PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN LEMBU SECARA FIDLOT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN LEMBU SECARA FIDLOT

PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN LEMBU SECARA FIDLOT

(SELESAI : Para peserta bergambar kenangan selepas tamat kursus)


PUSAT Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan Kursus Penternakan Lembu Secara Fidlot pada 8 Oktober lalu. Kursus tersebut diadakan di Pejabat Pusat Pertanian Putra, UPMKB (Teori) dan Unit Lembu Fidlot (Praktikal) bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Seramai 29 peserta dari pelbagai daerah di Sarawak (Bintulu, Miri, Sibu, Serian, Kuching, Sri Aman, Betong, Bintangor, Sarikei, Matu, Julau, Ba’ Kelalan) selain dari Johor dan Pulau Pinang yang terdiri daripada pegawai kerajaan, pesara kerajaan, pengarah urusan, penternak dan pengusaha ternakan serta bekerja sendiri telah menyertai kursus ini.

Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra UPMKB Dr Zaidi Suif ketika dihubungi menerangkan penganjuran kursus tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta berkenaan potensi penternakan lembu secara fidlot serta perbandingan dengan sistem penternakan semi intensif dan ekstensif.

Penekanan diberikan pada kaedah pemilihan lembu untuk fidlot, pengurusan makanan dan rekod ternakan. Pendedahan secara praktikal mengenai pengendalian lembu fidlot dan asas pengurusan kesihatan gerompok telah dikendalikan oleh Zaidi sendiri serta Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna yang berpengalaman dalam bidang tersebut dengan dibantu oleh Ishyak Dollah serta Nazri Ali.

Timbalan Pengarah PPP UPMKB, Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee turut menambah bahawa program tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan berharap sesi pemindahan ilmu tersebut dapat melahirkan lebih ramai usahawan ternakan dalam negara. Pengeluaran ruminan di Sarawak masih sangat rendah dengan tahap sara diri daging lembu sebanyak 12 peratus pada tahun 2021. Dengan adanya sokongan dan campur tangan kerajaan yang kukuh serta usaha dan dedikasi gabungan semua pihak berkepentingan yang terlibat, prospek masa depan industri adalah sangat cerah.

Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan salah satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program University4Society melalui Kursus Pemindahan Teknologi Pertanian dan pengembangan pertanian bersama masyarakat umum. Penternakan lembu pedaging mempunyai potensi cerah di Malaysia di mana negara masih berada pada tahap yang rendah (kadar sara diri hanyalah kira-kira 25 peratus). Oleh yang demikian, masih terdapat ruang luas bagi para pengusaha untuk menceburi bidang penternakan ini.

Pusat Pertanian Putra UPMKB berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain dan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yngwie Cheng, Jega Jantai, Norbaya Che Rus, Josephine Jawai Makos, Noor Irawati Ahmad, Renee Sherna, Benedict Miden dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pengarah Kampus UPMKB, Prof Dr Shahrul Razid Sarbini kerana sentiasa memberi sokongan dalam penganjuran kursus seperti ini.

 

Tarikh Input: 24/11/2022 | Kemaskini: 25/11/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETLAi~