PPP UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN ITIK PENELUR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PPP UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN ITIK PENELUR

PPP UPMKB ANJUR KURSUS PENTERNAKAN ITIK PENELUR

PUSAT Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan Kursus Penternakan Itik Penelur pada 27 Ogos lepas di Dewan Kuliah Pusat 2A, Kompleks Akademik Pusat UPMKB. Seramai 53 peserta dari seluruh pelosok negeri Sarawak telah menyertai kursus sehari suntuk ini.

PegawaiPertanianKanan, Pusat Pertanian Putra UPMKB Nalong Buda, selaku penyelaras kursus menerangkan bahawa penganjuran kursus ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada keperluan umum dan pengurusan kesihatan itik amnya dan itik penelur khasnya, penyediaan dan penghasilan makanan untuk itik penelur, potensi penternakan itik penelur untuk menjana pendapatan dan meningkatkan sosioekonomi peserta khasnya dan penduduk luar bandar amnya serta memberi peluang kepada pengusaha ladang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang betul dalam pengurusan ternakan itik penelur bagi memperolehi hasil yang berkualiti tinggi.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra UPMKB Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee, kursus ini merupakan kursus yang keempat daripada lapan kursus yang dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program University for Society (U4S) atau IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNITY) melalui program pemindahan teknologi pertanian yang berpaksikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti.

Bidang usaha seperti penternakan itik penelur sangat sesuai diceburi oleh kaum ibu atau golongan yang akan bersara sebagai hobi untuk mengisi masa lapang mereka di samping mendatangkan pulangan yang lumayan memandangkan telur itik sentiasa mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan.

Bidang usaha ini juga tidak terlalu membebankan pengusaha seperti sesetengah bidang usaha yang lain kerana tidak bersifat “labour intensive” malah merupakan sejenis hobi yang sihat dan menguntungkan.

PPP UPMKB merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penganjuran kursus ini. Ucapan penghargaan juga ditujukan khas buat Pengarah Kampus UPMKB, Prof Dr Shahrul Razid Sarbini kerana sentiasa memberikan galakan dan sokongan kepada PPP UPMKB untuk menganjurkan kursus-kursus seumpama ini dengan bayaran yuran yang minimum bagi memanfaatkan bidang kepakaran yang dimiliki oleh pegawai akademik dan pegawai bukan akademik UPMKB agar dapat dikembangkan kepada komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum amnya sejajar dengan cogan kata keramat UPM ‘Berilmu Berbakti.’

 

Tarikh Input: 30/09/2022 | Kemaskini: 30/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdRAu~