PROGRAM OUTREACH IPTA/ILKA BANTU PELAJAR LUAR BANDAR BELAGA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM OUTREACH IPTA/ILKA BANTU PELAJAR LUAR BANDAR BELAGA

PROGRAM OUTREACH IPTA/ILKA BANTU PELAJAR LUAR BANDAR BELAGA

PROGRAM Outreach Zon Sarawak melibatkan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) telah berjaya menarik sebilangan besar pelajar luar bandar terutamanya di kawasan rumah panjang Sungai Asap dan juga penduduk Pekan Belaga bagi mendaftar dalam UPUOnline yang kini sedang dibuka sehingga 31 Mac.

Program yang diadakan baru-baru ini merupakan anjuran bersama Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Pejabat Pendidikan Daerah Belaga dengan kerjasama JKKK Uma Bakah dan juga Pejabat Daerah Belaga.

Program telah diadakan selama dua hari melibatkan dua tempat iaitu di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet Uma Baha, Sungai Asap dan Dewan Serbaguna Kampung Melayu, Belaga. Antara aktiviti diadakan sepanjang program ini adalah forum pendidikan, pameran gerai IPTA dan ILKA jemputan, pendaftaran UPUONLINE, taklimat IPTA dan program pengajian dan khidmat nasihat Kemasukan IPTA 2022. Sebanyak sembilan agensi, IPTA dan ILKA jemputan dalam pameran booth terdiri daripada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) atau juga dikenali UPU, Universiti Putra Malaysia Kampus Serdang dan Kampus Bintulu Sarawak (UPM),

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Politeknik, Kolej Komuniti dan Tabung Amanah Bakun. Tetamu kehormat yang hadir dan seterusnya menjadi ahli panel Forum Pendidikan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N66 Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon.

Selain itu Pengarah BKPA Wahi Nordin turut bersama sebagai panel dalam program Forum Pendidikan bertajuk ‘Meningkatkan Pendidikan Tinggi Luar Bandar’ tersebut. Dalam majlis pembukaan program, Keneddy menyatakan harapan agar penduduk setempat dapat mengambil kesempatan melawat sembilan booth yang disediakan dan seterusnya mendapatkan bimbingan nasihat dari pegawai-pegawai universiti dan Institut Latihan Kemahiran Awam yang hadir dalam memilih program sesuai untuk pelajar dan anak-anak.

“Ibu bapa dan penduduk yang hadir pada hari ini diseru menyampaikan informasi ini kepada anakanak terutamanya anakanak kita di kawasan ini yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Kita mendoakan kejayaan mereka dan dapat masuk ke menara gading universiti-universiti pilihan nanti,” tambahnya.

Menurut Wahi Nordin, program yang diadakan ini bertujuan sebagai usaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia terutamanya BKPA dalam menyebar luas informasi peluang melanjutkan pendidikan tinggi awam negara kepada komuniti setempat. Katanya, sasaran program adalah kalangan ibu bapa dan pelajar di kawasan Bakun dan Belaga.

Beliau juga mengharapkan pelajar-pelajar di sekitar Bakun dan Belaga dapat merebut peluang bagi memohon kemasukan ke IPTA dan ILKA yang ditawarkan di Malaysia. (Artikel ini disediakan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Akademik dan Penyelidikan UPMKB Sarawak, Sudirman Asmadi)

 

 

 

Tarikh Input: 17/03/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdJAX~