KEMAHIRAN PENGURUSAN PASTIKAN MAJLIS BERJALAN LANCAR, SEMPURNA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » KEMAHIRAN PENGURUSAN PASTIKAN MAJLIS BERJALAN LANCAR, SEMPURNA

KEMAHIRAN PENGURUSAN PASTIKAN MAJLIS BERJALAN LANCAR, SEMPURNA


Sesi fotografi ahli jawatankuasa Program Manage To Start 1.0 bersama para peserta.


BINTULU: Mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dalam pengurusan majlis perlu didedahkan berkenaan kepentingan menguruskan majlis rasmi dan tidak rasmi dengan kaedah yang betul supaya majlis dianjurkan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Penceramah program ‘Manage To Start 1.0’ Afendi Soon berkata, perspektif baharu dalam pengurusan majlis juga perlu didedahkan kepada mahasiswa supaya mereka dapat berfikir lebih matang, mempunyai semangat bekerjasama dan saling membantu semasa mengendali majlis.

“Kemahiran seperti ini termasuk kemahiran insaniah amat penting untuk mahasiswa dalam menempuh cabaran masa kini serta sebagai persediaan selepas tamat pengajian apabila terlibat dalam kerjaya seumpamanya,” kata

Afendi yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong 2 Bintulu. Beliau berkata demikian semasa sesi ceramah Program Manage To Start 1.0 yang disertai 54 peserta terdiri mahasiswa dan mahasiswi di Dewan Kuliah Pusat 2A Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) baru-baru ini.

Pada masa sama katanya, penyertaan mahasiswa dan mahasiswi dalam pelbagai program universiti akan meningkatkan semangat kepimpinan, memberi pendedahan, pengalaman dalam mengurus sesebuah program serta sebagai tanggungjawab diri yang secara tidak langsung dapat memantapkan kemahiran berkomunikasi.

Katanya, program ini juga dapat memupuk sifat berani dalam diri pelajar untuk mengelola dan mengurus majlis kecil mahu pun besar sekali gus lebih cakna terhadap keadaan majlis dan para tetamu.

Sementara itu, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Kanan ICT UPMKB yang juga penceramah program sama Roslan Ismail berkata, program ini telah dikendalikan dengan baik meski baharu pertama kali diadakan.

Katanya, ia mampu membuka mata pelajar tentang kepentingan menguruskan majlis walaupun sebenarnya beberapa perkara dalam program ini agak sukar untuk dipelajari.

Antara aktiviti yang dijalankan pada sesi pagi ialah sesi taklimat yang menekankan pengurusan dan protokol majlis, kaedah pengendalian majlis rasmi dan pengenalan kepada pengurusan publisiti dan media.

Program ini yang memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai kepentingan kemahiran dalam mengendalikan majlis dengan betul ini berpotensi menjadi landasan perkongsian ilmu bagi memudahkan pelajar mengaplikasikan protokol yang betul di alam pekerjaan berkaitan.

Aktiviti kedua yang diadakan ialah sesi suai kenal antara para peserta yang bertujuan mengeratkan ukhuwah antara pelajar UPMKB.

Sesi latihan dalam kumpulan iaitu sesi penyampaian berdasarkan acara pilihan juga diadakan yang mana para pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan dan setiap kumpulan dikehendaki melakukan simulasi pengendalian majlis secara ringkas mengikut tema yang diberikan.

Ia bagi melihat tahap kebolehan pelajar dalam mengaplikasikan maklumat yang diperoleh sepanjang sesi taklimat.

 

Tarikh Input: 21/12/2022 | Kemaskini: 21/12/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEVAAR~