PELAJAR UPMKB ANJUR ‘RIGHT ON TARGET: ARCHERY SHOOTING DAY’ | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » PELAJAR UPMKB ANJUR ‘RIGHT ON TARGET: ARCHERY SHOOTING DAY’

PELAJAR UPMKB ANJUR ‘RIGHT ON TARGET: ARCHERY SHOOTING DAY’

BUAT pertama kali sejak negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, pelajar kursus Kokurikulum Berkredit QKS2108 Memanah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menganjurkan pertandingan memanah bertemakan ‘Right On Target: Archery Shooting Day’ di lapang sasar memanah UPMKB, baru-baru ini.

Pertandingan kokurikulum berkredit teras sukan ini terbuka kepada pelajar dan staf UPMKB sahaja serta berlangsung dalam kategori lelaki dan perempuan.

Seramai 20 peserta mengambil bahagian dengan melibatkan 11 peserta perempuan dan selebihnya lelaki yang berlangsung pada 25 dan 26 Jun lepas.

Pertandingan memanah ini berlangsung dalam dua pusingan iaitu kelayakan kalah mati dan penentuan kalah mati.

Johan kategori lelaki dimenangi staf Kolej Sri Rajang UPMKB Mazuan Mustapa, sementara pelajar Tahun 1 UPMKB Muhammad Wafiuddin Taha memenangi tempat kedua dan tempat ketiga dirangkul oleh seorang lagi pelajar UPMKB Muhammad Luqman Hakim Haris.

Bagi kategori perempuan, pelajar Bachelor Tahun 1 Jenny James dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua disandang oleh staf UPMKB Nur Huda Fazana Lawang dan tempat ketiga diduduki oleh seorang lagi pelajar Bachelor Tahun 1 Damie Ukar.

Tujuan utama pertandingan ini dianjurkan ialah untuk menghidupkan semula semangat kesukanan, mencungkil bakat serta memberikan pendedahan kepada warga UPMKB terhadap sukan memanah moden jenis recurve ini.

Tambahan, pertandingan memanah jenis moden ini adalah yang julung kali diadakan selepas UPMKB menambah baik fasiliti padang lapang sasar memanah serta membekal dan menyediakan peralatan memanah moden jenis recurve pada 2021.

Dengan adanya kemudahan fasiliti serta peralatan memanah ini, bakat serta kebolehan warga UPMKB dalam sukan memanah ini dapat diasah dan juga dapat dijadikan salah satu platform untuk mewakili universiti ke pertandingan luar.

Secara keseluruhan, peserta pertandingan mencadangkan agar program sebegini diadakan lebih kerap lagi dengan skala yang lebih besar dan terbuka, iaitu melibatkan masyarakat luar di sekitar Bintulu agar dapat mengembangkan lagi sukan memanah ini secara menyeluruh.

 

 

Tarikh Input: 03/08/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUFAH~