KEUNIKAN UBATAN HERBA KENYAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KEUNIKAN UBATAN HERBA KENYAH

KEUNIKAN UBATAN HERBA KENYAH

SEORANG penduduk Kampung Lebu Kulit, Sarawak menunjukkan tanaman herba miliknya.

TUMBUHAN memainkan peranan penting dalam pembangunan manusia dan digunakan berkurun lamanya. Budaya sesebuah etnik atau masyarakat serta taburan tumbuhan semula jadi mewujudkan perubatan tradisional yang khususnya dipengaruhi oleh teori, pengalaman dan kepercayaan masyarakat setempat.

Di Asia, terdapat komuniti yang masih bergantung kepada ubat tradisional sebagai sumber rawatan utama. Namun, kini disebabkan pembangunan pesat, pengetahuan ubatan tradisional yang tidak ternilai ini berisiko pupus kerana masyarakat lebih cenderung kepada perubatan moden.

Oleh kerana itu, kajian etnobotani sangat penting terutama di Sarawak yang mempunyai lebih 40 kumpulan etnik yang cukup unik dari segi bahasa, budaya dan cara hidup.

Jabatan Sains Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sedang menjalankan kajian etnobotani untuk meneroka ilmu perubatan herba yang dipraktikan oleh etnik peribumi Sarawak. Sebagai permulaan, satu pasukan penyelidik melawat Kampung Uma Badeng dan Kampung Lebu Kulit di Belaga.

Kajian ini bertujuan memahami dan merekod ilmu turun-temurun masyarakat Kenyah dalam perubatan herba. Lebih 20 pengamal perubatan tradisional ditemu bual dan ini memberi peluang kepada pasukan penyelidik untuk mendalami dunia perubatan tradisional.

Contohnya, akar penawar digunakan sebagai penawar segala jenis keracunan. Penggunaannya juga sangat mudah. Hanya perlu mengunyah sebahagian kecil akar penawar jika mengalami keracunan. Terdapat juga pengamal yang menggunakan wap air rebusan akar penawar untuk melegakan selesema.

Selain itu, ada juga menggunakan air rebusan keladi kemoyang (homalomena sagittifolia) untuk merawat demam panas, air rebusan daun lemuni (vitex trifolia) sebagai suplemen kesihatan, halia hitam (kaempferia parviflora) untuk rawatan penyakit jantung dan puluhan lagi rawatan tradisi yang menggunakan aneka herba hutan.

Bagaimanapun, ia melalui proses kajian saintifik untuk mengetahui tahap keberkesanan dan juga bahan-bahan aktif dalam herba tersebut. Terdapat pakar perubatan menasihati agar berwaspada kerana penyalahgunaan ubatan herba boleh memberi kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, pasukan penyelidik UPMKB akan meneruskan kajian etnobotani dengan menjalankan analisis untuk mengetahui kandungan ekstrak tumbuhan herba yang digunakan sebagai rawatan tradisi.

Ini juga boleh menjadi asas untuk mengkomersialkan rawatan tradisional masyarakat Sarawak kerana penjanaan pendapatan daripada tanaman herba serta perubatan tradisional amat tinggi.-UTUSAN

Daripada : Dr. Keeren Sundara Rajoo, UPM Kampus Bintulu, Sarawak

Maklumat lanjut, Klik >> DISINI

Tarikh Input: 28/02/2022 | Kemaskini: 12/10/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEQWAL~