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian & Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Kampus Bintulu, Sarawak.

Selanjutnya : https://www.utusan.com.my/rencana/2021/07/potensi-sarawak-sebagai-pusat-rujukan-perhutanan-tani-serantau/?fbclid=IwAR2xIbkRwM5uGy3pxoBCfL3z7AmWRsUs-9OvFhr9GebThMoTj2EeMb7X6-Q

Tarikh Input: 09/07/2021 | Kemaskini: 14/07/2021 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdVAZ~