PROGRAM ‘THE BAKSIS DAY (STEMAZING WITH US) UBAH PERSEPSI TERHADAP STEM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM ‘THE BAKSIS DAY (STEMAZING WITH US) UBAH PERSEPSI TERHADAP STEM

PROGRAM ‘THE BAKSIS DAY (STEMAZING WITH US) UBAH PERSEPSI TERHADAP STEM

‘The BAKSIS Day (STEMAZING WITH US)’ yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) pada 12 November lalu mendapat sambutan memberangsangkan daripada komuniti pendidikan tempatan di Bintulu.

Program anjuran Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2) Sesi Akademik 2022/2023 itu menekankan kaedah pembelajaran secara ‘Immersive Face-to-Face” kepada para pelajar sekolah menengah.

Program ini bertujuan untuk mengubah persepsi, cara kehidupan dan minda pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang meliputi setiap aspek kehidupan seharian. Program ini juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menerajui hala tuju STEM, selepas minat pelajar dalam bidang tersebut dilihat kurang memberangsangkan mutakhir ini.

Program ini direka khas untuk pelajar menengah rendah melibatkan enam buah sekolah menengah di sekitar Bintulu, iaitu SMK Bintulu, SMK Kidurong, SMK Bandar Bintulu, SMK Baru Bintulu, SMK Assyakirin dan SMK Kemena dengan jumlah penyertaan seramai 120 orang dan guru pengiring.

Fasilitator Mohammad Saufi Mohammad Ramli berkata, program STEM yang julung kalinya diadakan di UPMKB itu merupakan idea kesinambungan antara siswasiswi yang mengikuti Kursus Bakti Siswa tersebut.

“Program serampang dua mata ini pertamanya adalah untuk mendedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu yang mampu menarik minat peserta terhadap bidang sains selain memantapkan unsur-unsur kemahiran insaniah dalam diri yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Maka, pengalaman seperti ini hanya boleh diperoleh melalui program sebegini dan bukan di dalam kelas.

“Matlamat yang kedua ialah untuk melatih mahasiswa untuk sentiasa membantu masyarakat sekeliling dengan ilmu pengetahuan yang mereka ada. Perkongsian pengalaman dan pengetahuan ini secara tidak langsung akan memberikan kesedaran masyarakat luar untuk meningkatkan tahap pendidikan mereka dan keluarga.

Tetamu kehormat program, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Samri Suhaili berkata, program ini adalah bertepatan dengan perancangan Kementerian Pendidikan dan perlu diteruskan pada masa hadapan.

Usaha, sokongan dan bantuan tenaga kerja daripada pihak universiti sangat membantu dalam usaha meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM.

Melalui program ini, pelajar perlu menjalani aktiviti secara berkumpulan yang terdiri daripada pelbagai sekolah. Aktiviti yang dirangka khas melibatkan lima set modul iaitu Biologi, Fizik, Kimia, Bahasa Inggeris dan Matematik. Dengan pemantauan daripada fasilitator bagi setiap kumpulan, setiap pelajar berusaha bersaing antara kumpulan bagi merebut hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

Menurut pengarah program, Muhd Adam Hafizi Tahah, pendekatan berkumpulan seperti ini mampu membuka minta pelajar untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan kawan baharu. Mereka juga dapat berkongsi pengalaman yang dilalui di sekolah asing-masing.

Di samping itu, The BAKSIS Day (STEMAZING WITH US) juga mampu meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa dan mahasiswi serta menggalakkan penglibatan komuniti setempat pada semua peringkat umur,” katanya.

 

Tarikh Input: 04/01/2023 | Kemaskini: 05/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEZRAf~