KEPIMPINAN, KEMAHIRAN KOMUNIKASI ELEMEN PENTING BENTUK SAHSIAH DIRI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KEPIMPINAN, KEMAHIRAN KOMUNIKASI ELEMEN PENTING BENTUK SAHSIAH DIRI

KEPIMPINAN, KEMAHIRAN KOMUNIKASI ELEMEN PENTING BENTUK SAHSIAH DIRI

BINTULU: Kepimpinan dan kemahiran komunikasi bukan satu perkara yang asing pada masa kini namun merupakan elemen kemahiran insaniah yang penting dalam membentuk sahsiah diri seseorang.

Ini yang ditonjolkan melalui Pertandingan Bahas Putra 2022 anjuran pelajar-pelajar Seni Penghujahan Kumpulan 101, Semester 1 Sesi Akademik 2022/2023 yang diadakan pada 12 November lalu di Dewan Kuliah Pusat, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).

Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mengaplikasikan sikap beretika dalam berkomunikasi di samping menyampaikan pendapat melalui hujah-hujah yang bernas dan relevan sesuai dengan peringkat umur masing-masing.

Perdebatan ilmiah yang julung kali dilaksanakan itu telah berjaya mencungkil bakat berbahas secara spontan melalui usul yang meliputi topik pendidikan, sahsiah remaja dan isu alam sekitar.

Pengarah program Fatin Najihah berkata, Pertandingan Bahas Putra menyediakan platform kepada semua pelajar untuk membahaskan usul-usul yang kian hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat kini.

Katanya, hal ini mampu membantu meningkatkan keupayaan berkomunikasi dengan etika yang tepat pada saluran yang sesuai untuk mereka menyampaikan pendapat dengan disokong pembuktian daripada sumber-sumber sahih dan boleh dipercayai.

“Tujuan penganjuran pertandingan seumpama ini adalah untuk memupuk minat semua pelajar menceburi bidang baharu seperti berbahas.

“Harapan kami agar setiap pelajar dapat mengambil peluang ini untuk menyampaikan hujah ala parlimen,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata, program ini dapat melahirkan generasi yang lebih berdisiplin dan berilmu melalui pertandingan seumpamanya.

“Bukan itu sahaja melalui pertandingan ini negara kita mampu melahirkan generasi yang bijak dalam berhujah bahkan mampu menjadi pemimpin yang hebat pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, persekitaran ini sangat menarik maka ini masa yang sesuai untuk menyediakan lebih banyak platform seperti ini sebagai saluran penyampaian komunikasi berkesan di samping mencari pelapis muda yang akan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

Pertandingan Bahas Putra itu menyaksikan juaranya dirangkul kumpulan Belia Serumpun yang berjaya mengalahkan kumpulan MANRAZ yang meraih tempat kedua pada sesi terakhir perbahasan dengan membahaskan usul mengenai ‘Sahsiah Remaja’.

Manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih Swan City Star dan Smallticle. Semua peserta membawa pulang hadiah berupa wang tunai, hamper berserta sijil penyertaan.

 

Tarikh Input: 06/12/2022 | Kemaskini: 06/12/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDcTAW~