YLE2019 MEMPERKASA SEMANGAT KEPIMPINAN DAN KEUSAHAWANAN BELIA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » YLE2019 MEMPERKASA SEMANGAT KEPIMPINAN DAN KEUSAHAWANAN BELIA

YLE2019 MEMPERKASA SEMANGAT KEPIMPINAN DAN KEUSAHAWANAN BELIA

 

UNIVERSITI Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) telah mengambil inisiatif untuk membantu belia tempatan Bintulu dalam memperkasakan pelan pembangunan modal insan nasional dengan mengadakan satu program yang berfokuskan kepada kepimpinan dan keusahawan.

Perancangan ini juga selari dengan hasrat kerajaan Sarawak dalam membangunkan ekonomi digital dan pembangunan sosial tempatan.

Kerjasama pintar UPMKB dan TEGAS ini juga disokong oleh pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang turut merangka beberapa projek jangka panjang dalam membangunkan pengetahuan dan kemahiran belia tempatan.

Kerjasama yang meliputi jaringan industri dan transformasi intelektual ini telah diasaskan oleh Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan UPMKB Prof Madya Dr Shahrul Razid Sarbini dan Pengurus SMA-TEGAS Digital Innovation Hub Sarawak Manzoor Hayat Khan, pada Disember 2018.

Salah satu program yang telah diadakan ialah ‘Youth Leadership & Entrepreneurship 2019’ juga dikenali sebagai YLE2019. Program berorientasikan kepimpinan global dan keusahawanan digital ini telah direka oleh UPMKB dan TEGAS sebagai modul pembangunan belia tempatan.

Menurut salah seorang Ketua Penyelaras dan Penasihat Bersama projek Fakhzan Buang, YLE2018 ini dilihat sebagai usaha untuk memberi peluang kepada pelajar dan belia tempatan mendapatkan latihan profesional dalam kemahiran kepimpinan dan keusahawan.

Projek yang dibahagikan kepada tiga fasa ini akan dijalankan pada tahun ini dalam membantu bakal usahawan muda agar berketerampilan dan inovatif.

Bagi siri yang pertama, program YLE2019 telah diadakan selama dua hari pada 26-27 Januari 2019 di SMA-TEGAS Digital Innovation Hub, Naim Street Mall, Bintulu Paragon. Seramai 60 peserta terdiri daripada pelajar UPMKB, Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu, Kolej Vokasional Bintulu, Advanced Technology Training Center (ADTEC) Bintulu dan beberapa belia tempatan telah terlibat pada program tersebut.

Program tersebut melibatkan beberapa slot latihan serta kemahiran yang telah disampaikan beberapa orang pakar dari UPMKB dan juga pengasas All Aboard Young Leaders Center Miri.

Antara pengisian modul latihan siri pertama yang telah diberikan kepada para peserta ialah ‘Leadership in Challenging Era: Think and act Like a Super Leader’, ‘Innovation Thinking: Toward Digital Era’, ‘Cash Management: The Numbers Count’, ‘Professional Resume: Market Your Image Professionally’ dan ‘Lead Like an Entrepreneur’.

Siri seterusnya dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun, lanjutan daripada latihan dan bengkel siri yang pertama.

Program YLE 2019 Siri 1 ini telah ditangguh dan diakhiri dengan ucapan penutupan daripada Ketua Pegawai Operasi TEGAS Awangku Merali Pengiran Mohamed yang menyarankan agar para belia terus berusaha untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dan usahawan digital yang produktif.

Beliau juga menambah bahawa projek YLE2019 ini memberi tumpuan utama kepada pembangunan ekonomi digital, transformasi modal insan, e-keusahawanan, pendidikan sepanjang hayat dan pembangunan sosial yang mampu memberi impak yang besar kepada pembangunan kendiri dan ekonomi anak tempatan dan negeri Sarawak khasnya.

Diharapkan dengan peluang sebegini dapat memberi ruang kepada generasi muda untuk lebih berketerampilan sebagai pemimpin global sekali gus membantu negara dalam pembangunan era digital.

Untuk maklumat lanjut sila layari : https://www.utusanborneo.com.my/2019/02/12/yle2019-memperkasa-semangat-kepimpinan-dan-keusahawanan-belia

Tarikh Input: 13/02/2019 | Kemaskini: 18/02/2019 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdUAy~