Hasil Penulisan : Jatuh Cinta Lagi Pada Si Dia | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Hasil Penulisan : Jatuh cinta lagi pada si dia

Hasil Penulisan : Jatuh cinta lagi pada si dia

(LAKUKAN BERSAMA: Melakukan hobi yang disukai pasangan bersama-sama merupakan kaedah yang baik untuk anda dan pasangan meluangkan masa bersama. — Gambar hiasan)

ADAKAH anda berasakan perkahwinan yang telah dibina sekian lama semakin hambar? Atau anda berasa semakin bosan dengan pasangan? Jika ya, anda mungkin perlu melakukan sesuatu untuk menyegarkan kembali hubungan percintaan anda bersama kekasih halal anda.  

Menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) 2014, lebih satu pertiga perkahwinan pertama yang berakhir dengan penceraian atau perpisahan berlaku dalam tempoh kurang daripada lima tahun.

Didapati peratusan wanita (37.3%) yang bercerai atau berpisah dalam tempoh tersebut adalah lebih tinggi berbanding lelaki (35.4%). Perkara ini amatlah membimbangkan kerana institusi perkahwinan yang dibina seharusnya menjadi ruang bagi suami atau isteri memenuhi kehendak fitrah untuk berkasih sayang antara satu sama lain.

Semestinya pada zaman teknologi yang kian maju kini, cabaran terbesar adalah untuk mengekalkan keutuhan dan keharmonian rumah tangga yang telah dibina.

Perkahwinan merupakan suatu perjanjian yang telah dimeterai oleh pasangan lelaki dan wanita dan sama-sama telah bersetuju untuk hidup bersama dengan lafaz ikrar yang tersendiri.

Namun, mengekalkannya bukanlah semudah yang disangka. Pengaruh media sosial, Internet dan kemudahan digital yang lain turut memberi kesan kepada keharmonian sesebuah institusi perkahwinan.

Pernahkah anda mendengar tentang saat genting dalam perkahwinan? Adakah anda sedang melaluinya? Setiap pasangan yang berkahwin pasti akan rasa pasang surutnya.

Namun tidakkah anda terfikir semua itu boleh diatasi dengan membuatkan diri anda jatuh cinta sekali lagi pada pasangan anda sekali gus memugar dan menyemarakkan kembali hubungan cinta bersama pasangan.

Sebelum itu, anda perlu mengenal pasti terlebih dahulu adakah perkahwinan yang anda bina benar-benar berada dalam fasa kegentingan.

Menurut pakar, kegagalan komunikasi antara pasangan adalah tanda-tanda awal anda mungkin mengalami saat genting dalam perkahwinan. Sekiranya dahulu hubungan anda disulami dengan penuh rasa cinta, namun kini tiada lagi sambutan untuk tarikh-tarikh penting seperti hari ulang tahun perkahwinan, sambutan hari jadi dan sebagainya.

Selain daripada itu, anda juga lebih gemar membuat aktiviti lain berbanding memberikan masa untuk pasangan masing-masing, contohnya lebih memberi perhatian pada telefon pintar atau menonton televisyen berbanding bersembang dengan pasangan walaupun pasangan anda berada di sebelah anda. Perhatian dan fokus anda kini bukan lagi kepadanya.

Jika ya, anda perlu mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan keadaan ini menjadi lebih buruk dan akhirnya menghancurkan mahligai cinta yang anda telah bina bersama pasangan yang dulunya sangat anda cintai dan rindui.

Jika dulu anda hangat bercinta dengan pasangan anda, mengapa tidak anda teruskan kehangatan cinta bersama pasangan sehingga kini?

Jom baca tip ini yang saya kongsikan.

1. Menjaga penampilan!

Saya yakin dan percaya, wanita kini telah bijak untuk mengetahui cara mendandan dengan cantik dengan cara belajar menerusi aplikasi YouTube, mengikuti tip-tip daripada majalah dan laman sesawang yang lain.

Namun pernahkah anda terfikir untuk apa dan siapakah anda ingin kelihatan cantik? Adakah anda tahu selera atau ‘taste’ kekasih halal anda? Yang mungkin suka melihat anda berseluar pendek atau ber’skirt’ pendek apabila di rumah? Mendandan atau menyanggul rambut atau mengikat stail ekor kuda (pony tail)?.

Mungkin itulah kecantikan sebenar seorang isteri untuk kelihatan rapi dan cantik di pandangan mata sang suami. Bertanyalah, berkomunikasilah antara pasangan tentang apa yang mereka suka.

Oleh itu, berhias dan berdandanlah seperti yang digemari oleh pasnagan anda dan bukannya hanya kelihatan cantik di mata anda sendiri tanpa memikirkan pandangan orang yang tercinta.

Anda masih mempunyai peluang untuk berundur semula dan imbas kembali saat anda mula-mula berkahwin. Gunakan pakaian yang paling menarik, merapikan rambut dan memakai wangi-wangian ketika bersama pasangan walau hanya untuk makan malam ketika di rumah.

Lakukan usaha seperti anda hendak ber’dating’ bersama pasangan anda. Pastinya anda ingin menampilkan diri dalam keadaan yang paling menarik bukan?

2. Kata-kata magis

Apabila anda lihat pasangan anda mula mengubah sesuatu dari segi penampilannya pula, anda seharusnya memberikan kata-kata magik kepadanya. Kata-kata magik seperti ucapan terima kasih sayang, abang cintakan sayang, sayang atau abang nampak menarik malam ini merupakan kata-kata yang mudah tetapi cukup memberikan makna buat pasangan anda.

Selain daripada itu, ringan-ringankan mulut untuk mengeluarkan kata-kata terima kasih sayang, sedap masakan yang sayang masak. Kata-kata ini bukan hanya ketika bersama, namun boleh juga menerusi aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan  ringkas (SMS) apabila berjauhan. Jadi, cubalah mulai hari ini!

3. Bertenaga/Bersemangat!

Hubungan intim bagi suami isteri adalah antara faktor penting dalam menyemarakkan lagi hubungan cinta yang halal. Apabila anda melakukan hubungan intim bersama orang yang anda cintai, badan akan mengeluarkan hormon cinta yang dikenali sebagai ‘oxytocin’.

Hormon ini mampu membuatkan anda rasa ketenangan dan memberikan kestabilan emosi.  Kajian menyatakan, pasangan yang melakukan hubungan intim lebih kerap juga boleh meningkatkan antibodi badan serta mengurangkan risiko diserang penyakit jantung.

Jadi, berikan ruang pada diri anda dan pasangan untuk menikmati kehidupan sebagai suami isteri dengan melakukan hubungan intim dengan lebih kerap dan bersemangat, kerana manfaatnya kepada hubungan anda dan pasangan amatlah besar.

Menurut pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri. Oleh itu, jika para suami inginkan isteri yang sentiasa menjaga keterampilan, jangan berikan alasan sibuk dan tiada masa sebagai halangan untuk anda melakukannya.

4. Berkomunikasi

Hubungan perkahwinan yang sihat adalah melalui komunikasi antara pasangan. Anda atau pasangan mampu untuk meluahkan perasaan dan emosi masing-masing, mampu untuk menyatakan kerisauan yang terbuku dalam hati atau apa-apa sahaja tanpa memendamnya sendiri.

Komunikasi yang sihat juga berlaku apabila suami dan isteri boleh berkongsi tentang kisah-kisah romantik, mengimbau kembali kenangan-kenangan ketika mula-mula bercinta atau kisah lucu dalam kehidupan. Apabila anda sering berkomunikasi, secara tidak langsung ianya mampu menguatkan lagi hubungan perkahwinan antara anda dan pasangan.

5. Berkongsi hobi bersama pasangan

Jika sewaktu zaman bercinta, anda boleh mengikut kekasih bersama-sama pergi memancing, kenapa tidak kini? Melakukan hobi yang disukai pasangan bersama-sama merupakan kaedah yang baik untuk anda dan pasangan meluangkan masa yang lebih untuk bersama-sama.  

Sekiranya pasangan anda meminati aktiviti sukan dan mengajak anda untuk sama-sama menemaninya, berilah ruang kepada diri anda untuk mengikuti aktiviti yang digemari pasangan.

Sebagai bonus, anda bukan sahaja boleh menjadi lebih sihat, tetapi juga boleh mengenali pasangan dengan lebih dalam.

Bagi pasangan yang ‘liat’ untuk mengikuti anda melakukan hobi yang anda gemari pula, anda mungkin boleh melakukan sesuatu untuk menggalakkan pasangan meminati hobi yang sama.

Sebagai contoh, jika anda menggemari aktiviti joging, belikan kasut sukan yang menarik untuk pasangan anda atau baju sukan agar pasangan tertarik untuk melakukan aktiviti sukan bersama anda. Mungkin dengan cara ini pasangan akan terbuka hati untuk mengikut langkah anda.

#6. Pelukan

Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, menurut kajian oleh seorang pakar dari Jerman, pelukan selama 10 saat setiap pagi suami isteri boleh memanjangkan usia selama lima tahun.

Pelukan setiap hari ini memberikan kesan baik kepada badan kerana tubuh manusia akan mengeluarkan hormon yang dikenali sebagai hormon endorphin yang baik untuk kestabilan emosi dan kesihatan manusia.

Pelukan juga merupakan agen pemujuk yang sangat baik. Anak-anak yang menangis akan berhenti menangis apabila dipeluk ibu atau bapanya. Isteri yang berduka akan sembuh apabila berada dalam pelukan hangat sang suami.

Individu yang dihadiahkan pelukan dan ciuman ini akan sentiasa rasa disayangi dan dihargai. Jadi, ambillah ruang dan peluang untuk memeluk pasangan anda dengan lebih kerap agar ikatan yang dibina menjadi terus utuh dan kukuh.

7. Buat kejutan

untuk si dia

Kejutan merupakan salah satu kaedah yang boleh anda gunakan untuk menyegarkan kembali hubungan perkahwinan yang dibina.

Melakukan sesuatu kejutan yang bermakna buat pasangan boleh membuatkan pasangan anda berasa anda sentiasa mengingatinya dan ingin menghidupkan kembali hubungan yang mungkin selama ini kurang diberi perhatian oleh anda berdua akibat sibuk dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Melakukan kejutan tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Gunakan kreativiti diri anda sahaja sudah memadai untuk membuat kejutan. Sebagai contoh, menyediakan sarapan pagi dalam bilik untuk pasangan, atau memberikan sekeping nota seksi buat si dia.

Pasangan sudah pasti akan tersenyum dan berasa lebih dihargai oleh anda. Anda dan pasangan juga akan sentiasa mengingati memori-memori indah seperti ini.

Oleh itu, bagi suami atau isteri yang mahu menyegarkan kembali perhubungan, anda mungkin boleh mencuba tip-tip yang saya kongsikan ini.

Sayangi si dia seadanya, hargai pasangan yang telah bersama anda dalam susah dan senang. Semoga bahtera yang anda kemudi akan selamat berlabuh ke destinasi yang anda dan pasangan ingin tuju.

Tarikh Input: 28/01/2019 | Kemaskini: 28/01/2019 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXESSA4~