BUNGA KERTAS MINUMAN HERBA SEJUKKAN BADAN PADA MUSIM PANAS | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » BUNGA KERTAS MINUMAN HERBA SEJUKKAN BADAN PADA MUSIM PANAS

BUNGA KERTAS MINUMAN HERBA SEJUKKAN BADAN PADA MUSIM PANAS

Kelopak bunga kertas atau nama sainstifiknya Bougainvillea spp menjadi pilihan masyarakat Malaysia sebagai tanaman landskap kerana ianya berwarna warni dan sangat cantik diletakkan di laman rumah.
 
Kebanyakan varieti bunga kertas mempunyai kelopak nipis dan mempunyai ciri seperti kertas. Bunga kertas mempunyai pelbagai warna kelopak sama ada selapis mahupun banyak lapis serta tahan lama.
 
Tidak seperti bunga ros, bunga kertas sangat mudah dijaga dan mampu hidup melebihi 20 tahun, menyebabkan ia menjadi pilihan sebagai tanaman hiasan/landskap.
 
Bagaimanapun, selain keindahan tanaman itu, kebanyakan kita tidak menyedari bahawa pokok bunga yang sering menjadi hiasan di sekeliling rumah itu turut mempunyai khasiat untuk kesihatan.
 
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji, bunga kertas adalah tumbuhan yang telah lama digunakan oleh pengamal perubatan tradisional di Mexico untuk merawat pelbagai jenis penyakit, termasuk masalah perhadaman, penyakit kulit dan keradangan. Bukan itu sahaja ianya juga digunakan dalam masakan, terutamanya di Brazil dan Thailand.
 
Manakala di Malaysia bunga kertas belum cukup sinonim digunakan sebagai herba ubatan. Namun sekumpulan penyelidik di peringkat awal berjaya mengesan kehadiran bahan antioksidan kepada Bougainvillea glabra.
 
Pensyarah Kanan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab berkata, hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), menyatakan terdapat pelbagai warna bunga kertas yang mengandungi hasil kandungan fitokimia yang berbeza.
 
“Kehadiran fitokimia ini, antaranya adalah bahan antioksidan. Kehadiran antioksidan semula jadi ini telah mendapat sambutan dan perhatian ramai saintis untuk mengkaji lebih lanjut kegunaan fitokimia lain untuk perubatan kerana lebih selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan yang akan menjejaskan kesihatan berbanding penggunaan antioksidan sintetik. Bahan ini lah boleh melambatkan penuaan dan lebih kekal awet muda lebih lama.
 
“Selain kelopak bunga yang boleh direbus dan dijadikan teh, daunnya juga boleh dilumatkan dan ditampal untuk merawat luka (mengeringkan darah). Daun juga mempunyai komponen steroid yang mempunyai anti diarrhea, anti ulser, anti radang dan anti mikrobial.
 
“Akar pokok bunga kertas ini boleh direbus dan diminum untuk merendahkan suhu dan memberi keselesaan yang lama. Kalau dahulunya, dalam perubatan tradisional, bunga kertas ini digunakan banyak untuk mengubati bisul, hilangkan ruam/gatal, hepatitis, haid yang tidak teratur, keputihan, sengugut haid dan haid datang lewat, tetapi sekarang lebih berkembang dan banyak dikomersialkan dan terbaharu dalam industri kosmetik,” katanya.
 
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Univeristi Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, (UPMKB), Dr. Keeren Sundara Rajoo menyatakan Bougainvillea spp adalah bunga yang boleh dijadikan sebagai minuman herba boleh menyejukkan badan pada musim panas ini tetapi kajian masih di peringkat penemuan dan saringan.
 
“Terdapat beberapa kajian mendapati bahawa ekstrak Bougainvillea mempunyai kesan anti-radang yang dipercayai dapat menyejukkan badan secara tidak langsung. Selain itu, teh bunga kertas juga dipercayai dapat merawat sakit tekak, batuk dan selsema,” katanya.
 
Tambah beliau, terdapat juga kajian yang mengesan daun bunga kertas mempunyai aktiviti antimikrob terhadap beberapa strain bakteria.
“Di dunia terdapat 18 spesis Bougainvillea, kebanyakan kajian mengfokuskan kepada 4 spesis bunga kertas yang terdapat di Malaysia.
 
“Di Malaysia, bunga kantan, timun, dan serai lebih kerap digunakan untuk merawat "panas dalam" berbanding bunga kertas. Walaupun demikian, pokok Bougainvillea mempunyai potensi tinggi sebagai rawatan herba,” katanya.
 
Kajian yang menyeluruh berkaitan bunga kertas sebagai minuman herba yang boleh menyejukkan badan perlu dijalankan dengan lebih terperinci agar sumber ini dapat digunakan lagi-lagi pada musin panas yang sedang melanda sekarang. - UPM
 

Tarikh Input: 25/05/2023 | Kemaskini: 25/05/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdRAq~