Buku Panduan Urus Kewangan Usahawan, Petani | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » Buku Panduan Urus Kewangan Usahawan, Petani

Buku Panduan Urus Kewangan Usahawan, Petani

Dr. Suraya Hanim


Mereka yang berminat menjadi usahawan perlu mendalami selok-belok perniagaan terutama pengurusan kewangan bagi menjamin kestabilan perniagaan diusahakannya.

Berikutan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu, Sarawak menerbitkan buku Cekap Urus Tunai bagi memberi pendedahan kepada usahawan mengenal asas ilmu pengurusan kewangan perniagaan.

Pensyarah Kanan (Kewangan) Jabatan Sains Sosial, Fakulti Sains Pertanian dan Makanan Dr Suraya Hanim Mokhtar berkata, buku itu diterbitkan bagi membantu usahawan baru dan usahawan mikro termasuk industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau berkata, pinjaman mikro dengan kadar faedah rendah dapat melahirkan ramai usahawan Bumiputera dalam IKS di negara ini.

“Bagaimanapun, bilangan usahawan Bumiputera yang berdaya maju dan dapat bertahan lama masih rendah. Antara punca utama ialah kelemahan dalam pengurusan pinjaman dan tunai dalam perniagaan.

“Oleh itu, pinjaman atau bantuan kewangan yang diberikan perlu disertai dengan ilmu untuk menguruskannya supaya manfaat kepada usahawan dan perniagaan diusahakan,” katanya yang ditemui pada Majlis Terbuka Hari Inovasi 2015 di UPM Kampus Bintulu, baru-baru ini.

Suraya berkata, antara kandungan buku berkenaan ialah memahami konsep kewangan perniagaan membabitkan konsep kos dan belanja, mengira hasil jualan serta keuntungan perniagaan dan kepentingan mengasingkan perbelanjaan, pendapatan perniagaan dan isi rumah.

“Selain itu, pengurusan pinjaman perlu mengambil kira tujuan pinjaman, jumlah pinjaman yang mampu dibayar, analisis kesan pinjaman kepada aliran tunai perniagaan dan kesan jika gagal membayar hutang.

“Buku ini juga menggariskan pembahagian pendapatan perniagaan kepada beberapa tujuan antaranya modal perniagaan, perbelanjaan isi rumah, tabung kecemasan, belanja luar jangka, tabung pelaburan, teknik pembahagian pendapatan perniagaan dan cabaran,” katanya.

Menurutnya, buku itu sesuai dijadikan panduan dan rujukan kepada usahawan termasuk golongan petani yang baru memulakan perniagaan.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Suraya di talian 019-2612901 atau emel kepada surayahanim@upm.edu.my.

Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:10 AM
myMetro


Date of Input: | Updated: | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdGAM~