Kursi Pehin Sri Adenan Satem Ditubuhkan Di UPMKB, Teraju Penyelidikan Etnik Peribumi Borneo | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » Kursi Pehin Sri Adenan Satem Ditubuhkan Di UPMKB, Teraju Penyelidikan Etnik Peribumi Borneo

Kursi Pehin Sri Adenan Satem Ditubuhkan Di UPMKB, Teraju Penyelidikan Etnik Peribumi Borneo

KUCHING: Kursi Pehin Sri Adenan Satem ditubuhkan di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak untuk memacu usaha penyelidikan dan mempertahankan identiti unik serta kekayaan warisan budaya peribumi Borneo di peringkat antarabangsa.

Sebanyak RM2.54 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak bagi penubuhkan kursi itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, UPMKB akan menerajui penyelidikan etnik di Sarawak, khasnya daripada aspek budaya, bahasa, pemikiran manusia, adat seni dan warisan tradisional.

Katanya, Kursi Pehin Sri Adenan Satem akan menjadi hab pengumpulan data warisan budaya dan khazanah pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Borneo yang mungkin akan terbiar atau dilupakan jika tiada penyelidikan mendalam dilakukan.

Penubunan kursi itu merupakan usaha sama dalam penyelidikan antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kerajaan negeri Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.

Beliau berkata kepakaran yang dimiliki UPMKB akan membantu usaha kerajaan Sarawak memelihara budaya dan warisan etnik Borneo.

“Kerajaan Sarawak berharap dengan penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem di UPM Kampus Bintulu, akan membangunkan UPM Kampus Bintulu sebagai pusat penyelidikan etnik-etnik Borneo di Sarawak, memfokus kepada elemen budaya, bahasa dan sosioekonomi.

“Usaha UPM Kampus Bintulu memfokus kepada kajian etnik Sarawak secara khusus harus dihargai kerana kita ke arah pembangunan ekonomi yang lebih baik.

"Justeru, bagi menyokong usaha murni ini, kerajaan Sarawak bersetuju menubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan Satem yang sepanjang hayatnya merupakan seorang pemimpin yang hebat, serta pendukung juga peminat elemen seni dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 (ICOSSH 2021) di sini. Pada majlis itu, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan UPM bagi penubuhan Kursi Pehin Sri Adenan Satem.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai 27 kumpulan etnik dan bertutur dalam 45 dialek.

Bagaimanapun katanya, jika dilhat lebih dekat, penduduk peribumi dan suku kaum di negeri itu boleh dibahagikan kepada subsuku kaum bergantung kepada lokasi geografi mereka, seperti komuniti Dayak yang dibahagikan kepada kumpulan Dayak Laut (Iban), Sebuyau, Remun, Balau dan Iban Undup; Melayu diklasifikasikan sebagai Melayu Brunei dan Melayu Sarawak; sementara Melanau terbahagi kepada Oya, Daro, Balingian.

“Sudah pastinya kepelbagaian bentuk budaya ini menyediakan sumber sangat penting untuk aktiviti penyelidikan terutama mengenai budaya, bahasa, amalan-amalan tradisional, seni persembahan dan gaya hidup,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan Sarawak sedang berusaha membangunkan ekonomi digital, aspek penting budaya tempatan mesti dipelihara dan dipromosikan.

Sehubungan itu katanya, di bawah Belanjawan Negeri 2022, RM10 juta diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pemudahcara Warisan, Seni dan Budaya pada tahun hadapan untuk meningkatkan program serta promosi pelancongan di Sarawak.

“Saya amat berharap kita dapat meneruskan program mencipta peluang dan memperkukuhkan lagi usaha menubuhkan kerjasama akademik serta penyelidikan antara universiti-universiti di kepulauan Borneo dan di seluruh kepulauan ini dan meningkatkan reputasi Borneo sebagai destinasi ekopelancongan dengan mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengenai ICOSSH21, Abang Johari berkata, ia boleh membawa kepada pembangunan hab pendidikan peringkat antarabangsa di Borneo dan membina hubungan untuk mempromosikan dan memupuk kepelbagaian tradisi budaya masyarakatnya.

Persidangan dua hari itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang dan negara seperti Brunei, Indonesia dan Filipina.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Sri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu; Timbalan Naib Canselor UPM, Profesor Ir Dr B.T. Hang Tuah Baharudin; dan Pengarah UPMKB, Prof Madya Dr Shahrul Razid Sarbini. - UPM

Date of Input: 10/01/2022 | Updated: 10/01/2022 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUSA7~