Belangkas : Potensi Dan Masa Depan | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » Belangkas : Potensi dan Masa Depan

Belangkas : Potensi dan Masa Depan

BELANGKAS adalah hidupan prasejarah yang telah wujud sejak 445 juta tahun dahulu. Empat spesies yang masih wujud ialah Limulus polyphemus, Tachypleus tridentatus, Tachypleus gigas dan Carsinoscorpius rotundicauda.

Di Malaysia, belangkas spesies tropika terdiri daripada Tachypleus gigas, Carsinoscorpius rotundicauda dan Tachypleus tridentatus yang masing-masing didapati di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah. Ia adalah spesies yang terancam dan disenaraikan dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Di Sarawak, belangkas boleh didapati di sepanjang pantai Sarawak iaitu dari Semantan hingga ke Lawas. Bentuk fizikalnya yang mirip ladam kuda memerlukan 10 hingga 12 tahun untuk matang dan mula naik bertelur di kawasan pesisir pantai.

Belangkas mengawan secara berpasangan pada bulan penuh (bulan purnama) setiap bulan dan bertelur di antara kawasan air laut pasang penuh dan pasang rendah yang berdekatan dengan kawasan muara sungai.

Telur belangkas mengambil masa 42 hingga 56 hari untuk menetas bergantung kepada suhu, spesies dan saliniti air laut. Persenyawaan telur belangkas berlaku dalam 20 hingga 30 minit sewaktu bertelur.

Belangkas mempunyai tiga bahagian utama iaitu prosomal, epitosimal dan ekor (telson). Belangkas adalah daripada kumpulan merostomata tergolong dalam kumpulan kala jengking.

Fakta yang menarik mengenai belangkas ialah ia mempunyai 10 mata yang digunakan untuk mencari pasangan, mengesan bulan penuh untuk mengawan, mengesan pemangsa dan mencari makanan.

Belangkas adalah omnivor yang bernafas menggunakan buku insang yang terletak di bawah opitosimal. Apabila insang belangkas kering, ia akan mati. Ini jelas menunjukkan bahawa ia bukan haiwan dua alam.

Belangkas dijual dengan harga RM10 hingga RM15 seekor bergantung kepada saiz dan spesies.

Belangkas biasanya dihidang sebagai makanan eksotik, terutama telurnya. Namun begitu, mereka yang memakan telur belangkas harus berwaspada dengan kewujudan bakteria gram negatif pada bahagian sistem pencernaan belangkas.

Bakteria ini mengeluarkan racun yang dinamakan Tetrodotoxin (TTX) yang juga terdapat pada ikan buntal. Racun ini memberi kesan mabuk, keracunan dan boleh membawa maut, bergantung kepada tahap imun individu.

Pelbagai penyelidikan telah dijalankan untuk mengkaji potensi belangkas, terutamanya untuk pengkormesilan. Pada masa kini, darah biru (blue copper base) belangkas digunakan untuk penghasilan LAL (Limulus Amebocyte Lysate) atau TAL (Tachypleus Amebocyte Lysate) untuk mengesan kehadiran endotoksin dalam cecair intravenous dan juga prostetik sebelum digunakan untuk manusia.

Selain darahnya, cecair peri-vitelline telur belangkas juga berkesan untuk penyembuhan luka secara in vitro dan in vivo. Aplikasi cecair tersebut boleh merangsang penyembuhan luka dalam masa yang singkat tanpa ada kesan sampingan.

Terdapat kajian yang menunjukkan cecair tersebut berupaya meningkatkan pertumbuhan sel-sel tulang, sebagai hormon pembiakan untuk kematangan gonad (telur dan testis) ikan tilapia dan meningkatkan tumbesaran jantung embrio ayam.

Penemuan demi penemuan menunjukkan manfaat yang boleh diperolehi daripada hidupan tersebut. Justeru, hidupan seperti belangkas ini semakin mendapat perhatian untuk dikomersilkan, dan pada masa yang sama boleh mengelak kepupusan spesies tersebut.

Belangkas adalah khazanah alam yang tidak ternilai dan ianya masih wujud di Malaysia sehingga sekarang. - (Artikel ini disediakan oleh Dr Mohamad Faizul Mat Isa, pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak. Beliau boleh dihubungi melalui emel mfaizul@upm.edu.my)

 

Tarikh Input: 20/01/2021 | Kemaskini: 20/01/2021 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdJA5~