PROGRAM BEGEMPURU UPMKB – RH. JUNGAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM BEGEMPURU UPMKB – RH. JUNGAN

PROGRAM BEGEMPURU UPMKB – RH. JUNGAN

Program Begempuru telah dilaksanakan dengan jayanya di Rh. Jungan anak Mitoh bertempat di KM 25, Jalan Bintulu-Tatau pada 8 Oktober 2022. Program ini tercetus daripada inisiatif kumpulan projek Keusahawanan yang terdiri daripada para pensyarah di Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan (JSSP), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) di peringkat Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) yang telah dilantik oleh Pusat Tranformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM.
 
Program ini merupakan salah satu daripada Program Pembangunan Kemahiran Pertanian Komuniti di bawah UCTC yang dilaksanakan untuk mencapai objektif pemindahan ilmu di antara staf UPM dan mahasiswa dengan komuniti setempat. Begempuru merupakan istilah yang dipinjam daripada bahasa Iban yang bermaksud berkumpul. Sesuai dengan maksudnya, program Begempuru telah berjaya mengumpulkan para pensyarah dan mahasiswa UPMKB serta pakar dalam bidang bersama-sama dengan komuniti Rh. Jungan untuk berkongsi ilmu dan kepakaran bagi meningkatkan kesejahteraan ekonomi komuniti.
 
Objektif program Begempuru adalah untuk:
1) Berkongsi ilmu dan kepakaran dengan komuniti
2) Mengukuhkan hubungan dengan industri dalam proses perkongsian ilmu
3) Memperkasa penglibatan pensyarah dan mahasiswa dalam program komuniti setempat
4) Memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari di samping mengukuhkan jati diri
 
Program Begempuru telah berjaya mengumpulkan 48 peserta dari kalangan penduduk Rh. Jungan dan sekitarnya, 38 mahasiswa program Diploma Perniagaantani (DPNT) semester 4, enam orang pegawai akademik di JSSP serta dua penceramah jemputan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Bintulu dan Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu. Perkongsian dengan komuniti merangkumi topik tentang “Projek Ikhtiar AIM” yang disampaikan oleh Encik Nasaruddin Yusuf (Pengurus Cawangan AIM Bintulu); “Idea Pemprosesan Makanan” yang dikongsikan oleh Puan Anggang Jimbun (Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu); “Mengurus Kewangan: Mudah Saja!” oleh Dr. Shairil Izwan Taasim (Pensyarah Kanan, UPMKB); dan “Mempromosi Produk dengan Whatsapp” yang disampaikan oleh Dr. Sharon Ong (Pensyarah Kanan, UPMKB) yang turut membimbing peserta dalam aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK). Di akhir program, peserta daripada kumpulan masing-masing membentangkan cadangan produk mereka.
 
Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program Begempuru ini. Semoga ianya memberi manafaat bukan sahaja kepada komuniti, tetapi juga kepada mahasiswa dan universiti.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 18/10/2022 | Kemaskini: 18/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEQMAb~