BATANG LUPAR AKAN DIBANGUNKAN SEBAGAI PUSAT PENGELUARAN PADI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » BATANG LUPAR AKAN DIBANGUNKAN SEBAGAI PUSAT PENGELUARAN PADI

BATANG LUPAR AKAN DIBANGUNKAN SEBAGAI PUSAT PENGELUARAN PADI

BINTULU: Kawasan Batang Lupar akan dibangunkan sebagai pusat pengeluaran padi secara besar-besaran seperti di Kedah.

Bagi merealisasikannya, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu membuat kajian untuk membolehkan padi di kawasan Batang Lupar dihasilkan sebanyak tiga kali setahun.

Jelas Ketua Menteri, dengan penghasilan padi yang banyak setiap tahun dapat menjamin keselamatan bekalan padi untuk Sarawak selain dapat dieksport ke negara luar seperti Singapura.

“Saya difahamkan bahawa pihak Bernas dengan kerjasama bebarapa agensi, mereka ada teknologi tertentu untuk mengeluarkan beras ini.

“Kerajan Negeri hendak menjadikan Batang Lupar seperti Kedah sebagai sebagai pusat pengeluaran padi di bawah Sri Aman Development Agency (SADA).

“Kerajaan Negeri telah menyediakan dana dengan menggunakan teknologi tinggi dalam pengeluaran padi,” katanya semasa lawatan kerja ke UPM Kampus Bintulu pada Jumaat.

Menurut Ketua Menteri, kajian juga akan dibuat dalam meningkatkan hasil padi di kawasan tanah tinggi seperti Bario.

Dalam pada itu, beliau juga mahu UPM Kampus Bintulu meneroka dan mengembangkan potensi produk nipah dan sagu.

Katanya, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Pembangunan Nipah Dan Sagu kerana melihat potensi besar dalam dua sumber tersebut.

“Saya melihat kita boleh menghasilkan banyak gula apong kerana kita mempunyai banyak pokok nipah dari Mukah hingga Kuching dan dari Lawas ke Limbang,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, sebuah syarikat (Kin Hin) telah menandatangani perjanjian di Pejabat Perdagangan dan pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) untuk mengeluarkan gula apong selama tiga tahun yang akan dibeli Singapura.

Katanya, sebanyak RM10 juta dana telah diperuntukkan bagi menyediakan prototaip untuk membangunkan industri pengeluaran gas berasaskan sagu yang berpangkalan di Kampung Teh, Mukah.

Tambah beliau lagi, kajian juga perlu dibuat untuk membangunkan kawasan penanaman kelapa spesis baru di kawasan benteng hakisan tanah dari Kampung Sebangan, Sebuyau hingga ke Tambirat.

Menurutnya, beliau mahu mengembangkan potensi pertanian di kawasan pesisir seperti Gedong, Simunjan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau hingga ke Lingga.

Terdahulu, Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman dalam ucapannya berkata UPMKB amat terharu dan teruja setelah dilantik sebagai Hab Penyelidkan Perhutanan di Sarawak.

Menurutnya, beliau yakin barisan warga kerja UPMKB mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan berharap hasil penyelidikan yang akan diperoleh kelak mampu menyumbang kepada pembangunan perhutanan di negeri ini.

Katanya, Canselor UPM, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mahu UPM Kampus Bintulu diperkembangkan lagi potensinya untuk menjadi sebuah hab pertanian setempat dan pusat rujukan utama dalam bidang sekuriti makanan di Sarawak. 

Terdahulu pada sebelah pagi, Ketua Menteri telah merasmikan International Conference On Forest Resources Management bertemakan ‘Integrating Knowledge For Improvement’ di Promenade Hotel Bintulu.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail. – EDISI UKAS

Tarikh Input: 13/12/2021 | Kemaskini: 04/03/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXERDAz~