PENERAPAN NILAI 'AL-FALAH' MAMPU TINGKAT KUALITI PENJAWAT AWAM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PENERAPAN NILAI 'AL-FALAH' MAMPU TINGKAT KUALITI PENJAWAT AWAM

PENERAPAN NILAI 'AL-FALAH' MAMPU TINGKAT KUALITI PENJAWAT AWAM


Penerapan konsep jujur dan amanah membentuk organisasi perkhidmatan cemerlang serta menghasilkan penjawat awam produktif. - Foto hiasan


Oleh Dr Ahmad Nasir Mohd Yusoff - Januari 18, 2023 @ 1:30pm

Dalam ucapan perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Putra, kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota perkhidmatan awam tidak mengamalkan budaya selesa dalam sebarang urusan dan pentadbiran negara.

Sebaliknya Perdana Menteri mahu penjawat awam mempunyai keinginan dan berhasrat membawa perubahan kepada sistem pentadbiran dan urusan, tanpa mengetepikan kekuatannya.

Berkekuatan lebih sejuta orang, penjawat awam adalah nadi penggerak dan tulang belakang kerajaan, sekali gus menuntut mereka memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan seiring dengan perubahan.

Dalam konteks ini, tidak boleh dinafikan penjawat awam perlu melonjakkan kecemerlangan atau 'al-falah' melalui pemantapan modal insan dengan kompetensi masa hadapan bagi membantu organisasi kukuh dan fleksibel, pengurusan dan pembangunan projek cekap, pantas serta berimpak tinggi.

Kehadiran teknologi digital dan kemunculan generasi masyarakat bermaklumat (Society 4.0) berkembang tinggi pada masa kini perlu dianggap sebagai cabaran dan peluang untuk penjawat awam melangkah lebih maju pada masa hadapan .

Pada era ini juga Jepun giat memperkenalkan Society 5.0 berkonsepkan masyarakat berpusatkan manusia dengan ekonomi maju, sosial seimbang diperkukuhkan melalui hubungan dengan teknologi, integrasi ruang maya dan nyata.

Setiap individu bergelar penjawat awam dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, politik, ekonomi, kebudayaan, kesenian, keagamaan dan sebagainya, mereka perlu berdaya saing dan memupuk potensi hubungan individu dengan teknologi menjadi keperluan pada ketika ini.

Ia sebagai dorongan untuk meningkatkan kualiti hidup dalam masyarakat dan komuniti 'super' pintar tanpa meminggirkan sentuhan insaniah. Kerjasama sesama insan khasnya antara penjawat awam sama penting dengan hubungan dengan teknologi. Justeru, al-falah dapat dijana dalam mana-mana sektor perkhidmatan awam dan organisasi.

Penjawat awam yang mencapai al-falah dalam kerjaya dan perkhidmatan memiliki ciri-ciri bermotivasi tinggi, diperkasakan secara holistik menerusi pelbagai inisiatif pembelajaran dan pembangunan kendiri lestari merangkumi pembangunan potensi diri, menterjemahkan visi dan misi organisasi dan pencapaian individu sebenar.

Kaedah boleh diketengahkan bagi membentuk al-falah dalam kalangan penjawat awam ialah menerusi latihan dan menerap sikap ingin mencapai kejayaan berprestasi tinggi, berintegriti, ihsan, dinamik, berupaya memenuhi jangkaan pelanggan atau pemegang taruh dan bimbingan.

Strategi pembangunan modal insan

Pada akhirnya, ia mampu meningkatkan kesejahteraan hidup, memupuk kepemimpinan transformasi dan menyumbang kepada pencapaian organisasi seperti disasarkan. Malah, strategi pembangunan modal insan dalam perkhidmatan awam memerlukan pembabitan semua individu, tiada terkecuali.

Organisasi mencapai al-falah terhasil menerusi usaha bersama dan saling kebergantungan antara individu berada dalam perkhidmatan awam ini.

Penjawat awam yang melanggar etika tugas, terbabit salah laku dan melanggar tatatertib seperti salah guna kuasa, rasuah, cuai, tidak beradab dan tidak amanah, menyebabkan institusi tempat kerja terpalit masalah dan tercemar.

Antara ciri penjawat awam cemerlang jika dilihat dalam konteks al-falah adalah rajin berfikir, mempunyai minda terbuka dan berfikir secara menyeluruh.

Penjawat awam yang berfikir berupaya memajukan diri, tidak mudah dikuasai orang lain, dapat meningkatkan daya intelek dan berpengetahuan, menjana aktiviti lebih kreatif dan bersifat membina serta tidak stereotaip.

Paling penting, penjawat awam wajib patuh kepada etika dan peraturan kerja, pekeliling dan akta buruh, prosedur dan arahan kerja, praktikal dan syumul, seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek, fleksibel dan mementingkan amanah serta tanggungjawab kepada kerja.

Pada era maklumat boleh diperoleh 'di hujung jari', memiliki minda terbuka adalah ciri penjawat awam berjaya. Minda terbuka menjadikan intelektual tidak terbantut, bebas dan tindak tanduk terkawal.

Lebih 90 peratus penjawat awam adalah Bumiputera dan sebahagian besar mereka adalah orang Islam. Justeru, penjawat awam beragama Islam perlu memahami hakikat berfikiran terbuka dalam konteks perkara benar dan salah atau hak dan batil.

Sebagai penjawat awam yang inginkan al-falah dalam perkhidmatan awam, mereka perlu memiliki kekuatan jasmani dan nilai rohani, terutama dalam aspek iman, adab dan akhlak.

Segala elemen ini perlu diterjemahkan dalam setiap diri penjawat awam sama ada dalam organisasi, pejabat, komuniti dan di tempat bekerja.

Nilai jujur, amanah, menghormati orang lain, sabar ketika tertekan dengan bebanan kerja, memaafkan rakan sejawat, tegas menjalankan tugas dan amanah pasti membentuk organisasi perkhidmatan awam cemerlang dan berkualiti serta menghasilkan penjawat awam produktif.

Keseimbangan antara intelek, emosi, fizikal dan rohani akan menjana penjawat awam cemerlang, berilmu dan mengekalkan kualiti perkhidmatan seperti diharapkan Perdana Menteri serta pelanggan - orang awam.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Dan Kenegaraan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Tarikh Input: 19/01/2023 | Kemaskini: 19/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETEA6~