KERAJAAN NEGERI AKAN TERUS PELIHARA BUDAYA ETNIK SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KERAJAAN NEGERI AKAN TERUS PELIHARA BUDAYA ETNIK SARAWAK

KERAJAAN NEGERI AKAN TERUS PELIHARA BUDAYA ETNIK SARAWAK

Abang Johari Tun Openg (tiga kanan) ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-2 Mengenai Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021, di Kuching hari ini.

 

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak tidak akan mengabaikan, malah akan tetap memelihara dan mempromosi  budaya rakyat tempatan meskipun sedang berusaha untuk membangunkan ekonomi digital negeri itu. Justeru, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggesa agar cendekiawan, terutamanya mereka yang berurusan dengan etnik di Sarawak dan Borneo berusaha ke arah pemuliharaan budaya asli rakyat negeri Sarawak.

“Penyelidikan pasti akan membantu menonjolkan kekayaan kepelbagaian budaya Sarawak dan mengukuhkan identiti budaya kita,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-2 Mengenai Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 di sini hari ini. Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sarawak berharap dengan penubuhan Kerusi Pehin Sri Adenan Satem di Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu akan menonjolkan universiti berkenaan sebagai pusat penyelidikan yang tertumpu kepada etnik Borneo di Sarawak, memfokuskan kepada unsur budaya, bahasa dan sosioekonomi.

Katanya, usaha UPM Kampus Bintulu untuk menumpukan kepada kajian etnik Sarawak sebagai kawasan khusus harus dihargai dengan baik sementara Sarawak perlu berusaha ke arah pembangunan ekonomi yang lebih besar. “Bagi menyokong usaha murni ini, Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju dengan penubuhan Kerusi Pehin Sri Adenan Satem, yang semasa hayatnya pernah menjadi pemimpin dan pendokong unsur seni dan budaya yang hebat.

“Saya percaya kerusi penyelidikan ini akan berfungsi sebagai hab untuk mengumpul data mengenai warisan budaya dan khazanah daripada pelbagai kumpulan etnik di Sarawak dan Borneo supaya ia tidak ditinggalkan atau dilupakan,” katanya. Beliau berkata, UPM Kampus Bintulu juga akan menerajui penyelidikan etnik di Sarawak, khususnya mengenai budaya, bahasa, pemikiran manusia, adat resam, seni dan warisan tradisional.

Beliau seterusnya berharap agar UPM Kampung Bintulu dan kerajaan Sarawak dapat meneruskan program yang sama untuk mewujudkan peluang dan usaha yang dipertingkatkan dalam mewujudkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara universiti di pulau Borneo dan di seluruh nusantara dan meningkatkan reputasi Borneo sebagai destinasi eko-pelancongan komersial dengan mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu beliau berharap Kerusi Pehin Sri Adenan Satem akan memacu usaha penyelidikan dan mempertahankan identiti unik dan kekayaan warisan budaya asli Borneo di peringkat antarabangsa. Abang Johari juga berkata penganjuran ICOSSH 2021 pastinya memberi sokongan kepada usaha kerajaan negeri memperkasa komuniti dan etnik.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta di bawah Belanjawaan Sarawak 2022 untuk menubuhkan Tabung Pemudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan tahun depan bagi meningkatkan program pelancongan dan promosi di negeri Sarawak, sebuah tanah yang kaya dengan budaya dan etnik, dan pelbagai dalam ekspresi seni. Sarawak mempunyai 27 kumpulan etnik dan 45 dialek yang dituturkan oleh masyarakat Sarawak.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DISINI

 

Tarikh Input: 28/10/2021 | Kemaskini: 27/04/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUQAA~