ATLET UPM BINTULU MERAIH PINGAT KEJOHANAN TAEKWONDO PSS-WTF | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » ATLET UPM BINTULU MERAIH PINGAT KEJOHANAN TAEKWONDO PSS-WTF

ATLET UPM BINTULU MERAIH PINGAT KEJOHANAN TAEKWONDO PSS-WTF


TERBAIK: Wakil atlet UPMKB memperolehi pingat pada kejohanan itu ialah (dari kiri, Russell Tang Hsien, Farah Syameera dan Siew Yuen Bing.


Pertandingan seni bela diri Sarawak-SSC State Taekwondo (WTF) Championship 2023 berlangsung di Stadium Muhibbah Bintulu bermula 10 hingga 12 Mac lalu dengan penyertaan seramai lebih 800 atlet dari seluruh Sarawak.

Kejohanan itu adalah anjuran Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (PTNS) bersama Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dan dikelolakan oleh Kelab Taekwondo Smart Bintulu bersama Kolej Vokesional dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).

Tiga atlet UPMKB dari Kelab Taekwondo UPMKB mewakili Kelab Taekwondo Smart Bintulu berjaya merangkul empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Farah Syameera Mohd Fairoz berjaya memperolehi tiga emas masing-masing dalam kategori Poomsae Individu, Mixed Paired dan Open Sparring.

Seorang lagi atlet, Russell Tang Hsien berjaya merangkul satu emas dalam kategori Mix Paired dan satu perak dalam Poomsae Individu, manakala Siew Yuen Bing berjaya merangkul satu pingat gangsa dalam Poomsae individu.

Selain itu, seramai 20 orang sukarelawan dari UPMKB gabungan dari Kelab Taekwondo dan Kelab Belia Sosial & Komuniti turut membantu menjayakan kejohanan ini. Penglibatan dan komitmen pelajar-pelajar UPMKB pada kejohanan peringkat negeri diketuai urus setia PTNS berpengalaman adalah sangat memberangsangkan.

Pendedahan penganjuran kejohanan peringkat negeri secara langsung dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan teknikal selain menambah pengalaman pelajar itu sendiri.

Majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu merangkap Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak, Azizul Anuar Adenan Satem.

Manakala majlis penutupan disempurnakan oleh ADUN Samalaju merangkap Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi.

Dalam ucapan penutupannya, Majang menyatakan perasaan bangga dengan pencapaian atlet-atlet kelahiran Sarawak dan beliau yakin taekwondo merupakan bidang sukan berjaya mengharumkan nama Sarawak dan negara.

Beliau juga menyampaikan plak penghargaan kepada wakil-wakil pengelola bersama dan Dr Wan Zabidii Wan Morni, Penasihat Kelab Taekwondo UPMKB mewakili Pengarah Kampus, Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini menerima penghargaan tersebut.

Tarikh Input: 20/03/2023 | Kemaskini: 20/03/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEQPAq~