MULAKAN TAHUN 2023 DENGAN AZAM ‘SELF-CARE’ | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » MULAKAN TAHUN 2023 DENGAN AZAM ‘SELF-CARE’

MULAKAN TAHUN 2023 DENGAN AZAM ‘SELF-CARE’

"Tahun ni saya berazam nak kurus", "Tahun ni saya berazam nak jadi kaya", “Tahun ni saya berazam nak kahwin", “Tahun ni saya berazam nak belajar bersungguh-sungguh”. Pelbagai azam yang sering kita dengar daripada rata-rata netizen yang menginginkan kehidupan yang lebih baik pada tahun 2023. Azam yang baik dan positif penting untuk kita memulakan tahun baru. Namun jarang kita dengar, ada yg mencipta azam untuk meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi dalam kehidupan.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini, pelbagai tekanan yang perlu diharungi oleh masyarakat untuk meneruskan hidup. Tekanan ini sudah tentunya boleh menjadi punca kepada stres dalam kehidupan. Manakala, stres, jika tidak diuruskan dengan baik, akan menjadi punca kepada pelbagai permasalahan lain dalam kehidupan. Antaranya, menurunkan motivasi dalam pekerjaan, mudah marah pada pasangan atau anak, perasaan cemas yang tidak menentu dan sebagainya. Keadaan ini jika dibiarkan berlanjutan sudah pasti akan menjejaskan kualiti hidup seseorang. Kesannya, bukan hanya ke atas diri individu tersebut sahaja, malah orang sekeliling turut akan terjejas. Misalnya suami isteri akan mudah bertengkar, ibu bapa akan mudah memarahi anak, para pekerja akan mencipta budaya kerja “mengular” dan rakan sekelas akan membuli atau memulaukan rakan yang lain. Perkara-perkara sebegini sudah tentu akan melukakan hati orang disekeliling kita seandainya tidak “dirawat” dengan lebih awal.

Bagi mewujudkan persekitaran positif dalam hidup, ianya hendaklah dimulakan dengan diri kita sendiri terlebih dahulu sebagai langkah pertama. Antara perkara penting yang perlu diuruskan adalah dengan melakukan ‘self-care’ bagi meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi dalam diri.

‘Self-care’ atau penjagaan kendiri bermaksud menjaga mental dan emosi diri dengan mencukupi melalui pelbagai aktiviti sihat serta positif. Aktiviti ini adalah bebas namun objektifnya adalah untuk menurunkan “tangki” stres dalam diri seseorang individu. Ianya amat penting untuk selalu dilakukan agar emosi kita akan lebih stabil dan seterusnya akan memberi impak positif kepada orang sekeliling kita.

Oleh itu, di sini saya kongsikan kepada pembaca antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk ‘self-care’.

  1. Berjalan

Berjalan selama 10 hingga 15 minit sehari secara perlahan sambil melihat kehijauan alam adalah tidak memenatkan. Tetapi kesannya sangat menakjubkan ke atas diri seseorang kerana selain membakar kalori, berjalan mampu meningkatkan kesihatan diri secara fizikal dan mampu menenangkan jiwa pada masa yang sama. Kaedahnya, pastikan ketika anda berjalan, tiada gangguan terhadap media sosial, gajet mahupun lagu-lagu daripada telefon bimbit anda. Gunakan masa 10 hingga 15 minit ini untuk fokus kepada bunyi alam seperti kicauan burung, bunyian cengkerik, tiupan angin yang membuai dedaun dan deruan air. Fokus kepada kekinian secara menyeluruh kepada bunyian ini dan hiruplah udara yang segar. Rasakan kesegaran udara yang masuk ke seluruh anggota badan. Bagitahulah pada diri, “Aku bersyukur dengan kebesaran-Mu Tuhan atas nikmat yang Engkau berikan ini”. Lakukanlah sekurang-kurangnya 1 minggu sekali, anda akan dapat merasakan ketenangannya.

  1. Kata magis untuk diri

Kita selalu mendengar orang tua-tua berpesan pada anak-anak, apabila orang lain membantu atau melakukan kebaikan kepada kita, jangan lupa ucapkan terima kasih kepada mereka. Bagaimana pula sekiranya diri kita sendiri yang melakukan kebaikan pada diri? Adakah kita akan melakukan perkara yang sama pada diri kita? Jika kita boleh ucapkan kata-kata magis pada orang lain, mengapa tidak ucapan yang sama diberikan pada diri sendiri sebagai penghargaan pada diri atas usaha yang telah kita lakukan pada diri. Tidak kira sekecil apapun kebaikan itu, hargailah ia kerana dengan menghargai diri sendiri, kita akan lebih menyayangi diri. Contoh kata magis yang boleh diucapkan pada diri adalah, “Dhia (panggil nama sendiri), terima kasih banyak-banyak aku ucapkan pada engkau (tujukan kepada diri sendiri) kerana telah menjaga diri dengan baik sehingga hari ini. Aku tahu bukan mudah, tetapi kesukaran inilah yang membuatkan engkau tabah dalam mengharungi kehidupan. Aku sayang diri aku!”.

  1. Berkongsi dengan seseorang

Berkongsi perasaan kepada seseorang merupakan salah satu aktiviti ‘self-care’ yang sangat  berkesan kerana berkongsi perasaan dengan orang yang sesuai akan membuatkan kita berasa sangat lega. Keadaan ini juga dipanggil sebagai katarsis. Walaubagaimanapun, untuk mencapai katarsis ini, anda perlu mencari seseorang yang pakar untuk mendengar luahan anda. Misalnya, berjumpalah dengan kaunselor yang bertauliah kerana kaunselor akan mendengar luahan anda tanpa syarat. Jangan biarkan “tangki” stres anda penuh dek kerana tidak mahu orang tahu yang anda sedang stres atau bersedih. Ia hanya akan memburukkan lagi keadaan dan langsung tidak menggambarkan kekuatan emosi anda.

  1. Melukis / menulis jurnal perasaan

Selain berkongsi dengan orang lain, anda juga boleh melukis sesuatu pada kertas putih kosong secara bebas. Ia merupakan salah satu teknik untuk kita mengekspresikan perasaan kita melalui terapi kesenian. Selain itu, jika tidak gemar melukis, anda juga boleh membuat luahan melalui penulisan jurnal perasaan. Ianya sama seperti menulis diari. Tuliskan apa sahaja perasaan yang anda alami pada setiap hari atau ketika anda perlu mengosongkan “tangki” stres anda. Boleh mulakan dengan ayat “Hari ini, aku rasa… (teruskan menulis perasaan sehingga anda berasa puas). Selepas selesai menulis, anda boleh juga membaca semula kenyataan yang anda tuliskan ini untuk kesan yang lebih mendalam.

  1. Lakukan perkara yang anda gemari

Melakukan perkara yang anda gemari juga merupakan salah satu aktiviti ‘self-care’ yang berkesan untuk dilakukan. Misalnya, sekiranya anda gemar menonton ‘movie’, maka carilah masa untuk pergi menonton. Tidak semestinya menonton di panggung wayang, dengan teknologi dan kemudahan yang ada pada masa kini, anda juga boleh menonton di rumah secara percuma. Jika anda pula gemar mengemas rumah, maka carilah masa untuk melakukan aktiviti ini agar anda dapat mengembalikan kesejahteraan emosi anda. Oh ya, jangan lupa ucapkan juga terima kasih pada diri atas usaha yang anda lakukan pada diri selepas mengemas ya!

  1. Lakukan aktiviti spiritual

‘Self-care’ juga merangkumi aspek spiritual. Tidak mengira agama apa sekalipun, dengan melakukan aktiviti spiritual mengikut kepercayaan masing-masing penting untuk mencapai ketenangan dalam jiwa. Misalnya dalam Islam, penganutnya wajib melakukan solat 5 waktu sehari semalam. Bonus jika ditambah dengan mengaji Al-Quran serta amal ibadah yang lain seperti berzikir, bermunajat serta melakukan solat sunat yang lain dan memohon dengan bersungguh-sungguh kepada Allah untuk diberikan ketenangan jiwa. Sesungguhnya, Dia yang memberikan sesuatu ujian untuk kita, dan Dia lah juga yang mampu mengurniakan nikmat ketenangan kepada kita. Ayuh mulakan aktiviti spiritual berdasarkan kepercayaan masing-masing dengan segera!

Ada pelbagai aktiviti ‘self-care’ yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan mental dan emosi. Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan meneroka apakah aktiviti ‘self-care’ yang boleh membantu dan sesuai bagi diri anda. Ingat, jika kita tidak menjaga diri kita pada hari ini, jadi, siapa lagi yang akan melakukannya untuk kita? Jangan lupa lakukan aktiviti ‘self-care’ untuk diri setiap hari. – (Artikel ini disediakan oleh Hairunisah Abdul Rahman, Pegawai Psikologi di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak. Beliau boleh dihubungi melalui emel: hairunisah@upm.edu.my)

 

Tarikh Input: 04/01/2023 | Kemaskini: 11/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdEAz~