MANRED KINI KEMENTERIAN MAKANAN, KOMODITI DAN PEMBANGUNAN WILAYAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » MANRED KINI KEMENTERIAN MAKANAN, KOMODITI DAN PEMBANGUNAN WILAYAH

MANRED KINI KEMENTERIAN MAKANAN, KOMODITI DAN PEMBANGUNAN WILAYAH

KUCHING, Rabu: Kementerian Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) kini dikenali sebagai Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah untuk mencerminkan kepentingan industri makanan kepada ekonomi Sarawak.
 
Pertukaran kepada nama baharu tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa merasmikan Kongres Pertanian Mampan Dan Keselamatan Makanan (COSAFS) di sini pada Rabu.
 
Oleh kerana pertanian sebagai sumber makanan begitu penting kepada usaha Sarawak untuk menjadi negeri pengeluar makanan dan mempastikan keselamatan makanan, maka Kerajaan telah memutuskan untuk menukar nama kementerian ini, jelas beliau.
 
Pertanian merupakan suatu industri dan imej tradisi pertanian sebagai hanya sekadar “memegang cangkul dan pekerjaan yang susah” harus dikikis dan diganti dengan imej penjana pendapatan yang lumayan, ujar beliau.
 
Beliau berkata dengan adanya kawasan tanah lapang yang begitu luas, sektor pertanian telah dikenalpasti sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
 
“Kita akan mengkaji apa sahaja input yang anda pelajari daripada kongres ini dan ia merupakan sebahagian daripada langkah kami ke arah pertanian mampan,” katanya.
 
Ujarnya, dengan penggunaan teknologi pengeluaran dan kualiti makanan boleh dipertingkatkan dan dalam masa sama pasaran hendaklah dikenal pasti dan dibangunkan.
 
Oleh itu, Sarawak telah menjalin hubungan perdagangan dengan Singapura supaya tersedia pasaran untuk produk makanan dari Sarawak dan kemudian pasaran boleh diperluaskan ke negara-negara lain atas kekuatan Singapura sebagai pusat pengedaran barangan ke seluruh rantau Asia, ujarnya lagi.
 
Beliau berkata sebagai langkah untuk mengoperasikan dasar ke arah menjamin keselamatan makanan dan taman-taman pertanian atau Agropark akan dibangunkan di mana ianya akan dilengkapkan dengan pelbagai infrastruktur terutamanya Internet selaras dengan inisiatif ke arah pendigitalan.
 
Dalam majlis tersebut, turut diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Swinburne serta simbolik penyerahan dana projek AgriHub@Gedong di bawah kelolaan UPM.
 
Kongres tersebut mendapat penyertaan lebih daripada 300 peserta dengan syarahan ucaptama, pembentangan lisan dan poster yang mengetengahkan penyelesaian dan cadangan dalam aspek terkait bidang pertanian dan keterjaminan makanan.
 
Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom turut berucap.
 
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak 1 Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak 2 Martin Ben, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Naib Canselor UPM Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman serta Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 26/09/2022 | Kemaskini: 27/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUIAX~