Lokan Elemen Penting Ekosistem, Yang Menjana Sumber Ekonomi | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » Lokan Elemen Penting Ekosistem, Yang Menjana Sumber Ekonomi

Lokan Elemen Penting Ekosistem, Yang Menjana Sumber Ekonomi

PELIHARA EKOSISTEM: Peranan lokan penting bukan sahaja sebagai sumber makanan, malah mampu memelihara ekosistem.

SARAWAK Bumi Kenyalang adalah negeri dalam Malaysia yang terletak di Pulau Borneo yang menempatkan tiga sempadan negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei dengan jumlah keluasan sekitar 740,000 kilometer persegi.

Sarawak mengalami cuaca panas dan lembab sepanjang tahun kerana beriklim tropika. Selain daripada itu, kedudukan Sarawak yang menghadap Laut China Selatan menyebabkan negeri ini mengalami Monsun Timur Laut yang berlaku pada bulan Oktober sehingga Mac setiap tahun.

Keadaan iklim yang dialami Sarawak ini merupakan salah satu elemen penting dalam pembentukan habitat semula jadi bagi pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan di kawasan tanah tinggi sehingga paya bakau. Keluasan hutan paya bakau di Sarawak dianggarkan sekitar 167,312 hektar iaitu 26 peratus daripada keseluruhan paya bakau yang terdapat di Malaysia.

Kewujudan hutan paya bakau adalah penting untuk industri perikanan pesisir pantai kerana merupakan kawasan pembiakan hidupan akuatik dan seterusnya menyumbang pelbagai hasil tangkapan seperti udang galah (Macrobrachium rosenbergii), ketam nipah (Scylla serrata), kerang (Anadara granosa), siput bakau (Cerithidea spp.) dan lokan (Geloina spp.).

Lokan atau nama sainfiknya Geloina sp. adalah haiwan yang tergolong dalam filum moluska dan dikategorikan sebagai kelas dwicwengkerang. Lokan kebiasaannya banyak menghuni kawasan berpaya seperti paya bakau dan nipah. Ia hidup di kawasan berpaya dengan menimbuskan dirinya ke dalam lumpur.

Haiwan ini merupakan haiwan yang makan fitoplankton atau tumbuhan mikroskopik secara menapis air. Air sungai akan disedut melalui sifon yang kebiasaannya terletak pada bahagian bukaan posterior ceng- kerang dan seterusnya zarah terampai akan ditapis melalui organ yang dinamakan insang.

Insang ini mempunyai saluran silium yang befungsi untuk mengasing dan mengeluarkan zarah terampai. Makanan yang terperangkap pada insang akan bergerak ke bahagian mulut dan kemudian bergerak ke sistem pencernaan untuk proses penyerapan nutrien.

Seperti haiwan moluska yang lain, lokan membiak secara persenyawaan luar iaitu persenyawaan antara benih jantan (sperma) dan benih betina (ovum) yang berlaku di dalam air.

Lokan jantan dan betina yang telah mempunyai organ pembiakan yang telah matang akan melepaskan sperma dan ovum ke dalam air untuk proses persenyawaan. Benih jantan dan betina yang telah bersenyawa akan mengalami beberapa proses sehingga menjadi larva.

Pada peringkat larva ini, lokan adalah haiwan yang boleh bergerak dan berenang di dalam air, di mana berbeza jika dibandingkan dengan lokan dewasa yang hanya statik dan membenamkan dirinya di dalam lumpur.

Larva lokan akan mengalami proses metamorfosis untuk ke peringkat juvenil. Pada peringkat juvenile, lokan tidak mempunyai silium dan mula membenamkan dirinya ke dalam lumpur seperti lokan dewasa. Apabila juvenil lokan ini telah membesar, proses kitaran hidup ini akan berulang lagi.

Kawasan paya bakau dan nipah di Sarawak menjadi habitat kepada tiga jenis lokan iaitu Geloina erosa, Geloina expansa dan Geloina bengalensis. Ketiga-tiga spesies lokan ini boleh dibezakan daripada rupa bentuk fizikal cengkerangnya.

Geloina erosa boleh dikenal pasti melalui cengkerang yang berbentuk sub-rhomboidal bujur. Bagi Geloina bengalensis, bentuk cengkerangnya adalah sub-trigonal manakala cengkerang Geloina expansa berbentuk seakan-akan bujur ke bahagian posterior.

Lokan ini boleh dijumpai di bahagian Kuching, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas. Disebabkan lokan ini boleh diperoleh dengan banyak, ia telah menjadi salah satu sumber protein alternatif kepada ikan.

Lokan banyak dikutip oleh penduduk berhampiran kawasan paya bakau dan nipah dan dijual kepada orang ramai di tamu-tamu dan pasar basah. Walaubagaimanapun, lokan di bahagian Limbang dan Lawas banyak dijual oleh penduduk tempatan di sepanjang tepi jalan.

Selain daripada sumber makanan kepada penduduk tempatan, lokan juga mempunyai peranan yang penting terhadap ekosistem paya bakau seperti penapisan air, penyingkiran nitrogen dan penyimpanan karbon.

Proses penapisan air berlaku serentak dengan proses mendapatkan makanan oleh lokan. Oleh yang demikian, proses menapis ini akan dapat meningkatkan kejernihan air dengan mengurangkan komposisi mendapan dan lebihan nutrien dalam air.

Air yang jernih akan membenarkan penembusan cahaya matahari untuk pertumbuhan fitoplankton dan meningkatkan jumlah oksigen terlarut di dalam air yang baik untuk organisme akuatik yang lain. Lokan juga berperanan dalam kitaran nitrogen dan karbon yang terdapat dalam ekosistem paya dengan menyerap dan menyimpan nitrogen dan karbon di dalam tisu dan juga cengkerang.

Justeru, peranan lokan adalah penting bukan sahaja kepada habitat yang didiami, malahan sebagai sumber makanan alternatif dan juga sumber ekonomi kepada penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan paya.

Pengurusan dan pemeliharaan hutan paya bakau dan nipah secara mampan adalah penting untuk menjaga ekosistem semula jadi dan sebagai lubuk rezeki kepada penduduk sekitarnya. Oleh yang demikian, pihak badan berwajib haruslah memainkan peranan dalam mengawal pembangunan di kawasan hutan paya bakau.

 

 

Date of Input: 19/11/2019 | Updated: 19/11/2019 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

P.O Box 396, Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086338948
C1576080310