‘Education For Youth’ Enam Webinar Untuk Pengetahuan Umum | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » ‘Education for Youth’ enam webinar untuk pengetahuan umum

‘Education for Youth’ enam webinar untuk pengetahuan umum

Keratan Akhbar Utusan Borneo, ‘Education for Youth’ enam webinar untuk pengetahuan umum, 26 Nov 2020.

 

PELAJAR Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (BAKSIS) Kumpulan 1 dan 3 sesi 2020/2021, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menganjurkan program secara dalam talian iaitu ‘Education for Youth’ yang terdiri daripada enam webinar secara keseluruhan.

Pelajar BAKSIS ini yang terdiri daripada pelajar Diploma Perikanan, Diploma Kejuruteraan Pertanian, Diploma Perhutanan, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan dan Diploma Pertanian telah mengambil pendekatan mengadakan ceramah secara dalam talian menggunakan platform aplikasi Webex dan membuka penyertaan kepada semua masyarakat.

Program telah dimulakan dengan webinar pertama ‘Myhealth: Pengurusan Stres’ pada 23 Oktober yang disampaikan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Teknologi UPMKB Dr Wan Nor Zanariah Zainol @ Abdullah.

Antaraisuhangatyangdikupas adalah berkenaan kaedah mengatasi masalah stres agar tidak memudaratkan kesihatan dalam kalangan pelajar. Sesi diteruskan dengan topik ‘Anxiety Disorder’ yang disampaikan Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPMKB Hairunisah Abdul Rahman.

Pengisian seminar menyentuh beberapa aspek berkaitan kerisauan, cara mengatasi kerisauan melampau dan ciriciri individu yang mempunyai masalah berkenaan. Seminar diteruskan dengan topik ‘Motivasi Kecemerlangan dalam Norma Baharu’.

Sesi ini khusus kepada para pelajar untuk membantu mereka dalam mengatasi pelbagai cabaran dan membiasakan diri dengan norma pembelajaran baharu sepanjang pandemik. Antara topik yang dibincangkan adalah pembelajaran dalam talian dan sesi itu telah disampaikan Pegawai Psikologi Kanan BHEP UPMKB Abdul Rahim Habib. Seminar keempat dteruskan dalam bentuk bual bicara yang mana topik COVID-19 telah dipilih.

Moderator sesi ini ialah Ketua Bahagian Akademik dan Penyelidikan UPMKB Noor Hakim Ahmad dan Pegawai Psikologi UNIMAS Mohd Amin Mohd Ismail bersama Pegawai Perubatan Hospital Baling Kedah Dr Nurul Syamimi Azari sebagai panel jemputan. Pemilihan pelitup separuh muka yang sesuai dan pemilihan pembasmi kuman yang berkesan antara topik yang dibincangkan.

Hasil kerjasama dengan Social Community Programs Urban Society (SCORPUS), webinar kelima telah menjemput dua penceramah berpengalaman iaitu Presiden SCORPUS dan Pakar Psikologi Mohd Nazrul Azizi dan Pakar Psikiatrik merangkap Naib Presiden SCORPUS Dr Nurul Syuhaida Abdul Razak. Secara amnya slot ini memfokuskan kepada kesan kemandirian pelajar dalam melahirkan lebih ramai individu atau pelajar yang bertanggungjawab dan berdedikasi.

Penceramah juga menerapkan prinsip 3F dalam diri pelajar iaitu ‘Flexible’, ‘Focus’ dalam pembelajaran dan ‘Faith’ iaitu yakin pada diri sendiri. Teleseminar Education for Youth diakhiri dengan webinar yang keenam iaitu ‘Keberkesanan Pembelajaran Secara Maya’. Slot ini dipilih berikutan wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan ‘Home-based learning’ terpaksa dilaksanakan bagi meneruskan kesinambungan sesi pembelajaran pelajar sekolah mahupun universiti.

Sesi ini telah disampaikan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Teknologi UPMKB Dr. Nurul Nadwa Zulkifli. Pengisian webinar ini menyentuh tentang persiapan para pelajar dalam menjalani pembelajaran secara maya, kaedah-kaedah dalam pelaksanaan dan juga cabaran yang dihadapi.

Program tiga hari ini telah berjaya menarik minat lebih kurang 1,000 peserta dari institusi pengajian tinggi Malaysia seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kota Kinabalu, Kolej Matrikulasi Labuan dan Perak, Politeknik Mukah Sarawak, Institusi Pertanian Semongok Sarawak dan sebagainya.

Tidak ketinggalan juga penyertaan daripada sekolah-sekolah di seluruh Sarawak dan sebahagian daripada Sabah dan Semenanjung Malaysia seperti SMK Bintulu, SMK Baru Bintulu, SMK Kemena, SMK Kindurong, SMK St Augustine Betong Sarawak, SMK Cyberjaya Selangor, SMKA Tun Ahmadshah, Inanam Sabah, SMK Tanah Merah, Kelantan dan lainlainnya.

Menurut Pensyarah Kanan UPMKB merangkap penasihat program dan fasilitator Dr Juriah Kamaludeen dan Dr Suhaili Mustafa, program seperti ini amat penting untuk diadakan dalam membentuk kemahiran ihsaniah pelajar universiti.

Di antaranya adalah memupuk kerjasama dalam kerja berkumpulan dan melatih pelajar dalam berfikiran kritikal. Selain itu, dengan adanya program-program seperti ini ia dapat membantu komuniti khususnya para pelajar dalam mendapat informasi yang cukup dan tepat dalam menangani wabak COVID19 ini.

Media dalam talian juga dapat dilihat lebih berkesan dan menyeluruh dalam penyampaian maklumat memandangkan ia boleh diakses dari segenap tempat selagi mempunyai liputan rangkaian Internet. Besar harapan agar semua peserta mendapat manfaat daripada seminar-seminar yang telah dijalankan dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan harian.

Date of Input: 30/11/2020 | Updated: 30/11/2020 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
BUKWFAL:05:50