MANRED DIJENAMAKAN SEMULA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » MANRED DIJENAMAKAN SEMULA

MANRED DIJENAMAKAN SEMULA

KUCHING, 21 September - Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (MANRED) kini dijenamakan semula sebagai Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.
 
Demikian menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa menyempurnakan Congress on Sustainable Agriculture and Food Security (COSAFS2022) yang berlangsung bermula 21 hingga 24 September 2022 di The Waterfront Hotel, di sini, pagi tadi.
 
"Pertanian merupakan ejen pertumbuhan ekonomi dengan kepesatan pengeluaran produk dan kita perlu mengenal pasti akses pasaran untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti makanan.
 
"Pengaruh kemajuan teknologi adalah penting bagi tujuan tersebut sebagai sebahagian dari proses pengeluaran utama dan tanah sebagai aset yang dibantu infrastruktur digital dengan bantuan teknologi 5G bagi perlaksanaan masa sebenar, sekali gus menaik taraf pertanian transformasi digital.
 
Terdahulu, Naib Canselor UPM Profesor Dato' Dr. Mohd Roslan Sulaiman menjelaskan Universiti Putra Malaysia telah disenaraikan dalam ranking ke-132 seluruh dunia menerusi QS World University Rangkings 2021, selain berada di ranking ke-28 terbaik di Asia dalam QS Asia University Rankings dan ke-10 terbaik di dunia untuk Universiti bawah 50 tahun melalui QS Top 50 bawah 50.
 
"UPM berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan melalui transformasi penyelidikan berturut-turut yang telah membentuk kecemerlangan akademik, inovasi dan penglibatan komuniti.
 
"COSAFS2022 merupakan penaung kepada tiga Persidangan Antarabangsa yang berlangsung secara serentak iaitu International Scientific Conference on Indigenous Crops 2022 (ISCIC2022), International Conference on Fisheries and Animal Sciences 2022 (FISAS2022), dan International Conference on Food and Industrial Crops 2022 (ICFIC2022).
 
Dalam masa sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata penggiat industri tani perlu dibangunkan agar menjadi petani berpendapatan tinggi secara berperingkat dengan menjaga kepentingan mereka menerusi orang-perseorangan, penglibatan pihak swasta, perkongsian dan komuniti.
 
"Taraf hidup mereka perlu diubah menjadi petani moden dengan bantuan teknologi dan bukan hanya menerusi bantuan subsidi kerajaan namun beri peluang untuk lebih berinisiatif untuk menghasilkan lebih produktiviti tinggi dan mendapat pulangan yang lumayan.
 
"Rantaian bekalan makanan ini perlu dilengkapkan bukan sahaja menyediakan ekosistem terancang, oleh itu kongress ini diadakan bagi berkongsi pengetahuan, menjana idea dan pengalaman yang boleh diterapkan kepada petani secara praktikal untuk membantu Sarawak mencapai matlamat sebagai pengeksport makanan menjelang 2030," tambahnya.
 
Kongres tersebut melibatkan 300 peserta dalam kalangan ahli akademik, saintis penyelidik, penggubal dasar, pegawai dari sektor awam dan swasta dengan syarahan ucaptama, pembentangan lisan dan poster yang mengetengahkan penyelesaian dan cadangan dalam aspek terkait bidang pertanian dan keterjaminan makanan.
 
Dalam majlis sama, turut diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UPM dan Swinburne University of Technology Sarawak Campus serta simbolik penyerahan dana projek AgriHub@Gedong.
 
Kerajaan Sarawak telah bersetuju meluluskan projek transformasi padi, AgriHub@Gedong berjumlah RM3 juta sebagai permulaan ke arah amalan pertanian pintar di Sarawak dengan mengambilkira krisis makanan yang dijangka berlaku dan membimbangkan, pendekatan meningkatkan pengeluaran makanan adalah langkah tepat.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 27/09/2022 | Kemaskini: 27/09/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcRAj~