Kursus Penternakan Lembu Bali Dan Fidlot Anjuran UPMKB Menggalakkan | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » Kursus penternakan lembu Bali dan fidlot anjuran UPMKB menggalakkan

Kursus penternakan lembu Bali dan fidlot anjuran UPMKB menggalakkan

KURSUS penternakan lembu Bali dan fidlot anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) di Bintulu, baru-baru ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan disertai 34 peserta dari Bintulu, Kuching, Kabong, Sarikei, Saratok, Sibu dan Miri.

Menurut UPMKB, kursus tersebut mendapat sambutan menggalakkan kerana peserta menyedari potensi dan permintaan terhadap daging lembu segar tempatan yang sangat tinggi di pasaran.

Kursus dianjur bagi menggalakkan penyebaran ilmu dalam bidang pertanian kepada masyarakat luar selaras dengan Misi UPM iaitu memberi sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan menusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

Ceramah-ceramah disampaikan oleh pegawai pertanian kanan Taman Pertanian Universiti, UPMKB Dr Zaidi Suif dan pensyarah kanan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPMKB Mohamad Nasir Hassan

Sementara itu secara amnya di Sarawak, industri penternakan lembu adalah kecil berbanding komoditi penternakan lain. Ia merupakan satu bidang yang mencabar dan boleh mendatangkan keuntungan sekiranya dijalankan secara terancang, sistematik dan berterusan.

Penternakan lembu menjanjikan pulangan yang tinggi kepada pelabur kerana penggunaan daging lembu negara semakin meningkat, manakala bekalan masih tidak mencukupi.

Permintaan untuk daging lembu segar tempatan terus meningkat dari tahun ke tahun, manakala jumlah bekalan menurun. Ini menyebabkan pengimportan lembu hidup bertambah terutamanya menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha.

Terdapat tiga kaedah penternakan lembu iaitu sistem intensif, separa intensif dan ekstensif. Pemilihan sistem penternakan adalah berdasarkan jumlah modal, luas kawasan penternakan dan jenis lembu yang ingin diternak.

Sistem fidlot (intensif) memberikan pulangan yang tinggi dalam masa empat hingga enam bulan sahaja. Namun demikian agak sukar untuk mendapatkan stok lembu yang sesuai. Penternakan lembu secara semi intensif dilihat lebih praktikal di Malaysia.

Baka lembu Bali kurang popular di Malaysia berbanding lembu Brahman dan baka tempatan iaitu KedahKelantan (KK). Lembu Bali tidak boleh dikekang secara kasar seperti lembu biasa. Ia agak pemalu dan mudah stres. Bagaimanapun, ia boleh dijinakkan apabila diternak dengan kekerapan hubungan langsung dengan manusia.

Lembu Bali diternak untuk pengeluaran daging. Kualiti daging adalah sangat baik dan nisbah jumlah karkas kepada berat hidup yang tinggi selepas disembelih.

Lembu Bali juga memiliki ciri-ciri tahan lasak kepada cuaca panas dan kelembapan yang tinggi, serta ketahanan terhadap parasit dalaman dan luaran.

Selain itu ia mempunyai kadar kebuntingan yang tinggi iaitu 80-90 peratus. Ia juga boleh mencernakan makanan/rumput yang berkualiti rendah dengan baik seperti kerbau. Oleh itu, sukar melihat lembu Bali dengan skor badan yang rendah.

 

Date of Input: 10/09/2019 | Updated: 10/09/2019 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEaDAV~