PENYELIDIK UPMKB MENANG PINGAT PERAK MTE 2020 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PENYELIDIK UPMKB MENANG PINGAT PERAK MTE 2020

PENYELIDIK UPMKB MENANG PINGAT PERAK MTE 2020

Penyelidik dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) cawangan Sarawak telah memenangi pingat perak pada pertandingan inovasi dan reka cipta Malaysia Technology Expo (MTE 2020) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, dari 20 hingga 22 Februari lalu.

Inovasi yang dipertandingkan oleh barisan penyelidik dari UPMKB iaitu Prof Dr Ahmed Osumanu Haruna, Dr Latifah Omar dan Dr Fatin Hana Naning@Zin mengetengahkan penggunaan sisa agropertanian untuk mempertingkatkan hasil pertanian yang mana inovasi ini dikategorikan dalam bidang pertanian, penternakan, akuakultur dan hortikultur.

Inovasi ini menggabungkan kajian dan penyelidikan mengenai pembuatan baja berasaskan organik yang diperbuat daripada sisa buangan pertanian seperti sekam padi, hampas sagu, daun nanas, sisa air sagu, sisa air tanah gambut dan sisa haiwan.

Kesemua bahan buangan agropertanian ini telah diformulasikan mengikut nisbah tertentu dan kaedah saintifik serta telah diuji keberkesanan dalam mempertingkatkan kesuburan tanah sekali gus mempertingkatkan hasil sayuran, jagung dan padi (tanaman kajian).

Inovasi pembuatan baja berasaskan bahan organik ini telah dianugerahkan tiga paten dalam hak cipta oleh kerajaan Malaysia, Republik Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kajian dan penyelidikan keberkesanan baja berasaskan organik ini telah diuji dalam makmal sains tanah di UPMKB sebelum diuji ke lapangan. Setelah terbukti keberkesanan dalam mempertingkatkan kesuburan tanah, teknologi ini telah dipindahkan kepada komuniti penanam padi yang melibatkan penanam padi di kawasan Sebauh dan Sungai Asap Belaga.

Teknologi penggunaan baja berasaskan baja organik ini sedang aktif dan dipergiatkan di Pekan, Pahang yang melibatkan peladang di bawah penyeliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Inovasi dalam kajian dan penyelidikan di bawah Ahmed Osumanu selaku ketua projek tidak terhad kepada penggunaan sisa buangan daripada aktiviti pertanian, malah beliau telah menjalin pelbagai kolaboratif dalam pengurusan sisa industri dengan pihak industri seperti Pertama Ferroalloys Sdn Bhd, Humibox, Luxurious Empire Sdn Bhd, Sarmag Resources Trading Sdn Bhd, Sarawak Oil Palms Berhad, Ta Ann Plantation Sdn Bhd, FCA Capital Sdn Bhd dan Omnia Solution.

Beliau juga berkongsi pengetahuan dan teknologi dalam pertanian organik dengan jabatan kerajaan seperti Jabatan Pertanian Negeri Pahang, IADA Pekan, Lembaga Lada Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak.

Berkhidmat di UPMKB sejak 2009, Ahmed Osumanu telah melatih ramai graduan berbakat dari segenap tempat seperti Dr Susilawati Kasim, Latifah, Dr Ch’ng Huck Ywih, Dr Palanivell Perumal, Dr Aainaa Hasbullah, Dr Maru Ali dan Dr Amelia Tang.

Menyentuh tentang MTE, pameran ini telah diadakan sejak 2001, di mana acara ini menjadi persada kepada pereka dan pencipta untuk mengetengahkan inovasi dan reka cipta hasil kajian dan penyelidikan yang terkini.

Pada siri ke-19 ini, MTE telah berkembang dengan pesat dan menjadi suatu pusat pameran inovasi dan reka cipta terkemuka di peringkat antarabangsa yang menggabungkan pelbagai kumpulan penyelidik tempatan dan antarabangsa, penggiat alam sekitar serta pihak industri.

MTE telah membina budaya cemerlang yang terkenal dalam pengiktirafan anugerah yang berprestij tinggi dan menarik penyertaan dari dalam dan luar negara dengan mencatat sebanyak 500 penyertaan setiap tahun.

MTE yang diadakan setiap tahun membuka penyertaan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah menengah, badan berkanun, agensi dan jabatan kerajaan serta pihak industri dari dalam dan luar negara untuk mempamerkan inovasi dan reka cipta terbaharu yang bersesuaian dengan keperluan semasa untuk menarik pelabur dan meningkatkan kualiti teknologi dengan usaha sama dan gabungan antara pelbagai bidang kajian.

 

Tarikh Input: 04/03/2020 | Kemaskini: 12/03/2020 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdWAl~