PROGRAM 1RAS 1POKOK DAN SULAM WARNAI SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2022 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PROGRAM 1RAS 1POKOK DAN SULAM WARNAI SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2022

PROGRAM 1RAS 1POKOK DAN SULAM WARNAI SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2022

Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) bersama Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak dan dengan kolaboratif Pertama Ferrroalloys Sdn Bhd, Samalaju telah berjaya menganjurkan program 1 Ras 1 Pokok dan Program “Service Learning Malaysia University for Society” (SULAM) sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Samalaju Industrial Park, Bintulu baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak Hamzah Mohamad dalam ucapan perasmian beliau merakamkan penghargaan kepada UPMKB dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd atas inisiatif mengadakan program kesedaran dalam usaha memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Program sebegini berupaya merancakkan pemuliharaan biodiversiti alam sekitar yang berfungsi mengawal perubahan iklim dunia.

Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, Dr Zamri Rosli turut menyatakan program ini berupaya memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti setempat bagi menghargai alam sekitar.

Di samping itu, Program SULAM kali ini telah menjalankan aktiviti kesukarelawan iaitu gotong-royong di sektor industri yang terpilih dan merupakan satu kaedah pembelajaran yang menggabungkan kuliah dan pelaksanaan khidmat kepada komuniti.

Program ini merupakan salah satu strategi tindakan pencegahan pencemaran bersama pihak industri melalui pendekatan kawalan di punca penyelesaian secara nature-based khusus untuk menyokong Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Program ini juga dapat menyumbang kepada penghijauan kawasan Samalaju Industrial Park serta usaha komuniti setempat untuk menjadikan kawasan perindustrian yang hijau dan mesra alam.

Kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, IPTA dan pihak industri adalah penting dan program ini adalah satu platform dalam usaha bersama menjaga alam sekitar selaras dengan tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun 2022 “Only One Earth”.

Sebagai tambahan, perubahan cuaca yang ekstrem pada masa ini amat sukar untuk dikawal serta diubah untuk kembali kepada keadaan asal. Justeru, salah satu kaedah untuk menghadapi isu ini ialah dengan menggunakan pendekatan adaptasi.

Aktiviti penanaman pokok merupakan salah satu cara yang efektif dalam mengurangkan kesan perubahan cuaca. Dengan pendekatan ini, perubahan cuaca drastik dapat dikurangkan dan kandungan oksigen yang bersih dapat ditingkatkan.

Secara tidak langsung, ia berupaya membantu negara menjaga kelestarian alam sekitar sekali gus memulihara kawasan hijau di muka bumi.

Program ini yang dikelolakan oleh Pengarah Program Prof Madya Dr Geoffery James Gerusu dari UPMKB bersama Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik dari Jabatan Alam Sekitar Bahagian Bintulu dan Morris Andom dari Pertama Ferroalloys Sdn Bhd.

Pelaksanaan program membabitkan seramai 80 peserta yang terdiri daripada warga UPMKB, Jabatan Alam Sekitar Bahagian Kuching serta Bintulu dan wakil premis Pertama Ferroalloys Sdn Bhd.

Sejumlah 85 anak pokok daripada dua spesies tempatan iaitu Kelat Paya dan Tekoma telah berjaya ditanam pada program yang ditaja sepenuhnya oleh Pertama Ferroalloys Sdn Bhd.

 

 

Tarikh Input: 29/07/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdCAS~