PROGRAM ‘PRE-KIDS’ EXPLORE: ARTS AND SCIENCE OF AGRICULTURE’ DEDAH ILMU SAINS PERTANIAN KEPADA KANAK-KANAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM ‘PRE-KIDS’ EXPLORE: ARTS AND SCIENCE OF AGRICULTURE’ DEDAH ILMU SAINS PERTANIAN KEPADA KANAK-KANAK

PROGRAM ‘PRE-KIDS’ EXPLORE: ARTS AND SCIENCE OF AGRICULTURE’ DEDAH ILMU SAINS PERTANIAN KEPADA KANAK-KANAK

BINTULU: Pelajar kursus CES 3201 Pengembangan dan Jaringan Industri, program Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) bersama Taska Permata Kasih dan Taska Penyayang Mama telah menganjurkan program “Pre-Kids’ Explore: Arts And Science of Agriculture” di Taman Tumbina di sini 7 Januari lalu.

Penganjuran program turut dijayakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Persatuan Sains Tanah Malaysia (MSSS) dan Kelab Bioindustri UPMKB.

Program yang diusahakan oleh 34 ahli jawatankuasa terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UPMKB dengan dibimbing penasihat program Dr Wan Asrina Wan Yahaya itu, telah berjaya menarik penyertaan 18 murid taska yang berumur lima hingga enam tahun. Turut hadir ialah para guru dari keduadua buah taska serta ibu bapa peserta.

Pre-Kids’ Explore: Arts and Science of Agriculture merupakan sebuah program khidmat komuniti yang menyasarkan penyertaan kanak-kanak prasekolah melalui pembelajaran di luar bilik darjah dan pendedahan tentang sains pertanian dan kesejahteraan alam sekitar.

Program ini juga merupakan platform latihan kepada mahasiswadanmahasiswiyang mengambil kursus CES3201 sebagai agen pengembangan atau penceramah (ToTs) dalam perkongsian ilmu dan kemahiran dalam bidang sains pertanian yang telah dipelajari selama ini.

Program separuh hari ini terbahagi kepada tiga aktiviti iaitu ‘Walk with Nature’, ‘One Kid, One Crop’ dan ‘Art with Nature’.

Slot pertama dimulakan dengan aktiviti Walk with Nature. Aktiviti ini telah dilaksanakan dengan melibatkan penerangan tentang botani tumbuh-tumbuhan yang ada di sekitar taman dan kegunaannya seperti landskap dan sebagai makanan.

Para peserta turut diberikan bimbingan tentang pemuliharaan dan pemeliharaan tumbuh-tumbuhan di premis-premis awam agar tidak dirosakkan untuk menjaga kehijauan persekitaran dan kebersihan udara.

Slot kedua diteruskan dengan aktiviti One Kid, One Crop, di mana para peserta dengan bantuan ahli jawatankuasa program bekerjasama untuk menghasilkan sistem penanaman hidroponik menggunakan bahan kitar semula dan penanaman sayuran.

Aktiviti ini secara tidak langsung mendedahkan para peserta tentang konsep 3R (Reduce, Reuse, Recycle) bagi mengurangkan jumlah bahan buangan dan manipulasinya dalam sains pertanian.

Aktiviti yang terakhir iaitu Art with Nature dilaksanakan dengan tujuan untuk merangsang kreativiti kanakkanak prasekolah untuk menghasilkan karya lukisan berkonsepkan hidupan laut menggunakan tumbuhan kering atau yang gugur di sekitar taman.

Secara keseluruhannya, program ini diharap dapat memupuk minat dan memberi pendedahan kepada kanak-kanak prasekolah tentang sains pertanian dan kesejahteraan alam semula jadi.

Penganjuran program pertanian dalam kalangan kanak-kanak prasekolah telah menjadi suatu kelaziman di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, dan Perancis, untuk memberikan pendedahan tentang sains pertanian dengan penghasilan makanan, masalah pembaziran makanan, dan pencemaran alam. Ahli jawatankuasa program amat berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak taska, ibu bapa peserta, dan agensi-agensi yang telah menjayakan program ini.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 16/02/2023 | Kemaskini: 16/02/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXETRAY~