PPP UPMKB ANJUR KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM PENELUR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PPP UPMKB ANJUR KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM PENELUR

PPP UPMKB ANJUR KURSUS PENGURUSAN PENTERNAKAN AYAM PENELUR

PUSAT Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Penternakan Ayam Penelur di Pejabat PPP UPMKB di Bintulu pada 12 November 2022. Seramai 20 peserta dari seluruh pelosok Sarawak telah menyertai kursus satu hari ini.

Pegawai Pertanian Kanan PPP UPMKB Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna selaku penyelaras dan penceramah menerangkan bahawa penganjuran kursus ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada keperluan umum dan pengurusan Penternakan Ayam Penelur, Baka, Pemilihan Lokasi, Sistem Pemeliharaan dan Perumahan, Pengurusan Peringkat Perindukan sehingga Pembesaran, Pemakanan, Program Kesihatan serta Penyimpanan Rekod.

Peserta turut didedahkan semasa amali tentang Pemotongan Paruh Ayam dan Pemilihan Telur untuk Penetasan serta penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi oleh penternak ayam. Sesi amali ini telah dibantu oleh staf PPP UPMKB iaitu Jega Jantai dan Yusri Drahman.

Menurut Timbalan Pengarah PPP UPMKB Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee pula, kursus ini merupakan satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program University for Society (U4S) atau IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNITY) melalui program pemindahan teknologi pertanian yang berpaksikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti.

Bidang seperti penternakan ayam penelur sangat sesuai diceburi oleh kaum ibu atau golongan yang akan bersara sebagai hobi untuk mengisi masa lapang mereka di samping mendatangkan pulangan yang lumayan memandangkan telur ayam merupakan satu komoditi yang sangat penting bagi semua isi rumah, kilang industri makanan dan juga pelbagai industri lain seperti pembuatan kosmetik, perubatan dan industri kimia. Semua telur dihasilkan dari ladang ternakan ayam penelur yang terdapat di negara kita.

PPP UPMKB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Josephine Jawai Makos, Noor Irawati Ahmad, Renee Sherna (urus setia), Benedict Miden (jurufoto) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penganjuran kursus ini.

Ucapan penghargaan juga ditujukan khas buat Pengarah Kampus UPMKB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini kerana sentiasa memberikan galakan dan sokongan kepada PPP UPMKB untuk menganjurkan kursus-kursus seumpama ini dengan bayaran yuran yang minimum bagi memanfaatkan bidang kepakaran yang dimiliki oleh pegawai akademik dan pegawai bukan akademik UPMKB agar dapat dikembangkan kepada komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum amnya sejajar dengan cogan kata keramat UPM ‘Berilmu Berbakti.’

Tarikh Input: 09/01/2023 | Kemaskini: 09/01/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcSAK~