GOLONGAN MUDA BERILMU PEMANGKIN KESINAMBUNGAN JAMINAN MAKANAN DAN PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR SECARA BERTERUSAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » GOLONGAN MUDA BERILMU PEMANGKIN KESINAMBUNGAN JAMINAN MAKANAN DAN PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR SECARA BERTERUSAN

GOLONGAN MUDA BERILMU PEMANGKIN KESINAMBUNGAN JAMINAN MAKANAN DAN PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR SECARA BERTERUSAN

Satu forum yang bertemakan Pertanian dan Alam Sekitar telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPK) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) pada 17 April 2021. Forum ini buat julung kalinya telah diadakan dengan jalinan bersama Persatuan MyAgrosis Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah. Forum ini mengetengahkan isu seputar sektor pertanian negara yang dikatakan antara penyumbang utama kepada pencemaran alam sekitar dengan pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran sungai.

Menurut salah seorang panel iaitu pensyarah kanan dari UPMKB Dr Wan Asrina Wan Yahaya, ramai peladang atau pekebun kecil yang masih kekurangan ilmu dalam bidang pertanian terutamanya dalam isu penggunaan baja kimia. Hal ini kerana, secara puratanya golongan ini berumur dalam lingkungan 60 tahun ke atas. Malah, kebanyakan mereka juga tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan cuma menggunakan baja kimia yang telah mereka gunakan sejak berpuluh tahun.

“Pengetahuan mereka tentang kebaikan baja organik sangat rendah. Mereka juga terpaksa menggunakan baja kimia secara berlebihan demi mendapatkan hasil yang maksimum. “Selain itu, hasil pertanian yang mendatangkan keuntungan yang agak rendah bagi pekebun kecil menyebabkan mereka menggunakan pilihan baja kimia yang lebih banyak terdapat di pasaran berbanding dengan baja organik. Mereka juga lebih mempercayai keberkesanan baja kimia berbanding baja organik kerana telah menggunakannya buat sekian lama.

“Namun, tanpa sedar perbuatan mereka menyebabkan kesuburan tanah semakin berkurang. Akibatnya, hasil pertanian menjadi semakin rendah. Oleh itu, pemindahan ilmu tentang teknologi pertanian juga perlu dipertingkatkan oleh pegawai-pegawai di sektor pertanian kepada para pekebun kecil yang berada di kawasan kampung dan pedalaman,” ujar beliau lagi. Panel kedua iaitu pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang Dr Ferdius @ Ferdaus Mohamat Yusuff, pula berpendapat bahawa penerokaan hutan dara menyebabkan pelepasan gas karbon dan gas rumah hijau yang lebih tinggi ke udara. Akibatnya, simpanan karbon dalam tanah menjadi semakin kurang.

Atas faktor inilah yang mengukuhkan dakwaan NGO Barat bahawa perladangan kelapa sawit tanpa mengambil kira sejarah penggunaan tanah dan penggunaan baja kimia secara berlebihan dapat menjejaskan kualiti alam sekitar. Beliau turut menasihati para pelajar supaya lebih peka dengan isu alam sekitar supaya apabila memasuki alam kerjaya yang berkaitan dengan pertanian nanti, mereka akan lebih peka dengan aktiviti pertanian yang boleh mengancam alam sekitar.

Beliau turut berkongsi pengalaman beliau ketika membuat penyelidikan di lapangan mengenai populasi kerang. Menurutnya, populasi kerang yang berada berdekatan dengan muara sungai dan ladang kelapa sawit adalah lebih rendah berbanding dengan yang berada jauh dari kawasan ladang kelapa sawit. Ini berlaku disebabkan oleh pelepasan efluen daripada pemprosesan minyak mentah kelapa sawit tanpa rawatan dan tanpa mengikut Akta Alam Sekitar 1974.

“Pertanian lestari mampu mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar kerana ia terdiri daripada tiga tunjang utama yang seimbang iaitu dari segi pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan kesejahteraan alam sekitar. “Oleh itu, aspek alam sekitar harus juga diambil berat oleh para petani dan juga pemilik estet atau perladangan berskala besar demi menjamin keseimbangan lain iaitu sosial dan ekonomi,” kata pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah Dr Januarius Gobilik.

Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, inovasi pertanian juga turut berubah. Menurut Dr Rozana Samah dari Universiti Utara Malaysia, inovasi pertanian merangkumi aspek teknologi kejuruteraan, agronomi, perlindungan tanaman dan pengurusan tanah. Inovasi ini bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian dari segi produktiviti serta kecekapan dan juga meningkatkan taraf hidup petani. Kelestarian makanan negara perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan kadar kebergantungan negara kepada bahan import pertanian dari negara jiran.

Ir Ts Mohd Fazly Mail yang merupakan seorang pegawai penyelidik MARDI pula berkata: “Teknologi kejuruteraan pertanian masa kini contohnya seperti pertanian tepat atau persis akan membantu para petani moden dari segi tenaga dan kos. Para petani juga perlulah menggunakan teknologi kejuruteraan mengikut saiz plot pertanian yang mereka ada. Contohnya ialah pertanian padi.” Tambah beliau lagi, tanah yang berasid adalah tidak sesuai untuk penanaman.

Oleh itu, sampel tanah itu perlu diambil dan diukur keasidannya supaya berada dalam lingkungan pH 5.5 hingga 6. Jika kurang nilainya, maka proses pengapuran perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum proses penanaman bermula. Penggiliran tanaman juga akan membantu dalam meningkatkan kesuburan tanah, mengelakkan serangan penyakit oleh serangga dan rumpai.

Sebagai penutup, ramai golongan muda yang tidak mahu menceburi bidang pertanian. Oleh itu, mahasiswa yang mengambil jurusan pertanian sangat dianjurkan untuk menceburi bidang ini demi kesinambungan jaminan makanan dan memelihara alam sekitar. Ini kerana, mereka mempunyai ilmu yang mencukupi dalam penghasilan pertanian yang optimum di samping dapat memelihara alam sekitar. Semoga forum ini dapat mencetus minat para pelajar untuk berkecimpung dalam bidang pertanian selepas menghabiskan pengajian di universiti kelak. — (Artikel ini disediakan oleh Muhammad Darwisy Amzar Hakim, Nurul Husna Che Hamzah, Rosidah Basir)

 

 

Tarikh Input: 08/07/2021 | Kemaskini: 27/04/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXESXAU~