PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS BAJA ORGANIK DARIPADA SISA HAIWAN DAN TANAMAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS BAJA ORGANIK DARIPADA SISA HAIWAN DAN TANAMAN

PUSAT PERTANIAN PUTRA UPMKB ANJUR KURSUS BAJA ORGANIK DARIPADA SISA HAIWAN DAN TANAMAN

Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah mengadakan Kursus Pembuatan Baja Organik dari Sisa Haiwan dan Tanaman di universiti tersebut pada 28 Januari lepas. Kursus dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu disertai 29 peserta dari Sri Aman, Julau, Sibu dan Bintulu.

Tujuan penganjuran kursus ialah untuk mendedahkan peserta kepada ilmu mengenai bahan-bahan yang berasaskan bahan organik seperti sisa haiwan dan tanaman, di samping mempelajari teknikteknik pembuatan kompos supaya mereput dengan lebih cepat dan kaedah penyelenggaraan yang betul sebelum menjadi baja kompos.

Mereka juga mempelajari cara-cara pembungkusan dan pelabelan kompos yang betul terutama untuk penghasilan kompos secara komersial.

Objektif yang lain pula ialah untuk menggalakkan golongan belia agar dapat menghasilkan baja organik sendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada baja dagangan di pasaran yang jauh lebih mahal, sedangkan baja organik ini jauh lebih murah dan mudah dihasilkan.

Penyelaras kursus Sat Maling yang juga Pegawai Pertanian Kanan PPP UPMKB ketika ditanya berkata penganjuran kursus tersebut merupakan salah satu langkah ke hadapan iaitu untuk memberi peluang kepada peserta yang ingin memulakan projek penghasilan baja yang berasaskan organik sama ada untuk kegunaan sendiri atau sebaliknya.

Program tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada para penggiat industri baja dan petani.

Beliau juga mengulas, walaupun baja kimia (seperti baja NPK, sintetik dan baja tunggal) cepat diserap oleh tumbuhan, namun baja tersebut sering meninggalkan kesan sampingan seperti mengakibatkan permukaan atas tanah menjadi keras terutama pada musim kemarau dan seterusnya boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman jika penggunaannya tidak memenuhi sukatan yang disyorkan.

Antara sinopsis kursus yang dipelajari ialah seperti pemilihan bahan/media asas, kaedah mempercepatkan proses pembuatan kompos berasaskan sisa haiwan dan tanaman, memahami dan mempelajari teknik mudah untuk membuat baja cecair (foliar) dan Efektif Mikroorganisme (EM) serta pembungkusan dan pelabelan.

Perkongsian ilmu juga berkenaan dengan cabaran, pengeluaran, penggunaan agen pengurai dan senario semasa berkaitan dengan penghasilan baja organik.

Adalah diharapkan masyarakat di luar sana tidak ketinggalan untuk mengikuti kursus-kursus yang lain anjuran PPP, UPMKB yang berkaitan dengan pertanian yang akan menyusul selepas ini. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi penganjur di laman web www.btu.upm. edu.my

 

Tarikh Input: 22/02/2023 | Kemaskini: 22/02/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdXAS~