AKTIVITI KEUSAHAWANAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » AKTIVITI KEUSAHAWANAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA

AKTIVITI KEUSAHAWANAN PEMANGKIN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA

BINTULU: Aktiviti keusahawanan merupakan pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang mampu bertindak sebagai penggerak utama dalam meningkatkan tahap inovasi, kreativiti dan daya saing sesebuah negara.

Kemahiran keusahawanan merupakan salah satu kemahiran yang digalakkan dalam pengajian tinggi untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, inovatif dan kreatif.

Fasilitator Program Putra Uptown 2022 Dr Sharon Ong berkata, komponen keusahawanan yang diperkenalkan melalui aktiviti karnival seumpama ini membolehkan pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) berfikiran kritis, kreatif dalam menonjolkan potensi diri secara praktikal serta memupuk minat terhadap keusahawanan.

Justeru katanya, penglibatan pelajar dari Kursus Kokurikulum Berkredit QKH2104 Usahawansiswa dengan mengambil inisiatif mengadakan Program Putra Uptown 2022 di Kolej Sri Rajang UPMKB sebagai sesuatu yang amat baik.

Katanya, Putra Uptown 2022 adalah program aktiviti karnival berkonsepkan perniagaan yang menghimpunkan penyertaan daripada pelajar dan komuniti Bintulu.

“Pelbagai jenis gerai makanan dan hiburan seperti karaoke, pertandingan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan permainan mini telah disediakan,” jelasnya.

Pada masa sama Pengarah Program Putra Uptown 2022 Afdhal Ilhami Afdhal Lutfi berkata, program ini telah mencapai objektifnya iaitu menyediakan platform kepada pelajar UPMKB untuk berniaga, menambah ilmu tentang pengurusan program dan perniagaan kepada pelajar UPMKB.

Katanya, peserta, peniaga dan pengunjung memberikan respon yang positif terhadap program ini sekali gus berharap agar program ini dapat dianjurkan lagi dengan kerjasama pihak lain serta mempelbagaikan aktiviti program.

Tarikh Input: 06/12/2022 | Kemaskini: 06/12/2022 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUEA4~