KURSUS ASAS TERNAKAN IKAN AIR TAWAR SECARA AKUAKULTUR BERMANFAAT UNTUK BELIA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KURSUS ASAS TERNAKAN IKAN AIR TAWAR SECARA AKUAKULTUR BERMANFAAT UNTUK BELIA

KURSUS ASAS TERNAKAN IKAN AIR TAWAR SECARA AKUAKULTUR BERMANFAAT UNTUK BELIA

Keratan Akhbar Utusan Borneo, Kursus Asas Ternakan Ikan Air Tawar Secara Akuakultur bermanfaat untuk belia - 19 Mei 2022

20 peserta terdiri daripada golongan belia sekitar Bintulu telah menyertai Kursus Asas Ternakan Ikan Air Tawar Secara Akuakultur anjuran Kelab Belia Sebiew di bawah Kementerian Belia dan Sukan (Bahagian Bintulu) dengan Kerjasama Pusat Pertanian Putra (PPP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), baru-baru ini.

Kursus ini diadakan di Pejabat Pusat Pertanian Putra (Teori) dan Hatcheri & Kolam Ikan, Pusat Pertanian Putra (Praktikal) di UPMKB.

Menurut Pegawai Pertanian Kanan Pusat Pertanian Putra UPMKB (Pegawai Seranta) Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, penganjuran kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan belia berkenaan teori berkaitan penternakan ikan air tawar secara akuakultur meliputi pengurusan penternakan ikan air tawar, asas pemakanan ikan serta pengurusan kesihatan ikan.

Kursus dikendalikan oleh penceramah yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan khususnya dalam bidang Genetik dan Pembiakbakaan iaitu Prof Madya Dr Amy Halimah Rajaee yang merupakan pensyarah di Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, UPMKB sejak 2006 sehingga sekarang. Beliau juga merupakan Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra, UPMKB.

Latihan praktikal/amali teknik pembenihan secara aruhan ikan air tawar (penyuntikan hormon perangsang pada induk dan proses persenyawaan telur) serta penyediaan tangki penetasan pula dikendalikan oleh Lirong Yu Abit yang berpengalaman dan mahir dalam bidang tersebut dengan dibantu oleh Ayum Balai serta Raymond Lau.

Pegawai Belia dan Sukan Bintulu Kigen Satong pula berkata, penganjuran kursus ini bertujuan menyahut saranan kerajaan bagi meningkatkan pembangunan industri pertanian di Malaysia terutama di Sarawak dan memberi banyak faedah kepada para peserta kursus terutamanya golongan belia di sekitar Bintulu mahupun di UPMKB.

Menurut beliau lagi, kursus ini merupakan salah satu daripada rangkaian kursus yang telah dirancang pada tahun 2022 dalam merealisasikan program keusahawanan belia dan aktiviti pengembangan pertanian bersama masyarakat umum.

Pusat Pertanian Putra UPMKB berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi dengan Kelab Belia Sebiew serta agensi-agensi lain dan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak urus setia Josephine Jawai Makos, jurufoto Benedict Miden dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pengarah Kampus UPMKB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini kerana sentiasa memberi sokongan dalam penganjuran kursus seperti ini serta kepada Pengerusi Kelab Belia Sebiew Muhammad Suffian Ashmaidi atas inisiatif untuk melaksanakan kursus ini.

 

Tarikh Input: 19/05/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdTAx~