PENYELIDIK BANTU TINGKAT HASIL BERAS BARIO | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » PENYELIDIK BANTU TINGKAT HASIL BERAS BARIO

PENYELIDIK BANTU TINGKAT HASIL BERAS BARIO


Prof. Dr. Patricia menunjukkan seleksi beras Bario yang terdapat di Sarawak.


RATA-RATA masyarakat di sebelah Semenanjung Malaysia mungkin tidak pernah merasai keenakan beras Bario yang berasal dari Sarawak.

Hal ini kerana beras yang dihasilkan daripada padi huma (tanah tinggi) di kawasan Bario itu amat sukar didapati.

Jika adapun dijual di Semenanjung harganya mungkin berlipat kali ganda.

Walaupun zaman semakin moden, namun beras Bario masih menggunakan kaedah penanaman dan pengeluaran secara tradisional.

Beras berkenaan masih mengekalkan standard organik dengan pengeluaran beras yang bebas daripada sebarang bentuk pencemaran alam sekitar.

Situasi ini menyebabkan kewujudan beras Bario kurang diketahui umum kerana faktor penanamannya yang berskala kecil serta tidak dapat dipasarkan ke luar kawasan.

Timbalan Pengarah Institut Ekosains Borneo, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Prof. Dr. Patricia King Jie Hung berkata, ekosistem penanaman beras Bario perlu dikekalkan kerana ia harta pusaka Sarawak yang perlu diperjuangkan.

“Institut Ekosains Borneo, UPMKB sangat mementingkan kelestarian bagi melindungi semua jenis-jenis padi Bario yang terdapat di negeri Bumi Kenyalang ini.

“Oleh itu, kajian akan dilakukan secara menyeluruh bagi mencari solusi meningkatkan hasil beras Bario. Kami juga akan mencari kaedah terbaik memasarkan beras ini di dalam dan luar Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

BERAS Bario diakui khasiatnya kerana mempunyai kadar indeks glisemik yang rendah.


Dalam pada itu, Patricia berkata, pihaknya akan melakukan kajian bagi menambah baik teknik penanaman padi dengan mengekalkan tradisi etnik di kawasan berkenaan.

Jelasnya, pihaknya juga perlu mencari nutrisi tanah yang digunakan dan mengenalkan formulasi serangga dengan kawalan mesra alam supaya alam sekitar terus kekal terpelihara.

Dia berharap kajian berkenaan dapat meningkatkan lagi keuntungan kepada petani dan mengekalkan kualiti beras, meskipun kuantiti pengeluarannya sudah ditambah pada masa depan.

“Bukan itu sahaja, kami sangat mementingkan adat istiadat masyarakat Sarawak yang mempunyai lebih daripada 20 etnik.

“Seiring perkembangan teknologi moden, penduduk di sini akan mengalami perubahan dari aspek pembangunan sosial dan ekonomi.

“Ia hasil daripada penyelidikan dan pemahaman lebih baik terutama dari aspek biodiversiti, ekologi, warisan kebudayaan, sejarah, astropologi serta kepelbagaian bahasa di sini,” katanya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB, Dr. Zakry Fitri Ab. Aziz berkata, pihaknya akan terus memelihara variati beras Bario di Sarawak.

Jelasnya, ia boleh dipelihara menerusi pendekatan moden dan tradisional agar keharmonian dapat dipadankan dengan landskap serta masyarakat setempat

Date of Input: 08/11/2022 | Updated: 08/11/2022 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUXAb~