13 PESERTA TAMATKAN KURSUS ASAS PENANAMAN ORKID DI UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 13 PESERTA TAMATKAN KURSUS ASAS PENANAMAN ORKID DI UPMKB

13 PESERTA TAMATKAN KURSUS ASAS PENANAMAN ORKID DI UPMKB

BELAJAR: Peserta mempelajari dan mengikuti kaedah penanaman orkid.

BINTULU: Seramai 13 peserta dari Limbang, Miri, Kuching dan Bintulu menamatkan Kursus Asas Penanaman Orkid di Dewan Taklimat Bangunan Pentadbiran dan Astaka Orkid Taman Pertanian Universiti (TPU) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB).

Penceramah mengen-dalikan kursus anjuran TPU UPMKB itu ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman (JST) UPMKB Dr Latifah Omar dan Pegawai Pertanian Kanan TPU UPMKB merangkap penyelaras kursus, Sat Maling.

Menurut TPU UPMKB, orkid atau anggerik merupakan salah satu tanaman bunga hiasan amat popular di Malaysia dengan iklim panas dan lembap sepanjang tahun.

Malaysia merupakan kawasan taburan hidupan orkid liar mencapai ribuan jenis serta amat popular ditanam oleh penggemar flora kerana saiz, struktur serta warna bunga itu pelbagai dan menarik.

“Orkid merupakan produk florikultur berupaya mendatangkan penda-patan lumayan kepada pengeluar orkid di Malaysia dan merupakan industri berkembang maju.

“Bunga keratan orkid amat laris di pasaran tempatan dan antarabangsa manakala pokok pasuan lebih banyak dipasarkan untuk kegunaan domestik sebagai hiasan dalaman di hotel, restoran dan rumah,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, kebanyakan orkid mendapat permintaan ramai ialah hibrid kerana faktor seperti warna, bunga, pokok tahan lasak dan harga murah berbanding orkid liar.

“Ia bersaiz bunga lebih besar dan sesuai dijadikan jualan keratan bunga serta terdapat beberapa jenis genus orkid popular ditanam di nurseri dalam kuantiti besar kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran Malaysia seperti Dendrobium, Phalaenopsis, Arachnis, Vanda, Cattleya dan Oncidium,” tambahnya.

Katanya, permintaan terhadap bunga-bungaan bentuk keratan seperti orkid semakin meningkat terutama pada majlis rasmi seperti keramaian, sambutan perayaan dan perhotelan.

Justeru, ini mendorong peningkatan pengeluaran dan penghasilan bunga itu sekali gus mampu menjana pendapatan kepada TPU UPMKB.

Tarikh Input: 15/08/2019 | Kemaskini: 20/09/2019 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEUEA0~