MEGA CPR 2023 BINTULU: CELIK CPR, SELAMAT NYAWA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » MEGA CPR 2023 BINTULU: CELIK CPR, SELAMAT NYAWA

MEGA CPR 2023 BINTULU: CELIK CPR, SELAMAT NYAWA

“TOLONG! Tolong! Tolong! Ada orang pengsan dan tidak sedarkan diri! Siapa boleh lakukan CPR?”

Anda mungkin pernah berhadapan dengan kejadian di mana ada individu yang tiba-tiba jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri sama ada semasa menjalankan aktiviti riadah, bersenam, bersukan, atau menjalankan aktiviti harian yang lain. Apabila berdepan dengan situasi seperti sedemikian, sekiranya kita tidak menyiap siaga diri dengan ilmu dan kemahiran pertolongan cemas, pastinya kita akan berasa panik dan tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk menyelamatkan nyawa individu tersebut.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia atau WHO (World Health Organisation), penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian di seluruh dunia yang meragut 17.9 juta nyawa setiap tahun. Penyakit kardiovaskular turut menjuarai punca kematian utama dalam kalangan penduduk setempat di negara kita.

Apabila individu tiba-tiba pengsan dan tidak sedarkan diri, adakalanya berlaku situasi di mana jantung akan berhenti berdenyut secara mengejut dan boleh menyebabkan mangsa tersebut tidak sedarkan diri secara berterusan dan tidak bernafas.

Sekiranya pertolongan cemas pertama tidak dilakukan dengan serta-merta, mangsa tersebut berkemungkinan besar tidak dapat diselamatkan apabila ambulans sampai ke tempat kejadian.

Di Malaysia, antara penyumbang utama jumlah kes kardiovaskular adalah jantung yang terhenti sebelum sampai ke hospital yang terdekat. Hatta, setiap minit berlalu, ajal semakin mendekati mangsa tersebut.

CPR merupakan kaedah pertolongan cemas pertama dilakukan untuk menyelamatkan nyawa mangsa yang pengsan secara mengejut dan tidak bernafas.

Apakah itu CPR? CPR merupakan singkatan daripada Cardio-Pulmonary Resuscitation atau Resusitasi Kardiopulmonari. CPR dilakukan apabila mangsa tidak sedarkan diri, tiada denyutan jantung, dan pernafasan terhenti.

Apabila CPR dilakukan, pengaliran darah yang membawa oksigen dapat diteruskan ke bahagian otak mangsa kerana sekiranya otak tidak mempunyai kandungan oksigen yang mencukupi, kematian otak akan terjadi dan secara langsung akan mendatangkan maut.

Antara kaedah CPR yang sering kita dengar adalah kaedah bantuan pernafasan mulut ke mulut dan kaedah tekanan dada. Pandemik COVID-19 telah mempengaruhi pemilihan kaedah CPR daripada kaedah pernafasan mulut ke mulut ke kaedah tangan-sahaja CPR (handsonly CPR).

Oleh itu, kaedah tangansahaja CPR amat disyorkan oleh organisasi profesional untuk dipelajari oleh orang awam semasa era endemik COVID-19 ini. Empat minit pertama dikatakan merupakan tempoh kritikal yang boleh menyelamatkan nyawa mangsa yang mengalami jantung yang terhenti mengejut sekiranya pertolongan cemas pertama dilakukan.

Kelab Akademik Hospital Bintulu dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dengan kerjasama Hospital Bintulu akan menganjurkan program MEGA CPR 2023 peringkat Bahagian Bintulu dengan tema Bintulu Celik CPR pada 11 Mac 2023 bertempat di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu. Orang awam, khususnya belia adalah amat digalakkan untuk mendaftar program ini.

Peserta boleh mengimbas kod QR dalam poster program untuk mendaftar atau boleh menghubungi pegawai yang bertanggungjawab seperti yang tertera di dalam poster. Ayuh! Mari mendaftar! Celik CPR, selamatkan nyawa!

(Artikel ini disediakan oleh Dr Chan Siaw Leng dari Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak. E-mel: chansiawleng@upm. edu.my)


Tarikh Input: 08/02/2023 | Kemaskini: 09/02/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdOAL~